LETIH kita dengan sebaran berita-berita palsu dan putarbelitkan fakta yang setiap hari dihadap.
Tujuannya jahat dan main politik cara kotor. Boleh terlungkup bangsa Melayu kita kalau terperangkap dalam permainan sebegini.
Hari ini, dengan aplikasi sosial WhatsApp, satu berita palsu boleh dikongsi kepada ratusan ribu orang. Bahkan menjangkau ke berjuta manusia.
Ambil sahaja yang terbaharu peringatan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul pada 23 Oktober lalu berhubung larangan guna label ‘kafir’ dalam sidang Dewan.
Tujuannya jelas iaitu supaya ahli-ahli Dewan berhenti melabelkan satu sama lain dengan perkataan seperti ‘kafir’, ‘zionis’ dan ‘Yahudi’ atau yang boleh mengguriskan hati ketika berbahas. Kata Johari, penggunaan perkataan seumpama itu adalah `salah’ dan bertentangan dengan Peraturan Tetap 36(10)(c) kerana berkemungkinan menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuhan di antara satu kaum dengan kaum yang lain di Malaysia.
Setakat itu sahaja sebab larangan label ‘kafir’ oleh Johari yang turut mengajak ahli-ahli Parlimen membuka lembaran baharu dalam berbahas.
Tetapi aduhai, ada pula pihak yang sanggup putarbelitkan kenyataan Johari itu sehingga labelkan pula beliau sebagai ‘jahil’ dan ‘sewel’. Lebih dahsyat lagi apabila pengkritik Johari mengajak pula golongan agamawan agar ‘harus berani bercakap mengenai hukum-hakam agama kerana pada hari ini kita sudah mula nampak nilai-nilai liberalisme sedang bertapak di tanah air kita’.
Ya, tindak tanduk provokatif yang cuba mempengaruhi masyarakat mempercayai berita yang dimanipulasikan inilah yang harus dijauhi jika bangsa Melayu mahu bergerak ke kehidupan piawaian aras tinggi.
Johari jelas tidak mempersendakan agama Islam. Jauh sekali mengeluarkan fatwanya sendiri. Tetapi motif pengkritiknya hanya satu – putar belitkan fakta, ‘salah maklum’ atau dalam bahasa Inggerisnya misinformation.
TIDAK CERDIK
Kita akur bahawa putar belit dan main wayang taktik biasa untuk meraih sokongan dalam politik. Tetapi jangan sampai ketara sangat kurang cerdiknya.
Dan yang teramat malang, putar belit itu ‘melekat’ bagaikan gam dalam fikiran sebilangan orang. Damage has been done.
Aral melintang cukup besar sebenarnya terutama untuk sesiapa yang menerajui kerajaan. Berhadapan sebahagian pengundi, ibarat kisah enam orang buta dengan gajah. Mereka memberi deskripsi mengenai rupa bentuk seekor gajah. Ada yang memegang ekor, dikatakannya tali. Ada yang memegang kaki, dikatakannya tiang. Ada yang memegang telinga, dipanggilnya kipas. Yang memegang badan, disamakan pula dengan dinding. Yang memegang belalai, disamakan dengan ular.
Dan yang memegang gading, disamakan dengan tombak. Setiap daripada orang buta itu tidak salah. Mereka juga tidaklah betul.
Begitupun, untuk mempengaruhi minda sebahagian pengundi Melayu tidak sukar kerana mereka masih gemar mempercayai dan menyukai gosip, persepsi dan kontroversi. Dengan itu mudah diperkotak-katikkan oleh orang politik dengan menyertakan klip video ‘sekerat belut, sekerat ular’ untuk memperdaya minda orang Melayu.
Dan bercakap pasal perang saraf dan spin yang menggila, kita pasti teringat dengan juru propaganda Nazi Jerman di era Perang Dunia Kedua, Joseph Goebbels. Dia pernah mengungkapkan: “Inform, inform and when they are interested, misinform”.
Goebbels merupakan pakar propaganda diktator Adolph Hitler yang utama dan pembenci serta musuh orang Yahudi yang tidak ada tolok bandingnya.
Malah, ramai sejarawan berpendapat, jika Goebbels terus berperanan selepas Perang Dunia Kedua, Yahudi mungkin pupus di Eropah kerana semangat kebencian anti-semitisme yang begitu menyeluruh di Eropah, khasnya di Jerman.
Goebbels dimunculkan kerana kesungguhan dan kepakarannya sebagai ejen penerangan Nazi Jerman yang terhebat. Kebolehannya mengikut rekod arkib Jerman, menyebabkan Hitler lebih berani dan lebih ganas, terutama terhadap orang Yahudi di Jerman. Kejayaannya, walaupun dalam konteks pencapaian yang negatif, lantaran kebolehan putar alam dan putar belitnya, `harus diterima’ kerana beliau berjaya mempakari semua aspek hearts and minds (hati dan pemikiran) rakyat Jerman – sekali pun jiwa Yahudi tidak berjaya dikuasai pemerintahan Nazi.
Kisah Goebbels patut menjadi teladan hari ini, terutama buat orang Melayu untuk bijak menilai mana satu kaca, mana satu permata.
Don’t judge a book by its cover. Jangan menilai seseorang itu dari luaran sahaja, tetapi nilainya dengan lebih mendalam.
Jangan lekas buat kesimpulan untuk mengelak kerugian besar di kemudian hari. – Mingguan Malaysia