Zoo, pasar borong? Perlukah terjerit-jerit, cakap kuat-kuat? - Utusan Malaysia

Zoo, pasar borong? Perlukah terjerit-jerit, cakap kuat-kuat?

Gambar - JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KECOH betul apa yang berlaku di Dewan Rakyat baru-baru ini. Ada yang kata macam di zoo, ada yang kata pasar borong. Bagi saya, kedua-duanya sama, malah lebih teruk. Memalukan.
Sejak awal, saya menjangkakan sidang Dewan Rakyat kali ini berlangsung penuh profesional, berdedikasi terhadap masalah ekonomi rakyat pasca Covid-19, berbincang dan memikirkan bagaimana mahu mengembalikan kualiti negara. Tetapi apa yang berlaku sebaliknya, sejak minggu pertama pembukaan sidang lagi sudah berlaku kekecohan.
Dapat ‘gaji’ sebagai wakil rakyat, yang dipilih oleh rakyat, buatlah kerja dengan sebaiknya.
Jika inilah yang berterusan hendak dipertontonkan kepada rakyat, malah disaksikan oleh warga dunia, nasihat awal saya, nanti ketika Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), pilihlah calon yang benar-benar ‘manusia’, bukan sebaliknya. Cakap kasarnya, jangan memilih selain daripada spesies ‘manusia’.
Sidang Parlimen kali ini boleh dijadikan rujukan untuk PRU16 nanti, sama ada yang hendak dipilih nanti bercakap mengenai soal rakyat atau sekadar terpekik-pekik.
Ada pula yang tiba-tiba bangun mencelah kemudiannya terjerit-jerit, rupa-rupanya di tempat duduk di ‘galeri awam’ ada rombongan lawatan ‘orang kampung’ mereka, erti kata lain, nak tunjuk hero. Selepas itu, senyap sampai habis sesi sidang. Bukan kita tak tahu ya ‘drama’ ini. Ramai sudah melakukan ‘modus operandi’ sedemikian.
Mencakupi dunia luar daripada ‘Rumah Demokrasi’, situasi seperti di zoo atau pasar borong ini, boleh kita lihat dalam persekitaran hidup kita. Cuba lihat sekeliling, pasti ada sahaja ‘spesies’ yang bercakap kuat, tak memikirkan sensitiviti sesiapa yang berada berhampiran dengannya. Sudahlah bercakap kuat, tak berhenti-henti pula bercakap. Bila masa dia buat kerja, bila masa dia tahu penat, saya pun tak tahu.
Orang seperti ini kita perlu bisikkan ke telinganya, ‘buat-buatlah pergi berubat’. Seakan-akan bercakap kuat itu seperti normal, ia sebenarnya tidak normal.
Spesies ‘cakap kuat’ ini kadang-kadang bersembang hal-hal kelambu, hal rumah tangga, hal privasi rumah di tempat awam. Inilah yang dikatakan ‘lori sampah’, sebab sudah terlalu penuh dan akhirnya orang sekeliling jadi pusat longgokan sampah yang keluar daripada mulutnya.
Berbalik kepada sidang Dewan Rakyat, inilah realitinya orang kita. Sangat jauh standard, kualitinya berbanding dengan ‘Westminster’ (Rumah Demokrasi) lain. Hilang sudah mana hormatnya, mana malunya, mana hemahnya adab orang kita.
Mengapa? Apakah dengan cara itu, segala masalah, segala aduan, segala apa yang dibangkitkan boleh selesai dalam tempoh sekelip mata?
Cuba-cubalah belajar, melawat, melihat dari hati bagaimana ‘Rumah Demokrasi’ di luar negara berjalan. Lebih tertib, sopan, berhemah, jika nak dibandingkan dengan Parlimen Malaysia.
Seorang Ahli Parlimen pernah memberitahu, kerusi untuk setiap anggota di Dewan Rakyat cukup besar dan berat. Katanya, bagus juga berat sebab kalau ringan nanti ada yang membaling kerusi pula jika keadaan ‘tak terkawal’.
Tapi saya rasa, ini bukan sangkaan jahat mengikut Peraturan Mesyuarat 36(6), lama-kelamaan mungkin ‘terbang’ juga kerusi di Dewan Rakyat jika ada ‘spesies’ yang terpekik-pekik tak henti-henti itu.

Metra Syahril Mohamed adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya