Pilihan raya sudah habis. Bendera-bendera parti politik kebanyakan pun sudah diturunkan. Gelanggang sudah ditutup. Lambat lagi kita akan melalui pilihan raya umum yang satu lagi.
Sepatutnyalah, semua dah boleh ‘bersurai’. Maksudnya, sekarang adalah masa untuk fokus bekerja pula. Cukup-cukuplah mengulas tentang kemenangan dan kekalahan. Hujan pun tahu berhenti.
Bulan ini adalah bulan kemerdekaan. Tak sampai dua minggu lagi kita akan menyambut Hari Kemerdekaan negara yang ke- 66 tahun. Selalunya kibaran Jalur Gemilang sudah meriah ketika ini. Tetapi kali ini suasana nampak hambar di mana-mana, tak macam kita akan raikan ulangtahun kemerdekaan negara.
Yang terus meriah adalah analisis-analisis yang berjela-jela panjang dan perbincangan pasal keputusan PRN di media sosial. Baik pemimpin parti politik, penyokong yang digelar walanon atau walaun, masih serang-menyerang. Kalah bising, menang pun bising.
Sudah-sudahlah, berilah pemimpin yang menang buat kerja. Boleh saja kita tukar pemimpin ini beberapa tahun lagi dalam PRU akan datang, jika mereka ini cakap tak serupa bikin. Apalah yang nak digaduhkan sangat.
Kasihanlah kepada kebanyakan rakyat yang tengah bergelut untuk hidup. Mereka ini tak ada masa pun nak menulis pasal pemimpin parti politik dan perjuangan di media sosial. Ramai yang sibuk cari duit. Apa yang mereka pilih, adalah pemimpin yang diharapkan dapat membela nasib mereka.
Pemimpin yang menang pula inilah masanya membuktikan kepada rakyat yang mengundi bahawa apa yang dicakapkan dalam kempen ‘demi rakyat’ itu benar-benar dilaksanakan. Jangan terus berkonflik dalam politik. Jemu sangat dah.
Senang cakap, walanon atau walaun, lebih baik kita bercakap tentang Malaysia. Bagaimana untuk sama-sama membangunkan negara tercinta ini.
Bukannya apa, kalau cerita pasal politik, memang tak dapat lari daripada bergaduh dan memaki hamun. Bersengketa sesama sendiri, merasakan diri atau parti politik itu lebih pandai dan bagus, tidak menyumbang apa-apa dalam memberi kesenangan kepada setiap nyawa di negara ini.
Adalah lebih baik kalau pemimpin parti politik, walanon dan walaun ini bergabung idea untuk menangani segala isu rakyat dan ekonomi negara ini. Itu lebih bijak daripada menghentam semua benda tidak betul. Pada masa sama, walanon dan walaun jangan biarkan diri dipergunakan oleh ahli parti politik dengan agenda mereka yang boleh menjahanamkan negara.
Dalam usia 66 tahun merdeka ini, sepatutnya, ia sudah mematangkan pemimpin dan rakyatnya dalam bertindak.
Banyak lagi isu penting yang perlu diangkat dan diselesaikan segera. Isu kos sara hidup tinggi, gaji rendah, harga rumah semakin melambung, kos rawatan yang menggila di hospital swasta, rasuah dan macam-macam lagi. Bukan isu siapa menang, siapa ke laut.
Kalau kita masih berterusan berkemelut dalam politik, jika PRU diadakan setiap tahun pun, kita akan terus berada di tahap ini. Tidak bergerak ke mana-mana. Sebabnya, terlalu banyak masa dan tenaga dihabiskan untuk berpolitik dan akhirnya kita banyak ketinggalan dalam semua aspek terutamanya ekonomi.
Negara luar pun takut untuk melabur di negara ini kerana ketidakstabilan politiknya, sering bertukar pemimpin dan negara ini dijadikan bahan lawak jenaka oleh mereka.
Bergeraklah ke hadapan. Kita amalkan politik yang sihat. Jangan semua benda hendak dipolitikkan. Asyik bercakaran dalam politik yang luka dan sakitnya ditanggung oleh rakyat.
Agaknya, walaun dan walanon yang bising-bising di media sosial itu sudah kaya ketika ini? Jangan beras pun isteri yang beli.
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan, Mingguan Malaysia.