Kejayaan Sarawak di bawah MA63

Kejayaan Sarawak di bawah MA63

GPS pimpinan Abang Johari Openg (kiri) dibantu oleh Ketua Whip GPS, Fadillah Yusof (kanan) memainkan peranan dalam menentukan parti yang membentuk kerajaan sehingga wujud kerajaan perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim sekarang. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SARAWAK pernah menjadi negeri pembangkang di peringkat persekutuan selepas Barisan Nasional (BN) yang dianggotainya tewas pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

Namun, tindakan pantas Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengeluarkan BN Sarawak daripada BN Pusat dan kemudiannya menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sebagai entiti politik bebas pada 12 Jun 2018 dianggap sebagai langkah strategik.

Ini merupakan satu titik tolak baharu bagi Sarawak selepas berada dalam BN selama 44 tahun sehingga memungkinkan negeri itu menjadi kingmaker sebelum kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) dapat dibentuk di sebalik gelora politik yang berlaku selepas kerajaan PH tumbang susulan ‘Langkah Sheraton’, dan juga selepas ketidaktentuan politik sesudah PRU15.

Haru-biru politik menjelang pembentukan kerajaan dan perubahan landskap politik selepas 2018 yang menyaksikan perubahan Perdana Menteri sebanyak empat kali dalam tempoh singkat memberi kelebihan kepada GPS.

Sebagai entiti politik bebas tanpa perlu dipengaruhi atau tunduk kepada tekanan parti dominan di peringkat nasional, GPS dapat menentukan hala tuju politik negeri dan negara.

GPS turut memainkan peranan dalam menentukan parti yang membentuk kerajaan sehingga wujud kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam PRU lalu, GPS memenangi 24 daripada 31 kerusi Parlimen yang ditandingi.

Di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN-12), gabungan empat parti pimpinan Abang Johari – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP) mencatat rekod prestasi paling cemerlang dalam sejarah PRN Sarawak sepanjang 60 tahun apabila memenangi peratusan kerusi terbanyak dengan meraih 76 daripada 82 kerusi.

Ekoran keputusan cemerlang itu, meletakkan Sarawak dalam keadaan lebih kuat dan berkuasa dalam perundingan dengan Kerajaan Persekutuan terutama berkaitan tuntutan hak di bawah Perjanjian Malaysia (MA63).

Kemenangan besar tersebut memberi semangat dan kekuatan kepada GPS sehingga berjaya menuntut 13 perkara secara pentadbiran berkenaan hak Sarawak daripada Kerajaan Persekutuan sesuai dengan slogan GPS, Sarawak Diutamakan.

GPS menjadikan agenda mempertahankan hak Sarawak dalam Persekutuan Malaysia sebagai keutamaannya. Perjuangan ini selaras dengan MA63, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) serta Perlembagaan Sarawak dan Perlembagaan Persekutuan.

Hal ini meliputi perancangan projek pembangunan persekutuan, jawatan kakitangan awam persekutuan, kemasukan pelajar Sarawak ke universiti awam serta memperkukuh fungsi dan kerjasama jabatan negeri dan jabatan persekutuan di Sarawak.

Kerajaan GPS berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan dan mengembalikan status Sarawak sebagai rakan kongsi setara dalam pembentukan Malaysia pada 1963.

ROYALTI

Selain itu, Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan menyerahkan kuasa meluluskan projek pembangunan bernilai sehingga RM50 juta kepada pentadbiran Sarawak bagi memastikan keputusan segera dapat dibuat tanpa perlu kata putus pada peringkat persekutuan.

Langkah ini sudah tentu mengurangkan kerenah birokrasi, mempercepat pelaksanaan projek, sekali gus merapatkan jurang pembangunan antara Sarawak dengan Semenanjung.

Kerajaan GPS juga berjaya menuntut agar semakan Pemberian Khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan. Anwar Ibrahim telah merumuskan formula geran Pemberian Khas Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Di bawah formula itu, Sarawak menerima geran RM300 juta bagi 2023 dan 2024, iaitu hampir 19 kali ganda berbanding RM16 juta sebelum ini.

Sebenarnya, penetapan peruntukan RM300 juta itu merupakan penyelesaian interim bermula 2023, sementara rundingan formula masih diteruskan oleh Jawatankuasa Teknikal Perjanjian MA63 yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Putrajaya juga memenuhi tuntutan Sarawak termasuk menyelesaikan kes mahkamah berkaitan dengan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dengan Petronas. Sejak 2019 hingga Oktober lalu, Sarawak berjaya mendapat sekitar RM14 bilion daripada Petronas.

Semua wang atau hasil berkenaan amat penting bagi Sarawak untuk memacu pembangunan demi kesejahteraan rakyat termasuk membina pelbagai keperluan asas dan prasarana terutama di luar bandar.

Sebelum ini Sarawak hanya menerima lima peratus royalti daripada Petronas – satu angka yang dianggap tidak munasabah dan tidak adil sehinggalah Abang Johari mendapat ilham untuk membuat tuntutan berkenaan meskipun berdepan banyak cabaran termasuk menyaksikan kes berkenaan dibawa ke mahkamah.

Perjanjian komersial bersama-sama Petronas membolehkan Sarawak bergiat aktif dalam industri minyak dan gas, apatah lagi kini ia telah menubuhkan syarikat minyak dan gasnya sendiri, Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Hari Malaysia pada 16 September juga diiktiraf dan kuasa diberi kepada Sarawak untuk menentukan ras-ras asli melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan. Kini Sarawak sedang giat berusaha menuntut 35 peratus kerusi Parlimen untuk Sarawak.

Sarawak berjaya menempatkan wakilnya sebagai Ahli Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang membolehkannya mengetahui jumlah kutipan hasil daripada negeri ini dan berapa banyak sewajarnya disalurkan kembali kepada Sarawak.

Sarawak dengan belanjawan tahunan negeri mencecah RM10 bilion sejak Abang Johari menjadi Premier dan dengan rizab negeri yang sihat sebanyak RM40 bilion, ditambah peruntukan melalui Belanjawan Persekutuan 2024 sebanyak RM5.8 bilion, tentu ia berada di atas landasan tepat untuk muncul sebagai negeri maju berpendapatan tinggi pada 2030. – UTUSAN

Datuk Dr. Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya