Suatu ketika di awal tahun 1980an, di Kampung Lindungan, Sungei Way, Jalan Klang lama depan Kontena Nasional, penduduk kampungnya bimbang dengan hantu kum kum.
Entah daripada mana punca beritanya, yang dikatakan seorang wanita berpurdah terjatuh dalam sebuah bas mini, lantas tersingkap wajah ‘seramnya’. Dan setiap kali penulis balik dari sekolah menengah, menuju ke rumah di senja hari, yang dewasanya akan mengingatkan, ‘jaga-jaga hantu kum kum’.
Begitu jugalah dimomokkan waktu itu ada ‘pemenggal kepala’ berkeliaran masuk ke Kampung Medan dan Kampung Jaya (kemudian dinamakan Taman Datuk Harun), Petaling Jaya yang berdekatan, untuk mencari ‘kepala’. Kononnya kepala manusia itu akan menegapkan rasuk jambatan dibina dilalui ribuan kenderaan. Tidak akan runtuh.
Heboh dari mulut ke mulut, cumanya hantu kum kum dan ‘pemotong kepala’ tidak muncul-muncul. Tidak dilaporkan langsung oleh Utusan Malaysia dan Berita Harian, dua naskhah akhbar dilanggan penulis, setiap pagi dicampakkan Salleh, dari motosikalnya ke beranda kayu rumah.
Sampai ke hari ini kum kum tidak kelihatan. Kita orang Melayu masih terus ditakutkan-takutkan dengan kelibat individu dan parti politik tertentu. Bahaya si polan si polan ini. Kalau terus berkuasa, ‘habislah kita’. Parti itu akan kaut berdikit-dikit, dakwa pihak itu. Tapi yang hairannya bila mana-mana parti politik mahu berkuasa, parti serupa yang ditakut-takutkan merampas hak orang Melayu itulah juga gandingan.
Mengapa dulu halal, sekarang haram. Boleh semak balik sejarah. Sejarah tidak pernah menipu.
Hari ini kita perlu hidup tanpa ‘tongkat’ (keistimewaan) yang disediakan. Bahkan sekarang ini dilihat sebagai ‘excess baggage’ – sesuatu yang orang Melayu bawa dari dahulu hingga sekarang.
Bulan lepas seorang bekas ahli jawatankuasa dewan sebuah parti politik kalah saman terhadap ketua pemuda parti saingannya berkait isu aset Tabung Haji (TH) yang didakwa dijual kepada orang bukan Islam. Saman fitnah itu dikemukakan berhubung satu video yang dimuat naik ketua pemuda berkenaan bagi menuntut permohonan maaf kerana pendakwah bebas itu didakwa memfitnah aset institusi Islam itu dijual kepada orang bukan Islam ketika Pakatan Harapan (PH) memerintah sebelum ini. Keputusan mahkamah itu selepas mendapati video ketua pemuda tersebut bukan satu fitnah kerana terbukti aset TH tidak dijual kepada orang bukan Islam.
Jika tidak terlampau bergantung kepada ‘tongkat’, kita tidak akan mudah diperkotak-katikkan apabila didatangi sesuatu isu. Kita akan mampu menilai mana yang benar atau salah. Fakta atau auta, persepsi atau realiti.
BERMARUAH
Orang kita terutama yang muda harus ambil iktibar, pedoman dari orang dulu-dulu. Berprinsip, bermaruah dan ada harga diri. Kita bernasib baik mendapat pemimpin-pemimpin yang bijaksana mentadbirkan negara ini dalam perjuangan merebut kemerdekaan sehinggalah dicapai. Jasa-jasa mereka tidak boleh dilupakan laksana harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading, manusia mati meninggalkan nama.
Ketika orang Melayu menentang Malayan Union pada tahun 1946, pejabat penerangan kerajaan Inggeris menampal poster di kampung-kampung di mana gambar seorang Haji yang memakai serban memegang tali teraju layang-layang berbentuk kubung (sejenis binatang seakan-akan kelawar atau keluang).
Tangan kanan Haji itu memegang teraju yang ditulis dengan perkataan huruf besar ‘’siapa pegang teraju’’ – sebagai sindiran yang amat tajam, bahawa orang Melayu tidak layak memegang teraju. Ertinya tidak ada rupa orang Melayu hendak menentang Malayan Union dan kerajaan Inggeris yang gagah perkasa.
Demikianlah penghinaan kepada orang Melayu apabila digambarkan sebagai seorang Haji itu adalah Melayu memegang teraju layang-layang kubung, tetapi sebenarnya ialah Inggeris sendiri. Bagi jabatan propaganda itu, hanya Inggeris sahaja layak mentadbirkan negara ini.
HIKMAH
Sebelum Perang Dunia Kedua, kedudukan orang Melayu berpecah-pecah mengikut negeri masing-masing atau ditakrifkan sebagai bersifat kenegerian. Perpaduan dalam bentuk nasional boleh dikatakan tidak ada langsung walaupun terdapat usaha-usaha dilakukan oleh beberapa orang pemimpin yang sedar betapa pentingnya orang Melayu bersatu, akan tetapi tidak mendapat sambutan daripada orang ramai.
Penentangan terhadap Malayan Union menjadi satu hikmah kepada bangsa Melayu apabila mereka berada dalam keadaan perahu sudah terasak ke tebing, ikan sudah sesak ke belat. Ledak kebangkitan semangat ketika itu telah berjaya menyatupadukan orang Melayu.
Mesej yang paling baik diamalkan kini ialah kontrak sosial Perlembagaan Persekutuan hendaklah dihormati dan dipatuhi dalam semua urusan kebangsaan kita. Perlu dicari dan dimurnikan bibit-bibit persamaan antara kaum di Malaysia dengan mengambil kira tautan sejarah, interaksi sosial dan budaya zaman dahulu membawa saat ini.
Hari ini, perahu sudah di air dayung sudah di tangan, kayuhlah dengan cermat dan hati-hati supaya selamat sampai ke seberang.
Bila berjalan, janganlah sentiasa mendongak ke langit. Pandanglah sesekali ke bawah supaya tidak terantuk kaki terkena akar kayu yang melintang.
Bila sudah sampai ke seberang, jangan lupa pangkalan tempat mula berkayuh.
Sehingga kini, dalam usia penulis awal 50an, rupa hantu kum kum yang menjadi buah mulut penduduk Kampung Lindungan tidak pernah diperincikan.
Bila ditanya berkali-kali, yang dewasanya akan menjuihkan mulutnya…’dah hantu, rupanya hantulah’.
Kita (rakyat) jangan asyik membiarkan diri ditakutkan-takutkan dengan ‘bebayang’, tanpa ‘tongkat’.
Usah takut dengan bebayang, tanpa ‘tongkat’…
- Oleh ZULKIFLI JALIL
- 3 September 2023, 9:45 am
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
BERITA BERKAITAN
Ikut Machiavelli, ‘harimau dari perut’ atau taktikal
15 Disember 2024, 10:10 am
Jangan pinggirkan pendidikan inklusif
8 Disember 2024, 10:03 am
Melindungi pemberi maklumat rasuah
1 Disember 2024, 9:03 am