YB, baca dan telitilah luahan, kehendak rakyat dengan hati terbuka - Utusan Malaysia

YB, baca dan telitilah luahan, kehendak rakyat dengan hati terbuka

Dalam isu semasa ketika ini, ramai yang bercerita soal harga barang, kos sara hidup malah ramai yang meminta duit mereka di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dikeluarkan. - Gambar Hiasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEMANG tidak dinafikan, media sosial ketika ini menjadi platform utama sesiapa sahaja, rakyat, pengundi, anak muda, warga emas, nelayan, peneroka, orang kaya, kolar biru, kolar putih, peniaga meluahkan segala-galanya, bercerita, ‘mengisahkan’ mengenai apa jua isu yang mendepani mereka.
Kalau pada musim pilihan raya, sebelum nama-nama calon diumumkan lagi, mereka ini sudah bersuara. Kalau bukan musim pilihan raya sekalipun, apa jua isu mendatang, mereka juga bersuara, baik di ruangan komentar mahupun dalam ‘kotak’ hantaran (posting), berbentuk tulisan atau juga secara video. Bacalah, hadamkan (khususnya pemerintah di administratif Putrajaya). Perhatikan apa yang rakyat luahkan, apa yang mereka mahukan, apa yang mereka perlukan.
Mengkritik? Itu sudah semestinya. Kalau tak tahan, ‘kuat sentap’, baik jangan masuk bidang yang berdepan dengan rakyat. Pokok pangkalnya, jangan memandang sebelah mata apa jua luahan rakyat.
Ini kerana melalui media sosial, rakyat, pengundi, anak muda atau sesiapa sahaja menyuarakan kehendak mereka kepada wakil rakyat, kerajaan, agensi kerajaan atau institusi terlibat secara terus dan terbuka.
Sekali lagi, bacalah dan ambil tindakan daripadanya. Dalam isu semasa ketika ini, ramai yang bercerita soal harga barang, kos sara hidup malah ramai yang meminta duit mereka di dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dapat dikeluarkan. Kerana apa? Jawapannya YB (Yang Berkhidmat) kenalah baca dengan hati yang terbuka dan merendah diri.
Malah di sudut lain, saya fikir, saya rasa, kebangkitan sesebuah parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini adalah kerana mereka membaca dan mengangkat suara rakyat. YB, rakyat menggunakan platform media sosial untuk bersuara, berkata soal itu, soal ini, soal nak meneruskan kehidupan mereka. Dan saya fikir juga, isu KWSP itu menjadi ‘tulah’ kepada administratif Putrajaya. Itu pendapat saya.
Baca juga komentar rakyat mengenai tingkah laku menteri. Ada yang menjengkelkan kerana dilihat seperti tidak serius ketika berada di bangunan administratif di sebalik rakyat bertarung dengan isu kehidupan.
Bacalah juga apa kata pengundi soal parti, soal siapa yang berada di tangga-tangga teratas. Jangan diharapkan sangat kepada kajian agensi itu agensi ini, atau si ‘pengampu’ yang berada di sekeliling. Mari buka satu persatu ruangan komentar, pasti ada jawapan yang boleh diangkat menjadi dasar, ketetapan dan penetapan.
Kalau ada rakyat atau pengundi kata tak suka yang itu, maka selidik dan ambil tindakan dengan sewajarnya.
Selain media sosial, akhbar juga menjadi platform rakyat bersuara. Soal jalan berlubang, isu kos sara hidup, KWSP dan macam-macam lagi, bacalah dengan tenang dan bertindaklah. Kita ini ada pelbagai ragam dan kehendak, sewajarnya dicari dan selesaikan secara baik.
Bak kisah Khalifah Umar Abdul Aziz yang cekap menangani masalah, aduan, kritikan rakyat sehingga menjadi contoh kepada banyak kepimpinan lain.
Pasca PRN ini berubahlah menjadi yang terbaik. Berfikir soal baik buruknya kita di depan rakaman video yang menjadi tontonan rakyat. Berfikir baik buruknya apa yang keluar daripada mulut kita.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya