KEMPEN pilihan raya negeri (PRN) kini sedang hangat berlangsung. Dalam tempoh berbaki tidak sampai seminggu ini, sudah pastinya parti-parti yang bertanding memperhebatkan lagi gerakan kempen mereka sebelum hari pengundian, Sabtu depan.
Banyak yang boleh kita baca dan lihat di media sosial tentang kata mengata, kutuk mengutuk dan tuduh menuduh pihak-pihak yang bertanding.
Dalam keseronokan dan teruja berkempen, perlu diingatkan bahawa kerajaan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah banyak kali mengulangi dan menekankan supaya pemimpin parti politik dan penyokong tidak menyentuh isu-isu mengenai 3R (race, religion and royalty) iaitu raja, agama dan kaum dalam keghairahan mereka memancing undi daripada orang ramai.
Malaysia adalah sebuah negara unik yang mana negara ini mengamalkan Raja berperlembagaan manakala penduduknya dalam kalangan pelbagai kaum dan agama.
Raja berperlembagaan adalah sistem yang mengiktiraf Raja sebagai Ketua Negara sebagaimana tertera di bawah Artikel 32 Perlembagaan Persekutuan Malaysia seperti di bawah ini:
Perkara 32. Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isterinya.
Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan yang tidak boleh dikenakan apa-apa jua pun prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah Bahagian XV.
Pihak berkuasa boleh mengambil beberapa tindakan di bawah undang- undang sedia ada mengenai isu 3R.
Larangan membangkitkan isu 3R ini adalah bermaksud agar kempen pilihan raya diadakan dalam keadaan aman tanpa kekacauan yang berlaku sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
Antaranya menggunakan Akta Kesalahan Pilihan Raya di bawah seksyen kesalahan yang disebut ‘mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan’ iaitu: 4a.
Mana-mana pihak sebelum, semasa atau selepas pilihan raya, secara langsung atau tidak dengan sendiri atau melalui orang lain bagi pihaknya, melakukan perbuatan atau pernyataan dengan tujuan mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara orang yang terdiri daripada kaum yang sama atau kaum berlainan atau daripada golongan yang sama atau golongan berlainan penduduk Malaysia.
Ia dilakukan untuk mendorong mana-mana pemilih atau pengundi supaya mengundi atau tidak mengundi dalam sesuatu pilihan raya. Apabila disabitkan boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.
Dalam pada itu, tertakluk kepada apa-apa peruntukan tertentu yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis berkaitan sesuatu pilihan raya, pihak yang disabitkan atas suatu kesalahan di bawah seksyen ini tidak boleh disenaraikan sebagai seorang pemilih atau mengundi dalam sesuatu pilihan raya.
Dia juga tidak boleh dipilih dalam sesuatu pilihan raya sehingga tamat tempoh lima tahun dari sabitan tersebut dan jika pada tarikh itu dia telah pun dipilih dalam pilihan raya, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu.
Dalam pada itu, kesalahan seperti menghasut juga boleh diambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948. Sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 3 yang menafsirkan kecenderungan menghasut adalah seperti di bawah ini:
Sesuatu kecenderungan menghasut adalah:
Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja atau kerajaan;
Membangkitkan rakyat mana-mana raja atau penduduk mana-mana wilayah yang diperintah oleh mana-mana kerajaan supaya cuba mendapatkan perubahan, dengan apa-apa cara selain cara yang sah, apa-apa jua yang wujud menurut undang-undang di dalam wilayah raja itu atau wilayah yang diperintah kerajaan itu;
Mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap pentadbiran keadilan di Malaysia atau di mana-mana negeri;
Menimbulkan perasaan tidak puas hati atau tidak setia dalam kalangan rakyat Yang di-Pertuan Agong atau rakyat raja mana-mana negeri atau dalam kalangan penduduk Malaysia atau penduduk mana-mana negeri;
Mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia; atau
Mempersoalkan apa-apa perkara, hak, taraf, kedudukan, keistimewaan, kedaulatan atau prerogatif yang ditetapkan atau dilindungi oleh peruntukan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan atau Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah Kanun Keseksaan juga memperuntukkan kesalahan berkaitan menyebut perkataan-perkataan dengan niat untuk melukakan perasaan seseorang di bawah Seksyen 298 dan di bawah Seksyen 298 di atas alasan-alasan agama untuk mencetuskan, suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.
Dalam pada itu, pengguna media sosial juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang jika memainkan isu 3R, di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia di bawah Seksyen 233 yang turut menyentuh hal ini.
Seseorang yang dengan menggunakan mana-mana kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi secara sedar. – membuat, mewujudkan atau meminta-minta; dan (ii) memulakan penghantaran, apa-apa komen, permintaan, cadangan atau komunikasi lain yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain; atau – memulakan suatu komunikasi dengan menggunakan mana-mana perkhidmatan aplikasi, sama ada secara berterusan, berulang kali atau selainnya, dan dalam masa itu komunikasi mungkin atau tidak mungkin berlaku, dengan atau tanpa mendedahkan identitinya dan dengan niat untuk menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu mana-mana orang di mana-mana nombor atau alamat elektronik.
Perlu dingatkan bahawa kebebasan bersuara bukanlah kebebasan mutlak tetapi seharusnya berlandaskan undang-undang.
Peruntukan undang-undang di atas berkuat kuasa walaupun bukan musim pilihan raya namun kecenderungan pihak-pihak menggunakan isu 3R ini lebih berkemungkinan semasa berkempen bagi kepentingan parti politik masing-masing.
Oleh itu, pihak yang berkempen semasa PRN ini seharusnya menjaga tingkah laku serta mengelakkan ucapan-ucapan yang menyentuh raja, agama dan kaum bagi menjaga keharmonian dan ketenteraman negara kerana kebebasan seseorang itu bersuara ada hadnya dalam negara majmuk ini.
PENULIS ialah Pengamal Undang-undang.