Sentimen Melayu eksperimen amat berharga Kerajaan Perpaduan

Sentimen Melayu eksperimen amat berharga Kerajaan Perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Perikatan Nasional (PN) nyaris melakukan kejutan di Selangor menerusi penguasaan di kerusi-kerusi Melayu.

Biarpun sipi-sipi sahaja undi tipis kemenangan diperoleh di beberapa kawasan, antaranya di Gombak Setia (58 undi), Sungai Kandis (167) dan Dengkil (407), pencapaian 22 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperoleh PN menjadi wake up call kepada kerajaan perpaduan dianggotai Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) bukan sahaja di Selangor, bahkan Pusat.

Seandainya peratusan keluar mengundi di Selangor tinggi melepasi 80 peratus, tidak seperti mana 75 peratus kelmarin, kedudukan 50-50 atau DUN tergantung sukar dielak.

Biarpun kurang empat kerusi untuk menguasai majoriti dua pertiga iaitu 34 dari 38 kerusi, kejayaan Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menyekat Gelombang Hijau suatu pencapaian besar. Perit untuk Amirudin kali ini tetapi beliau berjaya mengharunginya. Undi majoriti diperolehnya di DUN Sungai Tua menyusut kepada 5,185 undi berbanding 11,374 pada PRU14. Demikian juga sasaran 41 kerusi oleh Amirudin jauh dari jangkauan.

Selangor adalah negeri kunci dalam politik, sejajar dengan kedudukannya negeri maju dan tunjang kerajaan Pusat. Kegagalan PN untuk mencipta sejarah, yang masanya bertepatan dengan sentimen Melayu-Islam yang menular dalam beberapa bulan ini, ibarat pemancing yang terlepas ikan besar.

Ini berbeza dengan sasaran di lima negeri lain yang sejak awal lagi amat tepat ramalan status quonya. Negeri Sembilan dan Pulau Pinang dikuasai oleh PH-BN dengan masing-masing kedudukannya 31-5 dan 29-11. Kelantan, Terengganu dan Kedah pula seiring dengan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 kira-kira sembilan bulan lalu 19 November 2022, dengan keputusan PRN kelmarin mencatat penguasaan PN didominasi Pas – iaitu 43-2; 32-0 dan 33-3.

PENANGAN Perikatan Nasional (PN) dalam enam pilihan raya negeri (PRN) 12 Ogos lalu menyempitkan peluang UMNO untuk bangkit semula.– GAMBAR MEDIA SOSIAL

TAMPARAN BESAR UMNO
Keputusan pilihan raya di enam negeri 12 Ogos suatu tamparan besar buat UMNO. Parti itu terus gagal meyakinkan rakyat serta ahli dan penyokong akar umbinya terhadap alasan kerjasamanya dengan DAP dalam kerajaan perpaduan. Sentimen ini senantiasa dilagukan oleh penentang tegar parti itu dari kalangan bekas-bekas pemimpin kanan, ahli parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO. Amat ketara penjelasan isu kerjasama UMNO-DAP tidak dilakukan terutama oleh tiga sayap parti itu, Pemuda, Wanita dan Puteri. Sedangkan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tempoh hari dan di masa lepas, tidak menghadapi masalah menerangkan kepada ahli dan penyokong masing-masing, bahkan rakyat tentang keperluan bertahaluf siyasi dengan DAP.

UMNO seharusnya lebih agresif dalam lima tahun mendatang ini, terutama oleh tonggaknya Wanita untuk memperbetulkan pandangan serong terhadap parti itu. Ketiadaan orator dalam UMNO yang pernah dimiliki sebelum ini, seperti Tan Sri Annuar Musa, Khairy Jamaluddin (KJ), Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Shahidan Kassim menyempitkan peluang itu. Ditambah dengan penguasaan media sosial dan aplikasi WhatsApp, TikTok dan Twitter oleh PN yang cukup luar biasa mengejutkan PKR dan DAP yang kali ini begitu pelik tidak menggunakan kepakaran tentera siber mereka seperti mana kemenangan bersejarah 9 Mei 2018.

PN memenangi 146 daripada 245 kerusi dun yang ditandingi. Setiap calon PN yang menang dikhabarkan menerima kira-kira 1,500 hingga 2,000 undi dari ahli dan penyokong UMNO.

Kata penentang tegar UMNO yang nadanya masih ingin bersama UMNO, KJ malam kelmarin, ‘pelajar’ yang paling corot hasil keputusan enam PRN ini adalah UMNO, cuma 18 peratus. UMNO yang disandarkan oleh PH untuk membawa panji-panji kemenangan gagal bukan sahaja di Kelantan, Terengganu dan Kedah, bahkan di Selangor dan Seberang Perai, Pulau Pinang.

Kata penganalisis Datuk Ahmad Faris Abdul Halim: “Untuk langkah jangka pendek memulihkan UMNO adalah dengan menukar pimpinan. Macam mana hendak tukar? Memang kena ada yang berani step up dan bertanding dalam pemilihan parti. Dan kena ada ramai, bukan seorang dua sahaja.

“Terlalu banyak halangan dan kawalan daripada golongan tua dan lama. Kena ambil contoh dari DAP bagaimana DAP berjaya ‘merekrut’ dan melatih pemimpin-pemimpin muda dan progresif. Bahkan telah membina jalan untuk mereka bertanding dan menang.

Hal ini pula dilakukan secara berani tanpa kompromi oleh DAP dengan menggugurkan bekas Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang sejak 2008 dan ADUN Prai selama tiga penggal, Dr. P Ramasamy dan empat Exco negeri sebagai calon PRN. Dan terbukti penangan DAP luar biasa kelmarin dengan menyapu bersih semua kerusi di negeri-negeri yang ditandingi.

Apa pun, rakyat telah membuat keputusan di enam pilihan raya negeri, yang tidak menjejaskan kerajaan Pusat.

Sentimen Melayu-Islam yang cuba diuar-uarkan oleh pihak tertentu masih belum menular secara serius dan masih boleh dibendung. Sebahagian besar orang Melayu maklum kita masih ada Yang di-Pertuan Agong dan sultan-sultan sebagai penjaga hal ehwal Islam di setiap negeri. Kita ada mufti-mufti, ulama dan agensi-agensi yang berperanan menjaga kepentingan dan martabat Islam dari jabatan dan majlis agama Islam negeri sehinggalah ke peringkat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Tabung Hajinya.

INTEGRITI, MENGAMPU
Tidak diragukan lagi Perkara 153 dan Perkara 152 termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan memberikan jaminan itu.

Malaysia hari ini berdepan cabaran cukup getir. Kepada semua menteri, timbalan menteri serta penjawat awam, bertekadlah untuk menyumbang tanggungjawab dan peranan kepada kesejahteraan negara dan bangsa. Jangan buat hal remeh temeh yang boleh mengundang klip video lawak TikTok.

Tumpukan sahaja pada soal-soal ketrampilan, integriti, isi jati dan kurangkan retorik mengampu. Satu-satunya kriteria hidup adalah rule of law atau kejituan undang-undang.

Kerajaan Perpaduan PH-BN amat bernasib baik jika tekad menjadikan keputusan PRN kelmarin sebagai eksperimen dan pedoman berharga untuk terus agresif mendekati rakyat. Aspek sentimen Melayu-Islam ibarat suatu wake up call – kata pengkritik tegar.

Cuma jangan abaikan negeri-negeri pembangkang Kelantan, Terengganu dan Kedah serta kawasan di utara Selangor.

Terus berkhidmat tanpa prejudis, syak wasangka dan kemudian serahkan sahaja kepada rakyat dan pengundi menilainya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN