Gementar masuk Terowong Menora, percepatkan WISE

Gementar masuk Terowong Menora, percepatkan WISE

SELAIN kesesakan pada waktu puncak, lebih membimbangkan ialah soal keselamatan setiap kali melalui Terowong Menora ekoran struktur jalan mendaki dan menuruni bukit menyebabkan pemanduan menjadi sukar terutama semasa hujan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BERULANG-alik setiap hari dari Ipoh untuk bekerja di sebuah institusi pendidikan tinggi (IPT) di Kuala Kangsar, bermakna tiada pilihan bagi seorang wanita selain terpaksa melalui Terowong Menora di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dekat Ipoh. Untuk mengelak kesesakan trafik, dia keluar sebelum pukul 7 pagi dan semasa pulang, terpaksa menunggu sehingga selepas solat Maghrib untuk mengelak kesesakan di terowong tersebut.

Sepanjang bertahun-tahun berulang-alik dari Ipoh ke Kuala Kangsar, wanita yang bekerja di sebuah IPT itu mengakui ‘gementar’ dan cemas setiap kali melalui Terowong Menora, walaupun hampir setiap hari melaluinya. Selain kesesakan trafik yang kerap berlaku, faktor keselamatan antara yang dibimbanginya setiap kali melalui Terowong Menora kerana merupakan laluan pendakian dan menurun bukit di kedua-dua arah.

Katanya, pada waktu pagi, arah ke utara jarang berlaku kesesakan kerana ketika itu tidak banyak lori melaluinya kecuali jika berlaku kemalangan atau kerja-kerja penyelenggaraan jalan. Namun, jelasnya, pada waktu petang kerap berlaku kesesakan trafik ke arah selatan.

“Kesesakan satu hal, namun apa yang lebih membimbangkan ialah soal keselamatan setiap kali melalui Terowong Menora. Laluan mendaki dan menuruni bukit menyebabkan pemanduan menjadi sukar terutama semasa hujan.

“Bagi saya, laluan arah selatan yang menuruni bukit lebih berbahaya berbanding arah utara. Saya kerap melihat kereta atau lori terbabas ke dalam longkang di sebelah kiri laluan. Ini menunjukkan jalan itu memang berbahaya, banyak selekoh tajam semasa menuruni bukit.

“Selain itu, saya bimbang melalui jalan menuruni bukit jika ada kenderaan berat mengekori di belakang, bimbang jika brek kenderaan gagal berfungsi.

“Jika ada laluan alternatif, saya harap kenderaan berat tidak menggunakan laluan Terowong Menora demi keselamatan pengguna kenderaan lain,” katanya.

Itu antara pengalaman ditempuh pengguna PLUS yang melalui Terowong Menora dekat Ipoh perlu diberikan perhatian agar kerajaan mempercepatkan pembinaan Lebuh Raya West Ipoh Span Expressway (WISE), iaitu lebuh raya sepanjang kira-kira 60 kilometer menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar. Laluan itu akan menjadi jalan alternatif pengguna, selain melalui Terowong Menora.

Malah Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad sendiri berharap pembinaannya dapat dijalankan tahun ini juga bagi mengelak kes kemalangan maut yang berlaku saban minggu di Terowong Menora daripada terus berlaku.

Ketika ini, difahamkan pihak kontraktor sedang menunggu keputusan Kabinet untuk mendapatkan perjanjian konsesi. Pihak kontraktor sedang melalui beberapa fasa lagi termasuk dengan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan memerlukan persetujuan Kementerian Kewangan dari segi harga kerana membabitkan inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

GOPENG
Saarani menegaskan, ada keperluan untuk Kementerian Kewangan menentukan, menetapkan serta bersetuju bagi melaksanakan WISE kerana ia tanpa bebanan kewangan kerajaan. Katanya, apabila kerajaan Pusat bersetuju untuk projek itu, proses pengambilan tanah akan dilakukan yang diuruskan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG). Kelulusan pembinaan lebuh raya itu tertangguh di peringkat pusat sebelum ini akibat pembubaran Parlimen pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, pembinaan WISE sudah memasuki peringkat akhir rundingan dan dijangka dimuktamadkan selewat-lewatnya Disember ini.

Pengerusi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Seri Jalaluddin Alias dalam satu program di Bagan Serai baru-baru ini berkata, rundingan bersama syarikat konsesi yang dilantik itu meliputi pelbagai perkara termasuk jangkaan kos pembinaan keseluruhan.

“Rakyat berharap agar kerajaan memahami dan segerakan keputusannya. Projek perlu dilaksanakan segera oleh syarikat konsesi itu untuk pembinaannya mengikut perancangan sepertimana yang akan ditetapkan,” katanya.

Dalam pada itu, WISE tidak hanya untuk mengatasi kesesakan lalu lintas dan mengelak kes kemalangan maut di Terowong Menora tetapi juga mampu memberikan pembangunan sosioekonomi bandar dan pekan di sepanjang jajaran WISE.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, lebuh raya baharu itu akan menjadi pemangkin kepada pembangunan Gopeng yang sememangnya dalam perancangan untuk dipertingkatkan dari segi aktiviti ekonomi dan infrastrukturnya. Menurutnya, jika mahu dibandingkan Gopeng dan pekan lain, banyak ruang boleh dipertingkatkan di pekan tersebut dan beliau sebagai ahli Parlimen berusaha untuk meningkatkan aspek sosioekonomi dan infrastruktur di situ.

“Saya percaya salah satu pemangkin utama yang akan memberikan kerancakan sosioekonomi kepada Gopeng ialah projek jajaran lebuh raya baharu menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar yang akan bermula pembinaannya hujung tahun ini.

“Lebuh raya ini untuk memberikan satu lagi alternatif pengguna lebuh raya dari selatan ke utara tanpa melalui Terowong Menora dan ia akan mengubah wajah pekan Gopeng,” katanya.

Kar Hing berkata, selain itu, pembinaan lebuh raya baharu menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar akan melonjakkan lagi nama Gopeng sebagai destinasi ekopelancongan nombor satu di Semenanjung.

Katanya, Gopeng menawarkan pelbagai tarikan ekopelancongan untuk aktiviti dan rekreasi air serta aktiviti penerokaan gua seperti Gua Kandu dan Gua Tempurung.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya