HARI ini, China menyambut ulang tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), di mana Beijing dijangka mengesahkan semula peranan penting projek itu dalam strategi penglibatan globalnya. BRI juga berkemungkinan mendapat perkaitan strategik baharu sebagai platform utama di mana China akan berusaha untuk meningkatkan ketersambungan antara negara dalam kumpulan Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS) yang sedang berkembang.
Sehingga kini, lebih 150 negara dan 32 organisasi antarabangsa menyertai projek pengangkutan dan infrastruktur global secara besar-besaran dengan lebih 200 perjanjian sedang dijalankan atau siap, menurut Belt and Road Portal, laman web rasmi China yang mempromosikan BRI.
Di sebalik protes terhadap peta baharu China oleh Beijing dan menolak dengan tegas tuntutan ‘10 garisan putus’ China di Laut China Selatan, Malaysia menegaskan semula komitmennya untuk menyelesaikan pertikaian itu melalui dialog dan perundingan secara aman. Malaysia tidak sabar-sabar untuk memastikan pertikaian wilayah tidak memberi kesan negatif kepada hubungan ekonomi kedua-dua negara.
Pada Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil bahagian dalam Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023 di Nanning. Bukan sahaja beliau memperoleh urus niaga pelaburan hampir RM20 bilion tetapi juga menerima jaminan daripada Beijing tentang sokongan dalam merealisasikan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 oleh Malaysia yang diumumkan baru-baru ini.
Kerjasama pragmatik China dan Malaysia berfungsi sebagai contoh ketara tentang sangat mustahaknya pengurusan konflik kritikal yang juga membentuk asas BRI – kesediaan untuk mengetepikan perbezaan dalam usaha mencapai kebaikan bersama lebih besar.
Sememangnya BRI beroperasi dalam kawasan geopolitik yang rumit, namun daya tahannya boleh dikaitkan dengan kesediaan negara-negara Selatan Global (negara-negara kebanyakannya terletak di bahagian selatan bumi) walaupun berbeza dengan China untuk bekerjasama bagi faedah kolektif.
Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China, Datuk Abdul Majid Khan menekankan kepentingan negara membangun untuk merebut peluang BRI, mengejar matlamat kemampanan dan mengharungi era digital.
Menurutnya, negara membangun mesti memanfaatkan peluang ini untuk mencapai kemajuan berterusan bagi rakyat mereka.
Di Barat, BRI merangsang penciptaan strategi balas seperti BBB (Bina Kembali Dunia yang Lebih Baik) oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden; cadangan Gerbang Global oleh Kesatuan Eropah (EU) dan PGII (Perkongsian untuk Infrastruktur dan Pelaburan Global) yang diperkenalkan oleh negara G20 baru-baru ini.
Inisiatif ini bertujuan mengurangkan pengaruh China yang semakin meningkat di dunia membangun. Negara-negara Selatan Global bagaimanapun menggunakan pendekatan pragmatik apabila melibatkan diri dengan kedua-dua, BRI dan inisiatif diterajui Barat.
Jelas sekali, negara membangun memerlukan peningkatan pelaburan infrastruktur tetapi pengkritik menegaskan bahawa BBB dan Gerbang Global telah bergelut untuk menyampaikannya.
PERUBAHAN IKLIM
Sementara itu, BRI mengalami transformasi ketara, menghasilkan satu set subinisiatif termasuk Jalan Sutera Kesihatan, BRI Digital dan BRI Hijau.
Di CAEXPO, China bersetuju untuk menyokong usaha pembangunan vaksin Malaysia, kerjasama yang sejajar dengan matlamat Jalan Sutera Kesihatan bagi meningkatkan kesihatan awam global.
Selain itu, ikrar Beijing untuk memperkukuh NIMP 2030 dijangka memanfaatkan potensi BRI Digital bagi mengubah Malaysia menjadi sebuah negara berteknologi tinggi. Sementara itu di Sarawak, bas hidrogen keluaran China memainkan peranan penting dalam peralihan berterusan Malaysia kepada sumber tenaga boleh diperbaharui.
Pada usia sedekad, BRI telah berkembang melangkaui fokus infrastruktur konvensionalnya. Ia berubah menjadi inisiatif yang dipacu Revolusi Industri 4.0 dan bersedia untuk mempercepatkan peralihan dunia membangun ke era digital yang memupuk penggunaan model pertumbuhan ekonomi lebih mampan.
Sebenarnya, China telah muncul dengan pantas sebagai kuasa teknologi hijau. Ia menjadi peneraju dalam tenaga boleh diperbaharui, kenderaan elektrik, pembuatan hijau dan banyak lagi, meletakkan dirinya di barisan hadapan dalam revolusi teknologi hijau global.
Bagaimanapun, perubahan iklim memerlukan tindak balas global khususnya kerjasama AS-China. Pada Julai lalu, lawatan Duta Khas Presiden AS untuk Iklim, John Kerry ke China bertujuan menghidupkan semula kerjasama iklim tetapi malangnya ia tidak membuahkan kejayaan dijangkakan.
Larangan panel solar dilaksanakan semasa era Donald Trump kekal berkuat kuasa dan persaingan teknologi tinggi pentadbiran Biden dengan China menghalang kerjasama saintifik penting yang diperlukan untuk menangani krisis alam sekitar.
Dalam perkembangan baru-baru ini, Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen menggesa penyiasatan antisubsidi terhadap kenderaan elektrik China, mencetuskan kebimbangan mengenai potensinya untuk mengganggu usaha EU bagi menukar kepada tenaga boleh diperbaharui.
Realiti nyata ini mencerminkan konfigurasi semula yang berterusan dan tegang bagi orde dunia abad ke-21 – keasyikan berlebihan terhadap ancaman yang dianggap ditimbulkan oleh China menyebabkan Barat melupakan gambaran lebih besar.
Berbeza dengan Selatan Global, Utara Global kelihatan kurang cenderung untuk mengetepikan perbezaan mereka dengan China bagi mengejar kebaikan bersama yang lebih besar.
Perbezaan ini, ditambah pula dengan cabaran ditimbulkan oleh perubahan iklim, menghalang tindak balas kolektif kita terhadap krisis termasuk pandemik dan risiko yang menjulang dikaitkan dengan kecerdasan buatan (AI).
Sejak pelancarannya pada 2013, BRI berubah menjadi inisiatif pelbagai rupa yang Beijing bertekad untuk menggunakannya bagi mempercepatkan peralihan Selatan Global ke era digital. Apa yang penting, BRI sedang menerajui kemajuan dunia membangun ke arah model pertumbuhan yang lebih hijau dan mampan.
Namun begitu, melainkan Utara Global dapat mengatasi ketidakpercayaannya dan bekerjasama dengan China, manusia akan terus menghadapi ancaman yang pasti termasuk perubahan iklim.-UTUSAN
DR. Peter Chang Thiam Chai ialah Pensyarah Kanan di Institut Pengajian China, Universiti Malaya (UM).