SESIAPA sahaja pasti teringat bagaimana kita berdepan hukuman ‘tahanan di rumah’ (house arrest) ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa tahun lalu, menyebabkan banyak sektor terjejas.
Natijahnya, Covid-19 menguji kita hampir di setiap sudut kehidupan. Ada bisnes yang tak mampu bertahan atau mungkin terpaksa mengecilkan operasi, ada yang hilang kerja, pokok pangkalnya serba-serbi susah, tertekan dan ‘gelap’. Ketika itu juga kibaran bendera putih tanda memerlukan bantuan menjadi tular.
Hari demi hari hidup dengan PKP, vaksin, pelitup muka malah cecair pembasmi kuman, ada pula yang diuji dengan pemergian insan tersayang sehingga kita tak dibenarkan mengurus, menatap wajah dan menghantar jenazah ke liang lahad atas faktor keselamatan. Cukup tragis waktu itu.
Kita berdoa, kita sujud di ‘kaki’ tahajud ‘bercakap’ kepada-NYA meminta segala belas kasihan Ar-Rahman dan Ar-Rahim agar segala-galanya pulih. Segala zikir kita tuturkan memohon perkenan hidup ini dipermudahkan daripada musibah dan bencana.
Ingat tak, bagi yang hilang ‘nafkah’ dan demi meneruskan kehidupan, ada yang membuka perniagaan kecil-kecilan, menjual air balang, membuka gerai makanan, menjadi penghantar makanan. Semuanya diikhtiarkan demi mulut-mulut di rumah yang perlu disuap.
Begitulah ujian untuk kita hanya kerana Covid-19. Muncul juga ‘terma’ berbunyi ‘hidup ini keras’ menggambarkan sukar yang mendepani hidup ini.
Melangkaui waktu, ‘tahanan di rumah’ yang kita lalui berakhir. Kita kembali bebas seperti sediakala. Ramai yang kembali bergembira, ketawa dan paling penting, dapat berjumpa semula ahli keluarga serta rakan-rakan.
Di sektor ekonomi, ramai sudah kembali bekerja berbanding WFH (work from home) atau bekerja dari rumah, ada yang dapat kerja baharu, ada yang kekal bekerja di tempat lama.
Macam-macam program, majlis, acara, konsert kembali diadakan. Kita kembali bergembira, ‘beraksi’ di depan lensa media sosial, pagi dan petang, nak menunjukkan betapa kita gembira.
Di tempat kerja, di kedai makan, di tepi jalan juga begitu, ketawa tak henti-henti, gembira tak henti-henti, ibaratnya tiada sudah bencana. Di media sosial, berjoget tak henti-henti, ‘berdrama’ tak henti-henti, ibaratnya Allah dah buang jauh-jauh bencana, musibah dalam hidup ini.
Namun di sebalik semuanya itu, ada orang terdekat kita yang mungkin kembali atau berterusan ditimpa musibah, hilang kerja ekoran ‘penangan’ kucar-kacir ekonomi dan konflik antarabangsa, ‘ikat perut’. Kita? Masih lagi nak bergembira sana sini.
Bukan salah pun nak bergembira, tetapi berpada-padalah dengan dunia yang semakin uzur dimamah usia ini. Kembalilah kita ingat siapa kita di sisi penciptaan semuanya ini. Bukannya 24 jam nak bergembira, bersuka ria, ‘terjerit-jerit’, terbahak-bahak.
Ingat, dalam kegembiraan yang kita lalui, kita tonjolkan, ada orang sekeliling kita yang masih menyimpan duka. Kalau ada otak, ada akal, pastinya matang dalam kita mendepani atau menghormati keadaan sekeliling.
Hari ini mereka berduka, kita jangan jadi ‘hati lembu’ yang tak memahami pentingnya menghormati musibah yang mereka lalui.
Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.