Apabila rakyat mengadu kepada Agong - Utusan Malaysia

Apabila rakyat mengadu kepada Agong

Lawatan Agong ke Sabah mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk. – Gambar Istana Negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TERUJA betul melihat seorang wanita selamba saja menghulurkan sesikat pisang selepas mengejar kenderaan yang dipandu sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Begitu ramai mengejar kenderaan itu dan Raja Permaisuri, Tunku Azizah Aminah Maimumunah Iskandariah juga dihulurkan dengan pelbagai ‘buah tangan’ yang diharapkan boleh dijadikan ‘jajan’ mengisi perut sepanjang perjalanan jauh kerabat diraja itu dalam Kembara Kenali Borneo di Sabah baru-baru ini sebelum ke Sarawak dan Brunei.
Setiap jalan yang dilalui baginda, penuh dengan orang ramai yang mahu melihat keluarga itu dari dekat. Dalam satu video di media sosial, saya melihat Permaisuri Agong menitiskan air mata di dalam kenderaan melihat sekumpulan kanak-kanak yang berteriak dan beria-ia mengejar serta melambai-lambai tangan ke arahnya.
Sesiapa pun akan seronok melihat sambutan luar biasa rakyat Sabah terhadap kehadiran Ketua Negara dan keluarganya ini. Dalam media sosial, penuh perkongsian video detik-detik kegembiraan menunggu rombongan itu. Ada yang sampai tercicir selipar.
Jelas kelihatan keikhlasan . Nampak keramahan dan besar hati mereka. Mereka sanggup berhujan tanpa dikerah seperti yang dilakukan oleh segelintir politikus untuk menyambut kedatangan sesetengah pemimpin parti politik.
Saya melihat dalam TikTok ada yang menyapa YDPA – Assalamualaikum Tuan, Pak Cik Agong, Bossku dan kedengaran kata-kata ‘kasi turun bah, kasi turun’, kepada body guard Agong kerana mereka mahu bersalaman.
“Ada panggil saya ‘pakcik Agong, ada panggil ‘Gong, Gong, Gong, Permaisuri dipanggil Datin. Ini semua realiti yang menakjubkan dan keharmonian ditunjuk di sebalik kepelbagaian. Ini simbol perpaduan dan kestabilan Sabah yang wajar jadi tauladan,” titah baginda pada majlis santapan malam.
Selain teruja melihat keramahan rakyat Sabah, banyak yang boleh dibaca dan difahami melalui sambutan hangat rakyat ini.
Seorang rakan dari Sabah berkata, langkah Seri Paduka memandu sendiri di sepanjang laluan Lebuhraya Pan Borneo dari Tawau ke Kuching, Sarawak itu, adalah tindakan yang ‘amat berani’ dan tentu saja dikagumi rakyat Sabah kerana pemimpin di peringkat negeri pun tidak melakukan siri jelajah seperti itu.
Sebabnya, jalan yang dilalui itu teruk umpama berjalan di atas bulan, jalan tidak rata dan berlubang. Tidak seperti di Semenanjung, lebuh rayanya ada kawasan rehat dan rawat (RnR), di sana kiri kanan kebanyakan ladang kelapa sawit. Kalau dalam perjalanan, sakit perut atau hendak buang air kecil, terpaksalah ‘meranduk’ ladang kelapa sawit itu.
“Ini masalah tradisi Sabah sejak dulu, bukan setakat jalan raya, kerap berlaku gangguan bekalan air dan elektrik. Line telefon jangan ceritalah,” terangnya yang berasal dari Tawau itu.
Sebab itu, apabila ada yang berpeluang bertemu YDPA, hal jalan raya yang teruk itu terus disuarakan. Apabila, rakyat sendiri dapat bercerita isu keselesaan dan kualiti hidup mereka kepada Ketua Negara, tentu itu satu kepuasan kepada mereka. Apatah lagi YDPA dan Permaisuri turut mencatat masalah tersebut.
Sebelum siri jelajah itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memberitahu media, jalan yang dilalui oleh YDPA adalah sama seperti laluan yang digunakan orang biasa dalam siri jelajah itu.
“Agong tahu projek ini belum siap jadi, (jelajah itu) untuk lihat di mana-mana sepanjang jalan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah dan Sarawak,” jelas Nanta Linggi.
Jika YDPA berani melakukan siri jelajah, ia sepatutnya menjadi cabaran kepada pemimpin negeri untuk melakukan perkara sama. Hakikatnya, Sabah juga memerlukan pembangunan dengan pelbagai infrastruktur seperti Semenanjung.
Diharapkan dengan siri jelajah YDPA ini akan membuka mata dan mempercepatkan segala janji kepada rakyat semasa kempen pilihan raya yang lalu.
Iyalah, kenapa tunggu YDPA pula menyampaikan masalah rakyat itu kepada Kerajaan Persekutuan atau Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Sepatutnya, pemimpin di peringkat negeri yang buat kerja itu.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya