Tak turun mengundi, bukan normal - Utusan Malaysia

Tak turun mengundi, bukan normal

Seorang anggota polis menjaga pusat mengundi yang masih kosong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai di SK Seri Melati, Johor Bahru, Johor. pada Sabtu lalu. – mingguan/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Peratusan keluar mengundi yang disasarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak 70 peratus bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu lalu tidak mencapai sasarannya. Di Pulai peratusan keluar mengundi sekitar 47 peratus manakala di Simpang Jeram 61 peratus. Begitu juga peratusan keluar mengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu juga di bawah 75 peratus.
Antara alasan penyusutan peratusan keluar mengundi di Pulai kerana faktor cuaca dan dikatakan ramai pengundi yang bekerja di Singapura tidak keluar mengundi. Malah ramai mengatakan setiap PRK jumlah peratusan keluar mengundi relatifnya rendah. Bagi mereka itu ‘normal’. Apapun alasan, kemerosotan peratusan keluar mengundi tidak boleh dipandang remeh.
Hakikatnya, demokrasi adalah sistem politik di mana kuasa kerajaan berasal daripada rakyat atau pengundi. Dalam konteks ini, setiap rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka melalui kertas undi.
Kebebasan untuk menyuarakan pendapat adalah hak asasi manusia yang penting. Memastikan kepelbagaian pendapat dihormati dalam pilihan raya adalah satu cara untuk melindungi hak ini.
Jika pengundi semakin kurang berminat keluar mengundi, ia melambangkan kelesuan amalan demokrasi dan tindakan segera perlu diambil oleh pihak berkuasa khususnya SPR.
Namun, untuk mencapai demokrasi yang sebenar, adalah penting setiap segmen masyarakat, terutamanya yang mempunyai pelbagai pendapat dan keperluan, mendapat peluang untuk menyuarakan suara mereka dalam proses pilihan raya.
Adakah pengundi mula muak dengan gelagat pemimpin politik, protes atau tiada masa mengundi? Sejauh mana kepentingan peratusan keluar mengundi menjejaskan kreadibiliti calon yang menang?
Jumlah keluar mengundi adalah penting kerana ia mempunyai impak besar terhadap keseluruhan proses demokratik dan keputusan pilihan raya. Usaha kerajaan untuk memastikan peratusan keluar mengundi tinggi adalah dengan memperkenalkan Undi18 tahun kerana dikatakan golongan muda tidak mendaftar sebagai pengundi. Berikutan kelesuan keluar pengundi dalam kalangan anak muda dan pengundi baru harus dinilai sejauh mana keberkesanan kempen undi 18 tahun ini.
Namun mutakhir ini nampaknya usaha ini kurang memberangsangkan. Peratusan keluar mengundi semakin mencemaskan seolah-olah pilihan raya tidak penting lagi dalam kehidupan masyarakat.
Hakikatnya, jumlah peratusan keluar mengundi akan mewakili kepelbagaian pendapat. Semakin ramai keluar mengundi, semakin baik pilihan raya itu akan mewakili pelbagai pendapat dalam masyarakat. Ini adalah asas demokrasi, yang mementingkan penyertaan semua golongan dalam proses membuat keputusan politik.
Peratusan keluar mengundi yang ramai melambangkan keabsahan kerajaan di peringkat Parlimen dan Negeri. Apabila jumlah pengundi tinggi, kerajaan yang terpilih akan mempunyai lebih absah. Ini bermakna, kerajaan tersebut akan dianggap lebih sah dan berkelayakan untuk menerajui kerajaan.
Sementara itu, jika hanya sebahagian kecil penduduk mengundi, terdapat risiko keputusan pilihan raya akan didominasi oleh minoriti atau kelompok khas yang aktif mengundi, manakala pendapat majoriti tidak diwakili. Ini boleh menyebabkan ketidakadilan politik yang semakin menjadi polemik politik di Malaysia.
Walaupun dalam negara ini, jika menang satu undi sekali pun dianggap menang sesuai dengan amalan sistem Westminster, namun ramai yang akan mempertikaikan jumlah keluar mengundi sebagai asas keabsahan dan kualiti calon yang memenangi pilihan raya.
Semasa pilihan raya umum, 656 kawasan parlimen di seluruh negara masing-masing mengadakan pemilihan berasingan. Untuk menjadi ahli parlimen, calon memerlukan jumlah undi terbanyak di kawasan mereka. Ini bermakna setiap Ahli Parlimen mempunyai tahap sokongan tempatan yang berbeza. Jika jumlah pengundi rendah, calon mungkin tidak berasa perlu untuk berusaha keras, selesa untuk mendapatkan undi. Namun, jika terdapat tekanan daripada jumlah pengundi yang besar, calon-calon akan cenderung untuk lebih berkualiti dan menjalankan kempen yang lebih baik.
Persaingan yang sengit menggalakkan calon dan parti politik yang memenangi pilihan raya memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan sokongan berterusan pada masa akan datang.
Keluar mengundi adalah tanggungjawab pengundi. Dengan meningkatkan jumlah pengundi, pengundi juga akan lebih cenderung untuk melibatkan diri dalam proses politik dan dasar pemerintah. Ini merangsang rasa tanggungjawab dan kesedaran politik dalam kalangan masyarakat.
Jumlah keluar pengundi yang tinggi juga dapat membantu mengimbangi kuasa politik, kerana pemimpin dan parti politik perlu mengambil kira kepentingan pelbagai segmen masyarakat untuk mendapatkan sokongan. Keadaan ini juga perlu mempertimbangkan pandangan semua pihak walaupun pihak lawan demi kepentingan bersama.
Peratusan jumlah keluar mengundi dalam pilihan raya sangat penting kerana ia adalah asas kepada sistem demokrasi yang berfungsi dengan baik. Semakin banyak yang mengundi, semakin kuat dan sah sistem politik itu. Oleh itu, pihak berkuasa dan masyarakat seharusnya berusaha untuk meningkatkan penyertaan pengundi dalam pilihan raya.
Apabila jumlah keluar mengundi meningkat, proses pilihan raya akan lebih mewakili kepelbagaian pendapat dalam masyarakat. Ini bermakna pelbagai pandangan, nilai-nilai, dan keperluan yang berbeza dihormati dan diberi perhatian oleh pemimpin parti politik yang terpilih. Kehadiran pelbagai pendapat dalam proses politik adalah penting dalam proses demokrasi dan pilihan raya.

Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman ialah Professor di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya