PADA mata kasar orang kebanyakan ketika ini, situasi yang berlaku dalam negara boleh disifatkan sebagai kalut.
Banyak hal tak diurus dengan baik, kontang-kanting, lengai dan ‘bisu’.
Daripada isu ayam, telur, minyak masak, gula serta ‘paling mega’ sehari dua ini isu padi dan beras.
Bermula benih membawa kepada kampit beras di pasar raya, setiap rantaiannya bermasalah. Malulah, di Dubai pun sudah berjaya menanam dan menuai padi di padang pasir.
Kita di sini, isu-isu periuk nasi rakyat pun tak selesai-selesai, timbul satu per satu, tak henti-henti, sehinggakan rakyat berebut-rebut nak beli beras.
Tanyalah juga peniaga minuman di medan-medan selera. Baru-baru ini saya diberitahu oleh ‘kak Aisyah’ di sebuah medan selera di pinggir ibu negara. Dia terpaksa menaikkan harga minuman sebab susah nak cari gula biasa.
Kata dia, yang ada dijual di pasar raya, kedai-kedai, cuma gula premium berharga lebih RM4. Dia juga beritahu, bukan sahaja gula, pemilik kedai makan juga merungut.
Pembangkang pula, mana kelibat kalian ketika ini? Masa inilah nak gerakkan kelantangan suara. Takkan tak ‘reti-reti’ lagi nak jadi pembangkang? Takkan hanya nak jadi juara berbahas isu DNAA (melepaskan tanpa membebaskan)?
Bak kata KJ (Khairy Jamaluddin): “Tak reti nak bahas polisi, asyik pasal isu agama dan kaum sahaja”. Itu kata KJ, saya pun nampak hal yang sama. Asyik nak menyindir isu-isu lama, bosan.
Dalam negara ini, baik kerajaan mahupun pembangkang, saya lihat tiada nak bersama, tiada semangat kebersamaan untuk menangani isu rakyat secara berpasukan.
Kerajaan dengan ego kerajaan, pembangkang pula dengan ego pembangkang. Sebab itulah kita masih dihidangkan dengan isu-isu remeh di Dewan Rakyat. Bagi saya, tak jatuh maruah pun kalau pembangkang sokong kerajaan, dan kerajaan pula menerima pakai idea-idea pembangkang.
Tapi itulah, di negara ini, jika kerajaan berbuat demikian, ‘sekampung’ pula dihebohkan konon kerajaan tiada idea. Begitu juga pembangkang, jika menyokong usaha-usaha kerajaan, ‘sekampung’ juga ‘hadiah’ diterimanya.
Sekarang ini rakyat berdepan banyak masalah. Tak jatuh maruah pun kalau semua bersatu nak mendepani isu-isu rakyat. Kalau masing-masing ego, kita rakyat memang sakitlah.
METRA Syahril Mohamed adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.