Sabrina perlu dimenangkan di Jitra

Sabrina perlu dimenangkan di Jitra

SABRINA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANTARA semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Kedah dalam pilihan raya negeri (PRN) esok, satu kerusi yang menjadi tumpuan utama ialah N.06 Jitra. Kerusi ini menjadi tumpuan kerana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 9 Mei 2018, pemenangnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

Pada waktu itu, Mukhriz yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan bertanding atas logo PKR menang selesa dengan majoriti 10,849 undi mengatasi pesaing terdekat dari Barisan Nasional (BN), Datuk Aminuddin Omar. Atas pertimbangan ini, pemenang kerusi N.06 Jitra dalam PRN esok juga dijangka mendapat kedudukan utama dalam kerajaan negeri jika beliau dan partinya menguasai PRN ini.

Selaras dengan status tinggi kerusi ini, calon-calon yang diletakkan untuk bertanding di N.06 Jitra juga adalah tokoh-tokoh yang ada nama dan kedudukan serta dikenali ramai. Calon pertama dari Perikatan Nasional (PN) ialah Dr. Haim Hilman Abdullah, 50, anak Selangor yang mencatat rekod memegang jawatan Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) terpendek dalam sejarah.

Haim dilantik ke jawatan itu untuk tempoh dua tahun pada 17 Januari 2022 tetapi perkhidmatannya dipendekkan berkuat kuasa 18 Januari 2023 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT). Menerusi aplikasi TikTok yang tular, Haim setelah dinamakan sebagai calon PN mendakwa beliau telah dipendekkan perkhidmatan tanpa sebab dan tidak diberi peluang untuk membela diri.

Bagaimanapun, KPT segera membuat kenyataan bagi menjelaskan bahawa pemendekan tempoh perkhidmatan beliau dibuat mengikut kaedah dan prosedur yang betul. Ia berikutan laporan prestasi kepimpinan beliau yang dikemukakan oleh Lembaga Pengarah Universiti (LPU) melalui surat bertarikh 16 Jun 2022 dan dinilai oleh satu jawatankuasa KPT.

Peluang untuk membela diri juga diberi kerana Haim dan beberapa pegawai kanan UUM juga telah dipanggil untuk memberi keterangan kepada KPT pada 23 dan 29 September 2022. Haim semacam tidak berpuas hati dan mahu menggunakan saluran politik untuk membalas dendam kepada kerajaan sekarang atas apa yang beliau sifatkan penganiayaan ke atas dirinya.

Hakikatnya, walaupun ia berlaku pada zaman kerajaan sekarang, KPT di bawah Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hanya melaksanakan keputusan yang dibuat oleh kerajaan terdahulu. Mohamed Khaled sendiri telah menjelaskan pada 6 Februari lalu bahawa beliau tidak terlibat dalam pelaksanaan tersebut, jadi tidak wajar untuk beliau dan kerajaan sekarang disalahkan.

Haim menggunakan kontroversi tersebut untuk menonjolkan diri dan seperti mahu melampiaskan agenda peribadi melalui politik, tidak seperti calon PKR, Datin Sabrina Ahmad, 45. Sabrina mempunyai latar belakang yang baik selaku anak tempatan berkelahiran Sungai Petani tetapi bukan muka baharu di Jitra kerana pernah menjadi Ketua Wanita PKR Kubang Pasu.

Beliau juga usahawan yang berjaya dalam industri pengilangan ubatan-ubatan tradisional, suplemen dan kosmetik dengan kilang dan pejabat di Napoh dan Pekan Jitra.

Dari sudut parti, beliau orang penting PKR dengan jawatan terkini selaku Ketua Wanita PKR Merbok, Ketua Wanita PKR Kedah, Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kedah dan Bendahari Wanita PH Pusat. Tidak hairanlah jika ramai sekali pemimpin tinggi PKR yang bertandang ke Jitra untuk berceramah dan berkempen memberikan sokongan bagi memastikan kemenangan Sabrina dalam PRN ini.

Sabrina bertuah kerana kempennya dibantu oleh Presiden PKR merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkunjung ke Jitra pada 4 Ogos lalu. Sehari sebelumnya, Setiausaha Agung PKR merangkap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut datang membantu berkempen untuk beliau.

Selain pemimpin lain dari PH seperti Datuk Seri Mohamad Sabu dari parti Amanah Negara (Amanah), turut datang membantu ialah pemimpin BN seperti Datuk Suraya Yaacob dan Datuk Norsabrina Mohd. Noor.

Dari segi sejarah, N.06 Jitra adalah kubu kuat UMNO. Dalam PRU13 pada 10 April 2013, Aminuddin menang dengan majoriti 3,056 undi ke atas calon Pas, Dr. Rohani Abd Muttalib.

Sebelumnya pula, dalam PRU12 pada 8 Mac 2008, walaupun waktu itu Pakatan Rakyat kuat, seorang lagi calon BN, Datuk Saad Man menang dengan majoriti 2,258 undi ke atas Rohani.

Oleh itu, sekarang ini bila BN dan PH sudah bergabung, sepatutnya tidak ada masalah untuk Sabrina mencapai kemenangan dengan bantuan pemimpin BN Jitra dan Kedah. Sehingga sekarang ramai pemimpin BN Jitra dan Kedah datang membantu Sabrina. Mereka termasuk Aminuddin dan bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharum.

Lebih meyakinkan bila bekas Menteri Besar Kedah selama 10 tahun dari  1985 ke 1996, Tan Sri Osman Aroff, 82, turut datang berkempen untuk beliau.

Pendeknya, Sabrina amat wajar dimenangkan di Jitra kerana beliau seorang calon yang kuat, tiada masalah peribadi serta punya visi, wawasan dan kekuatan untuk membangunkan Jitra. Dengan jawatan beliau sebagai Ketua Wanita PH Kedah dan Bendahari Wanita PH Pusat, beliau punya jaringan kukuh dengan pemimpin atasan negara berbanding Haim.

Jika Haim menang, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh beliau untuk memajukan Jitra kerana kuasa di kerajaan Pusat dimiliki oleh PH-BN, jadi nasib penduduk Jitra tidak akan terbela.

Semoga pengundi Jitra akan membuat keputusan dengan matang dan cermat serta mengundi untuk memenangkan Sabrina dan mengalahkan Haim demi masa depan mereka yang lebih cerah. – UTUSAN

Dr. Mashitah Mohd. Udin ialah Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya