PRK Pulai pertempuran naratif politik - Utusan Malaysia

PRK Pulai pertempuran naratif politik

Anwar Ibrahim berbual dengan Suhaizan Kayat pada Kenduri Rakyat di Parlimen Pulai baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GELOMBANG sokongan rakyat terhadap parti kerajaan mahupun pun pembangkang dalam pilihan raya enam negeri lalu masih terasa dan kini getarannya diteruskan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai Johor. PRK kali ini amat penting untuk menentukan jumlah kerusi di Parlimen yang sebelum ini disandang oleh Pakatan Harapan (Amanah).
Kerusi Parlimen Pulai menyaksikan saingan tiga penjuru iaitu bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Suhaizan Kayat, mewakili calon Pakatan Harapan (PH) akan ditentang calon Perikatan Nasional (PN), Zulkifli Jaafar manakala Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKPKL) Samsudin Mohamad Fauzi pula diumumkan bertanding sebagai calon Bebas.
Mungkin agenda, strategi dan propaganda serta naratif politik yang dicipta oleh parti yang bertanding berbeza dengan enam PRN lalu.
Persoalannya, sejauh mana sentimen dan naratif pilihan raya enam negeri lalu akan digunapakai di PRK Pulai ini? Atau wujud strategi dan naratif pembujukan baharu sesuai dengan isu lokal dan terkini?
Sudah tentu parti politik sudah mengambil iktibar dan belajar melalui kesilapan dari PRN enam negeri itu. Justeru, adakah pendekatan politik pembangunan dengan memberi sejumlah besar peruntukan mampu diterjemahkan dalam bentuk sokongan?
Berdasarkan statistik SPR, Parlimen Pulai mempunyai seramai 166,653 pemilih dengan komposisi yang lebih kurang sama rata iaitu pengundi bandar dan luar bandar.
Sejauh mana kempen naratif murahan mampu memikat hati pengundi elitis dan akademia serta bangsa Johor?
Sejauh mana serangan peribadi dan asakan malah ‘ugutan’ terhadap pemimpin tertentu mampu melemahkan semangat dan sokongan?
Naratif politik merujuk kepada kerangka penceritaan atau naratif yang digunakan oleh aktor politik untuk menyampaikan mesej, mempengaruhi pendapat umum atau membentuk persepsi masyarakat terhadap isu politik.
Ketika berkempen dalam pilihan raya, naratif politik digunakan untuk mendapatkan sokongan terhadap dasar, calon politik atau ideologi tertentu. Sudah tentu pada PRK kali ini, konsep Madani menjadi naratif politk utama bagi PH-BN atas nama Kerajaan Perpaduan.
Perancangan dan kerangka kerajaan bagi memulih dan mengangkasakan sosioekonomi negara bukan sahaja di peringkat nasional tetapi global mampu menjadi ‘umpan’ untuk meraih sokongan pengundi.
Malah pelbagai kejayaan yang dikecapi Kerajaan Perpaduan dalam tempoh sembilan bulan mentadbir negara menyebabkan pihak pembangkang ‘resah’ dan cemburu.
Jelas, naratif bahawa walaupun kerajaan masih baru namun kejayaan inisiatif membantu rakyat yang dilaksanakan tidak boleh dinafikan.
Kejayaan itu mendorong parti pembangkang untuk menyerang dengan memainkan sentimen negatif pula termasuk menyentuh isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja.
Naratif yang memihak kepada PH-BN adalah kejayaan yang dapat kita lihat sekarang, iaitu kadar inflasi kita terus menurun dan kini mencapai pada kadar 2.4 peratus.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sektor komunikasi mencatatkan penurunan inflasi bagi harga Internet, iaitu menurun pada kadar negatif 3.6 peratus, bermakna harga Internet semakin murah.
Dalam pada itu, PN dijangka terus menjaja persoalan bebanan kos sara hidup, menguar-uarkan kerajaan kini dihantui oleh janji-janji yang dibuatnya sewaktu berada dalam pembangkang, selain mengeluar beberapa kenyataan ‘menggemparkan’ sesuai sebagai parti pembangkang.
Dakwaan PN atas kegagalan Kerajaan Persekutuan untuk ‘walk the talk’ menyebabkan rakyat semakin kritis dan mempersoalkan integriti dan kompetensi kerajaan diterajui PH buat masa ini.
Naratif melibatkan penggunaan seperti plot, watak, konflik dan tema untuk mencipta cerita yang menarik dan relevan dalam konteks politik.
Semasa PRN enam negeri lalu , Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md. Nor muncul sebagai sosok yang paling popular dalam media massa dan media sosial.
Naratif politik boleh digunakan untuk membentuk identiti dan nilai kolektif dalam sesebuah masyarakat. Sebagai contoh, PKR suatu ketika dahulu sering melaungkan naratif yang menekankan nilai tertentu seperti keadilan sosial, kebebasan individu dan ketelusan.
Begitu juga naratif politik digunakan untuk menonjolkan isu yang dianggap penting oleh aktor politik. Perdana Menteri ke-10 sering menyatakan persoalan rasuah ‘sakau’ yang menjadi perbualan rakyat. Ini membantu menumpukan perhatian ramai pada perkara tertentu dan merangsang perbincangan lanjut.
Semasa pilihan raya, naratif politik sering digunakan untuk menjana sokongan kepada calon atau parti. Kerajaan Perpaduan menampilkan naratif ini bagi mewujudkan rasa hubungan antara orang ramai dan tokoh politik yang mereka diminta untuk menyokong.
Naratif politik berfungsi sebagai alat pemujukan, pembingkaian, dan tafsiran. Mereka membentuk cara orang melihat peristiwa dan isu dengan membingkainya dengan cara tertentu, mempengaruhi pemahaman dan tindak balas emosi orang ramai.
Penggunaan Tiktok yang mencetuskan banyak penceritaan yang ‘berbisa’ menjadi kempen popular masa kini. TikTok menggunakan algoritma yang canggih untuk menganalisis tingkah laku pengundi dan menyampaikan kandungan yang selaras dengan pilihan mereka.
Melalui teknik bercerita, naratif politik dalam TikTok boleh mempengaruhi pendapat umum, yang berpotensi mempengaruhi sikap dan kepercayaan orang ramai dalam pelbagai subjek.
Pun begitu, walaupun larangan penggunaan sentimen yang menyentuh 3R semasa berkempen, masih ada segelintir pemimpin yang selesa memainkan isu ini.
Justeru, pemimpin serta aktor politik yang berkempen di gelanggang PRK Pulai diingatkan tidak mempermainkan isu melalui naratif berbaur 3R serta sentiasa menghormati undang-undang dan etika berkempen.
Apa pun naratif politik yang digunakan, apakah ia dapat menarik perhatian rakyat untuk mengundi calon parti mereka pada Sabtu depan?

Prof. Datuk Dr. Ismail Sualman dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian
Media Universiti Teknologi MARA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya