SEJAK akhir-akhir ini kita dapat membaca dalam berita di media sosial berkaitan kes-kes jenayah yang mana ungkapan lepas tanpa bebas (discharge not amounting to acquittal@ DNAA) serta lepas dan bebas (discharge and acquittal@DAA) diputuskan di mahkamah.
Ramai yang keliru tentang ungkapan ini dan ada juga yang membuat kesimpulan sendiri terutama ketika mengulas di ruangan komen berita-berita berkenaan.
Di sini adalah satu penerangan ringkas berkaitan dua perintah ini dan bagaimana ia diaplikasikan di mahkamah.
Apakah maksud lepas tanpa bebas atau DNAA ini? Maksud DNAA ini adalah di mana tertuduh di dalam sesuatu kes jenayah diberikan perintah lepas tanpa bebas oleh mahkamah yang mana tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan yang dikenakan namun dia tidak dilepaskan sepenuhnya dan mungkin boleh dituduh semula dengan pertuduhan sama dan tiada had masa yang ditentukan bagi pertuduhan semula pada seseorang itu.
Bagaimanapun, bagi perintah lepas dan bebas atau DAA, seseorang itu tidak boleh dituduh semula dalam pertuduhan yang sama.
Dalam menentukan hala tuju kes jenayah undang-undang memberikan kuasa budi bicara pada Peguam Negara sebagai pendakwa raya sebagaimana di bawah Seksyen 376 Kanun Acara Jenayah.
Dalam keadaan apa perintah ini boleh dipohon?:
Di mana mahkamah mendapati di bawah pertuduhan ini pertuduhannya adalah tidak berasas di bawah Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah sebagaimana yang diputuskan di dalam kes Karpal Singh & Anor v. Public Prosecutor (1991) 1 CLJ Rep 183; (1991) 2 CLJ 1458.
Di dalam kes ini tertuduh memohon agar dirinya dilepaskan dan dibebaskan dan bukan dilepaskan tanpa dibebaskan, namun Mahkamah Agung yang memutuskan bahawa Kanun Acara jenayah tidak membuat peruntukan untuk pembatalan prosiding atau pembebasan seorang sebelum mendengar semua keterangan yang dapat dikemukakan oleh pihak pendakwa, dan penangguhan kes tidak menjejaskan syarat ini.
Tidaklah menjadi tujuan atau matlamat Parlimen untuk membenarkan mahkamah rendah melaksanakan kuasa luas yang telah diberi kepada pihak Pendakwa Raya.
Yang mana jika pihak pendakwaan memohon penangguhan kerana siasatan tidak lengkap atau masih diteruskan, maka mahkamah boleh melepaskan tertuduh tanpa dibebaskan sebagaimana yang diputuskan di dalam kes Public Prosecutor v. Tan Kim San (1980) 1 LNS 66.
Mahkamah di dalam kes ini telah memberikan alasan bahawa prinsip berkaitan seseorang itu tidak seharusnya dituduh sehingga siasatan di dalam sesuatu kes telah tamat dan seseorang itu tidak berhadapan dengan sesuatu kes jenayah sehingga pihak pendakwaan boleh membuktikan kes terhadapnya.
Jika ini dilakukan ia adalah tidak adil kerana apabila seseorang itu dituduh di mahkamah, dia akan disisihkan oleh kawan kawan. Perniagaannya akan terjejas. Penghutang akan memburunya. Keluarga akan merasa malu. Keadaan mentalnya akan terganggu menunggu perbicaraan. Dia juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk melantik peguam. Jika akhirnya dia didapati tidak bersalah, kerosakan telah pun berlaku.
Sekiranya pihak pendakwaan tidak boleh meneruskan kes juga dianggap pertuduhan adalah tidak berasas.
Secara praktikalnya jika ada kesilapan teknikal di dalam pertuduhan tertuduh, pihak pendakwaan akan memohon agar tertuduh dilepaskan tanpa dibebaskan sementara pembetulan kesilapan itu dan dituduh semula pada hari yang sama.
Di bawah Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah juga memberikan kuasa pada pihak pendakwaan untuk tidak meneruskan kes pada mana-mana tahap kes.
Dan di dalam keadaan ini perintah yang dipohon adalah dilepaskan dan dibebaskan atau apa-apa perintah yang mahkamah arahkan. Namun kuasa untuk sesuatu perintah di bawah Seksyen ini adalah berdasarkan penelitian mahkamah terlebih dahulu.
Di dalam kes Vigny Alfred Raj Vicetor Amratha Raja v. Public Prosecutor (2022) 1 LNS 1530, Mahkamah Persekutuan memutuskan sekiranya pihak pendakwaan memohon suatu perintah seseorang dilepaskan tanpa dibebaskan, pihak pendakwaan perlu memberikan alasan-alasan mantap dan membuktikannya.
Mahkamah di dalam kes ini juga memutuskan bahawa perintah DNAA harus digunakan secara berhemah berdasarkan alasan-alasan mantap dan sekiranya tiada alasan atau ia diserahkan pada budi bicara mahkamah untuk perintah yang sesuai maka perintah dilepaskan dan dibebaskan harus diberikan pada tertuduh.
Oleh itu, perintah DNAA seharusnya digunakan menurut undang- undang sebagaimana ringkasan di bawah ini:
Seksyen 173(g) Kanun Acara Jenayah Mahkamah boleh melepaskan tanpa bebas sahaja sekiranya tidak mendengar keterangan atau setelah mendengar keterangan jika dapati pertuduhan tidak berasas
Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah pihak pendakwaan boleh memohon pelepasan tanpa bebas dengan alasan kukuh, mahkamah pula perlu meneliti alasan-alasan ini, jika gagal mahkamah akan memberikan perintah lepas dan bebas.
Di bawah Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah Mahkamah tidak perlu mendengar apa- apa keterangan untuk memberikan perintah lepas tanpa bebas atau lepas dan bebas.
Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan gambaran dan kefahaman kepada orang ramai berkaitan kuasa pihak pendakwaan dan mahkamah.
Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.