DIA mahu ‘berlagak’ biasa. Bukan sebab mahu membuang seribu satu rasanya terhadap penyakit yang dideritainya. Bukan juga mahu memujuk hatinya. Dia sudah lama reda. Nyawa pinjaman Tuhan yang Maha Esa. Bila-bila masa dan atas sebab apa pun, kematian itu pasti. Cuma selagi diberikan nafas untuk hidup, ia adalah perjuangan dan setiap hela nafas itu harus dinikmati dan disyukuri. Berlagak biasa juga satu perjuangan untuk pesakit kanser.
Sarlinawati Abd. Mues, 47, atau mesra dengan sapaan Nina hari ini telah menghampiri ke garisan penamat menjayakan misi Jelajah Solo- Pejuang Kanser dengan menunggang motosikal ke seluruh negara bermula pada 2 Oktober lalu.
“Rasa lega sebab misi sudah tercapai tanpa masalah,” katanya tersenyum puas kerana misi jelajah solo itu hanya dirancang lebih kurang tiga bulan dari tempoh dilepaskan oleh Pengarah Institut Kanser Negara (IKN) Dr. Mohd. Anis Harun.
Menunggang motosikal skuter WM ES250i berwarna merah jambu, sosok wanita ini nampak gagah dan bersemangat apabila berjaya menyelesaikan jelajah sejauh 5,000 kilometer dalam tempoh 20 hari.
“Sepanjang jelajah, rakan-rakan pejuang kanser menyambut saya seperti keluarga sendiri. Begitu juga agensi-agensi dan pihak hospital yang terlibat dalam program ini. Misi pertama ini bagi saya berjaya,” katanya.
Ibu tunggal yang mempunyai seorang anak dan seorang cucu ini menambah, idea jelajah solonya bermula selepas rawatan radioterapi Mac lalu. Dia berazam untuk bangkit dan mahu sembuh sepenuhnya selepas melihat seorang kawan baiknya tewas dengan kanser payudara tahap dua.
“Selepas kemoterapi pusingan kedua saya sudah hampir berputus asa dan tidak mahu lagi meneruskan rawatan kerana kesannya sangat teruk dan buat saya trauma. Jika sudah begitulah pengakhirannya dan ajal juga sudah tiba, saya pasrah.
“Bagaimanapun anak saya Shahira memujuk kerana saya sudah dibedah membuang sebelah payudara akibat jangkitan merebak ke paru-paru dan kemoterapi pusingan pertama juga telah selesai.
“Jun lepas, saya bertekad mengotakan janji jelajah solo ini dan dilakukan pada bulan ini kerana Oktober bulan pink atau bulan kesedaran kanser sedunia,” terangnya.
Bagi tujuan jelajah satu Malaysia ini, dia membelanjakan sekitar RM1,500 sebagai persiapan seperti membaiki kerosakan kecil motosikal, mencetak kemeja T berlogo, persediaan duit minyak dan duit poket. Skuternya mendapat tajaan wraping merah jambu dari Mforce Bike Holding Sdn. Bhd.
“Jelajah ini sangat berbekas di hati saya kerana menyelami hati pesakit-pesakit yang sedang berjuang secara fizikal dan mental. Saya juga berkongsi hati ke hati, mendengar rintihan, menitip pesanan dan memberikan kata-kata semangat agar mereka bangkit melawan,” jelasnya.
Menerusi misi itu, Nina yang menyasarkan RM50,000 untuk diberikan kepada 100 pesakit membiayai projek Bra Prosthesis dan Mastektomi, coli khas bagi kanser payudara berkata, sasarannya belum mencukupi.
“Saya bercadang mengadakan misi kedua selepas ini dengan jelajah solo ke daerah yang tidak sempat saya singgah dan berharap dapat mengumpul dana yang diperlukan,” katanya.
Mengakui lebih memahami derita yang dialami pesakit kanser lain kerana berada ‘dalam kasut mereka’ Nina juga terkesan teruk dengan kewangan ketika didiagnos kanser payudara tahap empat semasa pandemik.
“Tidak pendapatan sedangkan kos rawatan kanser sangat mahal. Saya jual aset rumah dan kereta. Detik itu sangat menguji tetapi kawan-kawan dan jiran membantu, itulah juga antara sebab saya bangkit,” tambahnya.
Didiagnos kanser pada Jun 2021, dia tidak berasa sakit ketika itu kerana tidak ada simptom. Apabila dinasihatkan membuang sebelah kiri payudara kerana kanser telah merebak ke paru-paru pun, Nina masih tenang dan akur.
“Bahkan saat mengesyaki kanser selepas doktor menyatakan keputusan mammogram, saya menerimanya dengan reda. Dikhabarkan pula jangka hayat lapan bulan hingga setahun sahaja paling lama, saya tidak menangis.
“Cuma terlintas wajah anak dan cucu, bagaimana mereka tanpa saya. Selesai pembedahan di pusat rawatan di Bangi saya menjalani kemoterapi dan radioterapi di IKN. Namun selepas kemoterapi kali kedua, barulah terasa perit dan kesakitannya yang cukup menjadikan saya insaf, memahami dan sangat menghargai erti hidup.
“Dalam rawatan kemoterapi, Allah jemput saya menunaikan umrah yang ditaja Harmony Travel dan saya dapat kekuatan luar biasa. Selepas itu, saya menyertai kumpulan memasak untuk mangsa banjir, saya menyertai badan-badan amal sukarela kerana saya mahu hidup yang lebih memberi makna,” ceritanya.
Nina yang memilih motosikal untuk jelajah solonya telah biasa menunggang motosikal sejak berusia 18 tahun namun tetap mengadakan latihan fizikal sejak beberapa bulan lalu.
“Sebelum misi jelajah saya menguji sejauh mana kemampuan diri dengan beberapa kali ke Pulau Pinang, Kuala Selangor dan balik semula ke rumah di Bangi. Bila sudah timbul kekuatan saya sertai kumpulan menunggang hujung minggu antaranya menyertai KL munajat dan selawat dan ke rumah anak yatim,” katanya.
Nina yang sebelum seorang chef dan konsultan makanan dan minuman menjelaskan walaupun berisiko dia tetap bergerak sendiri namun ada pihak menyumbang, antaranya, Azu Event Hall dan Kelab Sokongan Ibu Tunggal Kuala Lumpur.
Kepada yang mahu menghubungi Nina boleh hantar emel ke [email protected] atau WhatsApp ke talian 018-9174755. – Mingguan Malaysia
Ini bukan masa bersedih, saya mahu bangkit – pesakit kanser
- Oleh RAHANA MD
- 22 Oktober 2023, 4:21 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Adab tetap menang
8 Disember 2024, 8:34 am
Trump 2.0 mengembalikan ketuanan kulit putih?
10 November 2024, 8:50 am
Tokoh kaum India yang sukar dicari ganti
13 Oktober 2024, 11:29 am