Majoriti dua pertiga Parlimen kunci kestabilan, perpaduan

Majoriti dua pertiga Parlimen kunci kestabilan, perpaduan

ABDUL RAZAK HUSSEIN (kiri) dan HUSSEIN ONN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENDEKATAN pragmatik menerima parti pembangkang membolehkan Barisan Nasional (BN) mengekalkan majoriti dua pertiga kerusi berturut-turut di Dewan Rakyat dari Pilihan Raya Umum (PRU) 1974 hingga 2008.

Senario itu berlaku meskipun BN tidak pernah mencapai lebih daripada 67 peratus undi popular sepanjang tempoh tersebut.

Begitupun dalam sejarah pilihan raya moden, buat julung kali pada PRU12 (2008), BN dinafikan majoriti dua pertiga.

Sejak BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam PRU 2008 itulah berterusan bibit-bibit ketidakstabilan sehinggalah ia mereda setelah merentasi PRU15 pada 19 November 2022.

Ketidakstabilan selain kerana perebutan kuasa dan jawatan, turut disumbangkan dengan bercambah fahaman etnosentrisme, iaitu kecenderungan sebuah etnik atau kaum terhadap kelebihan yang ada oleh suku kaumnya. Mereka melihat kebudayaan mereka adalah yang tertinggi. Ini antaranya mencetuskan tuntunan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) dan permohonan kebenaran penggunaan kalimah Allah dalam buletin gereja.

Kerana itulah pentingnya pencapaian dua pertiga majoriti di Parlimen yang sekali gus mampu mewujudkan kestabilan dengan kerajaan memerintah dapat memacu ekonomi berkembang pesat.

MAGERAN

Contoh terpenting adalah pada zaman Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.

Abdul Razak semasa menjadi Timbalan Perdana Menteri dilantik sebagai Pengerusi Majlis Gerakan Negara (Mageran). Mageran adalah badan pentadbir negara pada zaman darurat berikutan peristiwa 13 Mei 1969 selepas sistem kerajaan berparlimen digantung. Perisytiharan darurat telah diwartakan dan berkuat kuasa 16 Mei 1969 hingga 23 Februari 1971. Abdul Razak kemudian menjadi Perdana Menteri dari 22 September 1970 hingga 14 Januari 1976.

Beliau nekad mahu memulihkan segera Parlimen bagi menggantikan Mageran. Maka adalah penting bagi parti Perikatan memperoleh majoriti dua pertiga dalam Parlimen supaya undang-undang yang diperlukan untuk reformasi ekonomi dapat diluluskan.

Reformasi ekonomi amat diperlukan kerana Abdul Razak berpendapat satu-satunya cara untuk mengelak tragedi 13 Mei berulang adalah dengan menaikkan taraf kehidupan orang Melayu secara perlahan-lahan supaya mereka tidak kekal sebagai masyarakat petani miskin.

Mereka perlu diberi peluang untuk mengambil bahagian dalam bidang perniagaan dan perindustrian. Mereka perlu diberi pendidikan bertaraf universiti untuk menaikkan taraf hidup mereka.

Bagaimanapun Parti Perikatan kalah teruk pula dalam PRU 1969. Dengan itu Abdul Razak terpaksa mengharapkan pilihan raya Sabah dan Sarawak yang telah ditunda untuk setahun, akan memberikan majoriti ahli Parlimen yang diperlukan itu.

Perdana Menteri kedua itu terpaksa menggunakan kemahiran ‘memujuknya’ untuk mendapatkan sokongan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), yang telah memenangi lima kerusi lagi, bagi memastikan Parti Perikatan memiliki 96 kerusi yang diperlukan untuk mendapat kemenangan dua pertiga.

SUPP pada mulanya menentang Parti Perikatan. Justeru, adalah satu kemenangan besar buat Abdul Razak apabila beliau berjaya memujuk SUPP. Kejayaan itu telah memulihkan semula demokrasi berparlimen di Malaysia.

Hubungan kaum dapat kembali dieratkan dengan pantas pada zaman Abdul Razak setelah diwujudkan ideologi nasional, iaitu Rukun Negara. Rukun Negara ialah sebuah ideologi yang menjadi teras panduan dan gagasan kebangsaan negara. Ia dibentuk pada 31 Ogos 1970 oleh Mageran, iaitu setahun selepas tragedi 13 Mei.

BERJAYA, USNO, SNAP

Hubungan kaum ini dieratkan dengan langkah mewujudkan Rukun Tetangga (RT) melibatkan penyertaan pelbagai kaum. Ia ditubuhkan oleh Abdul Razak pada 29 Ogos 1975 yang asalnya untuk menjamin keselamatan penduduk setempat.

Dasar Ekonomi Baru (DEB) pula merupakan program sosioekonomi yang diperkenalkan dari 1971 hingga1990 oleh Abdul Razak yang juga digelar Bapa Pembangunan. Matlamat tersurat DEB untuk mencapai perpaduan negara serta integrasi nasional dan ia digubal dalam konteks strategi serampang dua mata:

Pertama, mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang pekerjaan semua rakyat tanpa mengira kaum. Kedua, mempercepatkan proses penyusunan semula ekonomi negara bagi memperbetulkan ketidakseimbangan supaya dapat mengurang, seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi.

Hussein, Perdana Menteri ketiga dari 15 Januari 1976 hingga 16 Julai 1981 pula kemudian mengukuhkan segala apa yang telah dilaksanakan Abdul Razak.

Pada era Hussein, beliau mengambil pendekatan pragmatik untuk menerima parti pembangkang seperti Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) dari Sabah sebagai parti komponen pada Jun 1976. Turut serta menyertai BN pada Jun 1976 ialah Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) bagi meningkatkan kerusi ahli Parlimen BN.

Hussein dikenali sebagai Bapa Perpaduan kerana sangat berdisiplin dan tegas mentadbir negara. Malah beliau mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang cuba membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara.

Antara punca kekacauan perkauman adalah akibat dakyah komunis yang menyaksikan Hussein pada 2 November 1976 mengarahkan penahanan ‘Tiga Abdul’ di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dipercayai menyebarkan fahaman komunis.

Mereka ialah Datuk Abdullah Ahmad (pembantu Abdul Razak), Abdullah Majid (bekas Timbalan Menteri Buruh) dan Abdul Samad Ismail (tokoh wartawan).

UNIVERSITI MERDEKA

Langkah tegas Hussein lain adalah mengharamkan perhimpunan kempen penubuhan universiti swasta aliran Cina, Universiti Merdeka pada 1978. Ini kerana dibimbangi menimbulkan konflik kepada sistem pendidikan kebangsaan dan menjejaskan perpaduan. Bagi meredakan keadaan, kerajaan diterajui Hussein menambah kuota kemasukan penuntut bukan Melayu ke universiti awam.

Sumbangan Abdul Razak dan Hussein ketika menjadi Perdana Menteri adalah dari segi perancangan dan dasar pendidikan dari 1970 hingga 1980. Ini seterusnya menggalakkan integrasi nasional dan perpaduan negara serta mempertingkatkan mutu pendidikan bagi membina masyarakat progresif berasaskan sains dan teknologi.

Hussein berusaha memperkasakan RT yang pada awalnya untuk memastikan keselamatan penduduk. Rukun Tetangga kemudiannya menjalani evolusi kepada konsep kejiranan dan perpaduan setempat.

Hussein juga berusaha merealisasikan matlamat DEB untuk merapatkan jurang ekonomi yang menjadi punca perbalahan kaum pada 13 Mei 1969. Ini termasuk memperkemaskan lagi pelbagai agensi bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara dan menaik taraf hidup rakyat.

Dalam satu perutusan amanat, Hussein menyatakan, “Perpaduan negara tidak akan datang dengan sendirinya, melainkan kita terpaksa berusaha sedaya upaya untuk mencapainya.”

Dan segala kunci kepada perpaduan dan kestabilan sesebuah negara adalah kekuatan mana-mana kerajaan yang memiliki majoriti dua pertiga di Parlimen. – UTUSAN

Datuk Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN