1MDB: Ketegasan Anwar mula tunjuk hasil

1MDB: Ketegasan Anwar mula tunjuk hasil

ANWAR Ibrahim memberi amaran kepada Goldman Sachs untuk bekerjasama mengembalikan dana 1MDB atau berhadapan tindakan lebih tegas daripada Malaysia. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI bersetuju kerajaan Pakatan Harapan (PH) di bawah pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad selama 22 bulan dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2020 bukan sebuah kerajaan yang bagus. Banyak janji dalam manifesto PH pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) diabaikan oleh Dr. Mahathir atas alasan manifesto bukan kitab suci. Agenda reformasi institusi tidak berlaku dan janji peralihan kuasa juga dicabuli oleh Dr. Mahathir.

Walaupun banyak perkara negatif melingkari pentadbiran Dr. Mahathir, salah satu perkara boleh dipuji ialah keputusan beliau menolak cadangan bayaran ganti rugi bernilai 2 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) oleh Goldmand Sachs kepada Malaysia atas peranannya membantu syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menerbitkan tiga bon bernilai AS$6.5 bilion dengan mengenakan komisyen 10 peratus dan caj enam peratus pada 2012 dan 2013. Jumlah bayaran ganti rugi bernilai AS$1.75 bilion ini adalah terlalu rendah berbanding AS$7.5 bilion dituntut kerajaan PH pada waktu itu.

Selepas kerajaan PH tumbang dan Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat sumpah pada 1 Mac 2020, beliau sebaliknya mengambil masa terlalu singkat untuk menerima penyelesaian ditawarkan Goldman Sachs berjumlah AS$3.9 bilion yang diumumkan Kementerian Kewangan pada 24 Julai 2020. Hanya dalam tempoh seminggu, penyelesaian ini dicapai oleh pasukan perundingan.

Penyelesaian ini meliputi pembayaran tunai AS$2.5 bilion dan jaminan untuk pengembalian penuh berjumlah sekurang-kurangnya AS$1.4 bilion dari segi aset berkait dengan hasil telah diseleweng melalui bon-bon yang ia terbitkan dan janji untuknya atas biaya sendiri, membantu kerajaan dalam melantik pakar pemulihan aset untuk mendapatkan kembali aset-aset lain yang kini berada di luar negara.

Muhyiddin waktu itu berkata, penyelesaian ini merupakan satu kejayaan dalam usaha mengembalikan hak dan harta rakyat Malaysia tetapi Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mendedahkan pada 6 Mac lalu bahawa sabitan ke atas dua bekas pegawai kanan Goldman Sachs, Tim Leissner dan Roger Ng Chong Hwa kerana membantu merompak berbilion dolar daripada 1MDB menunjukkan keraguan dalam penyelesaian ini.

Johari berkata, jumlah penyelesaian rendah yang dicadangkan menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dalam perjanjian itu. Goldman Sachs jelas mengambil kesempatan daripada kelemahan perunding Malaysia dan Malaysia juga gagal untuk mendapatkan AS$1.4 bilion seperti dijanjikan. Tegas Johari, kesalahan Leissner dan Roger Ng boleh dikaitkan dengan Goldman Sachs untuk memastikan ia bertanggungjawab sepenuhnya atas semua kerugian 1MDB.

Pendapat Johari dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang segera mengumumkan pada 10 Mac lalu bahawa Johari dilantik mengetuai pasukan petugas bagi menyelesaikan beberapa isu membabitkan skandal 1MDB dengan mandat untuk merungkai semula perjanjian bersama Goldman Sachs kerana Anwar sendiri dari awal menganggap perjanjian ini dibuat secara gopoh-gapah dan menimbulkan banyak persoalan.

Seperti Anwar tegaskan, orang kadang-kadang memandang remeh soal ketelusan dan ketegasan tetapi ini soal menyelamatkan wang rakyat. Dan hal ini beliau tegaskan dengan lebih lantang dalam Sidang Kemuncak Tahunan Institut Milken Asia ke-10 di Singapura pada 13 September lalu. Beliau memberi amaran kepada Goldman Sachs untuk bekerjasama mengembalikan dana 1MDB atau berhadapan tindakan lebih tegas daripada Malaysia.

BANANA REPUBLIC

Mesej Anwar di Singapura kepada Goldman Sachs jelas dan tegas, “Saya tidak akan berhenti mendapatkan kembali dana 1MDB yang dirompak kerana ia bukan wang saya, saya berhutang dengan rakyat saya.

“Malaysia bukan banana republic yang boleh dirompak dan ditinggalkan, dan wang rompakan itu mesti dipulangkan untuk pendidikan rakyat, penjagaan kesihatan awam dan kemudahan asas.”

Keseriusan Anwar mendapatkan kembali dana 1MDB mula menunjukkan hasil setelah berjaya mendapatkan AS menyerahkan Roger Ng kepada penguat kuasa undang-undang untuk siasatan dan pendakwaan seterusnya di negara ini sebelum mula menjalani hukuman penjara 10 tahun yang dijatuhkan selepas disabitkan di New York kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB.

Laporan media antarabangsa mengenainya positif sekali berbunyi, “Malaysia’s campaign to pressure international financial powerhouse Goldman Sachs to renegotiate a previous multi-billion dollar settlement for damages over the scandal at 1MDB has received a hard-fought boost. This was after Prime Minister Anwar Ibrahim’s government reached an agreement with the US to return the bank’s convicted former executive Roger Ng Chong Hwa to Malaysia.”

Mendapatkan Roger Ng kembali adalah langkah penting dalam usaha mendapatkan kembali dana 1MDB dan ini berjaya dilakukan dengan bantuan firma guaman AS, Amsterdam & Partners LLP yang dilantik oleh kerajaan Malaysia apabila pada 5 Oktober lalu, Ketua Hakim Daerah AS, Margo Brodie mengarahkan Roger Ng menyerah diri kepada Perkhidmatan Marsyal AS supaya dia boleh diserahkan kepada penguat kuasa undang-undang Malaysia.

Kelmarin, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan Roger Ng sudah tiba di Malaysia pada tengah malam Sabtu untuk disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Sekuriti dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Siasatan ini antara lainnya pasti akan membuka lembaran baharu dalam usaha mendapatkan penyelesaian lebih adil daripada Goldman Sachs.

Kejayaan PDRM membawa balik salah seorang sekutu rapat Jho Low yang juga bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan serta merampas dan menyita sebahagian asetnya dianggarkan bernilai lebih RM93.2 juta juga indikasi bagus ke atas keseriusan kerajaan menangani isu 1MDB. Ramai lebih yakin dengan PDRM setelah kenaikan Razarudin, apa lagi bila sehubungan dengan perkembangan tangkapan Jho Low, dia memberikan komitmen tinggi dengan berkata, “Kalau Jasmine Loo pun kita boleh bawa balik…”

Semoga isu 1MDB akan lebih cepat mencapai pengakhiran menggembirakan dengan komitmen tinggi diberikan semua pihak ini khususnya Anwar sendiri. Dan mungkin perlu juga disiasat sama jika ada salah laku dalam perundingan terdahulu. – UTUSAN

DR. Mazlan Che Soh ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya