“SAYA dari bank bukan scammer. Ini betul-betul dari bank tahu bukan scammer. Saya boleh e-mel detail dan puan boleh datang ke bank ini juga kalau mahu jumpa saya untuk bincang.”
Itu kata seorang lelaki yang menawarkan produk perkhidmatan sebuah bank yang berulang kali menyatakan bahawa dia bukan seorang scammer apabila saya menjawab panggilan daripada orang yang tidak dikenali baru-baru ini.
Kadang-kadang walaupun kita ada memuat naik aplikasi untuk mengetahui siapa pemanggil sekali pun tetapi untuk direct line ada juga yang tidak dipaparkan nama pemanggil.
Jadi, yang betul-betul buat bisnes dengan cara menelefon seperti bank dan telemarketer yang lain, pasti menghadapi situasi ini, dituduh scammer.
Bukan apa, ramai yang sudah berhati-hati ketika ini kerana pemanggil telefon sekarang banyak yang mengarut. Cakap pun laju-laju sebiji butir pun kita tak faham. Senang cakap, bercakap macam tak ada perasaan lah. Tahu-tahu habis saja. Kita pun terpinga-pinga. Apa benda dia cakap ini?
Sekarang ini sudah jadi kebiasaan kebanyakan kita hari-hari akan menerima panggilan telefon entah daripada siapa dan entah dari mana setiap hari. Bagaikan nombor telefon kita sudah jadi hakmilik awam.
Ada saja yang menelefon atau menghantar mesej dari ejen insurans, peminjam wang berlesen, syarikat pelancongan dan macam-macam lagi. Dari mana mereka dapat nombor telefon kita itu yang menjadi persoalan. Adakah data kita yang sudah ada di syarikat telekomunikasi, bank atau perkhidmatan lain yang kita langgani sudah didedahkan atau dijual kepada orang ramai dan dapat pula kepada scammer?
Ini persoalan dah lama dah, sepatutnya kementerian yang terbabit selesaikan masalah ini juga. Bukan beria-ia cari orang yang kecam menteri atau pantau kenyataan orang ramai yang menyentuh isu 3R semata-mata.
Cari juga sebab mengapa isu ini tak habis-habis. Siasat adakah data ini dijual oleh orang dalam syarikat telekomunikasi sendiri atau macam mana?
Hakikatnya, tidak ramai pun di antara kita yang suka dihubungi telefonnya oleh orang luar selain keluarga, kawan dan rakan sekerja. Kita mahukan privasi.
Jangan jawab panggilan tak dikenali? Tidak boleh juga, kalau kita ini bekerja dalam bidang yang banyak pihak mahu berurusan dengan kita dan mungkin juga panggilan tersebut kecemasan.
Banyak sudah pihak yang tertipu dengan panggilan scammer ini yang mengakibatkan kerugian bukan sedikit. Makan juta-juta ringgit walaupun pemberitahuan tentang wujudnya scammer dan tips-tips mengelak scammer diuar-uarkan oleh pihak berkuasa.
Baru-baru ini seorang wanita pesara swasta dari Subang Jaya rugi RM3.8 juta selepas menjadi mangsa sindiket penipuan telefon. Mangsa menerima panggilan telefon yang mendakwa dia terbabit dalam jenayah pengubahan haram.
Sebelum ini pun seorang pesara rugi lebih RM500,000 terpedaya dengan panggilan telefon scam dan seorang pensyarah rugi RM2.57 juta akibat Macau Scam. Yang ditipu kebanyakannya orang cerdik pandai dan berduit.
Betul, kita berdepan dengan banyak scammer di sekeliling. Yang mahu mengambil kesempatan, yang jual lain tapi kita dapat barang lain, yang cakap lain buat lain, yang bercakap saja tapi tak buat kerja dan bermacam lagi penipuan. Senang cakap, rakyat sudah letih kena tipu lah.
Diharapkan kementerian terbabit, ambil serius kegiatan scammer ini. Tidak cukup hanya beri peringatan atau nasihat pada orang ramai. Sebabnya, kebanyakan kita ini nasi makan juga walaupun harga beras mahal tetapi nasihat memang tak makan.