Kita di sini menjerit ‘Atouna El Toufoule’, yang sebangsa sibuk bina gedung mewah - Utusan Malaysia

Kita di sini menjerit ‘Atouna El Toufoule’, yang sebangsa sibuk bina gedung mewah

KANAK-KANAK Palestin melihat sebuah kereta yang teruk dihentam bom Israel di Khan Yunis, Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKIAN lama kita dihadapkan dengan tragedi Gaza, Tebing Barat, Hebron, Baitulmuqaddis, Khan Yunis, Ramallah dan juga Nablus di bumi Palestin. Nyawa sedara (saudara) kita ibarat ‘murah’ di tangan rejim berhati syaitan, demi sekeping tanah di Palestin, disokong ‘sang kelembai’ di sebalik kuasa dunia.
Begitulah nasib Palestin, negara miskin yang tak punya apa-apa kemewahan jika hendak dibandingkan dengan jiran-jirannya yang kaya raya, ‘yang makan di pinggan, minum di cawan’.
Itulah Palestin, apabila kita lemah, kita miskin, tak siapa mahu memandang biarpun sebangsa sedarah, tak siapa peduli, tak siapa akan hulur tangan membantu. Realiti kehidupan, begitulah. Kalau ada yang hulur bantuan, sekadar atas nama misi kemanusiaan yang adakalanya bermusim.
Cuba lihat jiran Palestin, berlumba-lumba siapa nak jadi paling kaya, gedung-gedung mewahnya berdiri megah, mewah semewah mewahnya ibarat inilah syurga bagi mereka.
Yang sudah jadi tuan rumah temasya itu ini, yang membina bangunan tertinggi, bangunan paling mahal, ada litar lumba paling hebat, ada simpanan minyak sampai ke ‘tujuh keturunan tak habis-habis’, semuanya mewah, pakaiannya mewah, makannya mewah.
Ya mungkin ada tetangga membantu, tetapi kita mahu yang kaya raya ini sentiasa berada di depan dengan kuasa duitnya membina ketenteraan untuk Palestin. Membina suara untuk Palestin. Membina kuasa untuk Palestin. Bukannya membina kemewahan di bumi sendiri sedangkan tetangga saban tahun menderita.
Bila diserang, asyik lagu ‘Atouna El Toufoule’ didendangkan, yang sebangsa sedarah pula berlumba-lumba hendak jadi kaya. Apa semuanya ini?
Daripada sibuk mahu tunjuk kaya, lebih baik bantuan disalurkan ke Palestin secara konsisten. Wahai bangsa Arab, kuatkanlah bangsamu demi Palestin. Kena berani dengan kuasa riyal, dirham, dinar, minyak untuk membina Palestin yang berdaulat.
Kena berani bersatu untuk Palestin. Jika Barat berani membina NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) yang lengkap bersenjata, PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) juga ada misi pengaman, mengapa orang Arab yang menunjangi Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Liga Arab tidak berani ‘membina’ senjata untuk pertubuhan itu?
Takkanlah OIC ini fungsinya bersidang dan kemudian mengecam saja? Bersidang dan kemudiannya mengeluarkan kenyataan mengecam. Lemah.
Jika begitu fungsinya, maka kita teruslah menyanyikan sampai bila-bila ‘Atouna El Toufoule’ atau kembalikan masa kecil kami, dengan iringan tangisan anak-anak Palestin mengharapkan keamanan.
Belum lagi tangisan anak-anak Syria, Lebanon, di Yaman mahupun di Iraq yang berterusan dihimpit konflik sebangsa.
Kita di Malaysia ini, hanya mampu hantar misi kemanusiaan sahajalah nampaknya kerana sedarah sebangsa mereka tidak berani hendak mengangkat senjata biarpun mampu berbuat demikian. Tak tahu apa yang ditakutkannya.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya