Politik Malaysia yang dinamik - Utusan Malaysia

Politik Malaysia yang dinamik

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membantu warga emas ketika mengundi bagi Dewan Undangan negeri (DUN) Hulu Kelang sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor di Sekolah Kebangsaan Klang Gates, semalam. – mingguan/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijalankan di enam negeri semalam merupakan salah satu naratif penting dalam perjalanan demokrasi Malaysia yang sarat dengan harapan, perhatian dan aspirasi rakyat. Pembuangan undi itu begitu bermakna kerana suara-suara di peti undi akan mempengaruhi dasar-dasar awam, corak pemerintahan dan juga hala tuju negeri dan negara.
PRN semalam juga telah mengesahkan kenyataan-kenyataan oleh beberapa ahli politik yang sebelum ini begitu yakin menawan ataupun mempertahankan kerusi-kerusi yang dipertandingkan. Menang atau tidak, kenyataan-kenyataan sebegitu adalah biasa kerana itu adalah salah satu strategi politik bagi mempengaruhi rakyat untuk mengundi parti mereka.
Pihak yang turun mengundi semalam membawa roh demokrasi untuk memilih pemimpin yang dirasakan layak di kawasan yang dipertandingkan.
Ada juga yang hadir sekadar untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang rakyat Malaysia walaupun sehingga ke saat akhir ada yang masih teragak-agak tentang parti atau calon mana yang sepatutnya diundi. Walau apa pun yang terjadi, mereka hadir bersama harapan yang utuh bagi melihat Malaysia atau setidak-tidaknya kawasan yang mereka undi itu maju dan sejahtera.
Tidak adil juga jika mahu dipukul rata dengan mengatakan pihak yang tidak turun mengundi itu sebagai anti-demokrasi dan dilabel dengan beberapa konotasi lain. Ada dalam kalangan mereka tidak berupaya untuk berbuat sedemikian atas faktor kewangan, kesihatan dan sebagainya. Selain itu, ada juga yang tidak ambil peduli (political apathy) atas faktor tidak mengenali calon-calon yang bertanding dan tidak acuh dengan isu semasa. Berasa penat dengan permainan politik yang dianggap tidak berkesudahan juga boleh membuatkan seseorang itu tidak turun mengundi.
Walau apapun yang terjadi, rakyat Malaysia di enam negeri telah membuat keputusan. Persoalannya, apakah agenda politik yang seterusnya bakal berlaku selepas ini? Sifat dinamika politik di Malaysia begitu berwarna-warni kerana tiada sekutu yang abadi waima mana-mana parti politik sekali pun.
Sama juga situasi politik yang berlaku di peringkat antarabangsa yang menyaksikan sebuah negara yang dahulu baik dengan sebuah negara lain boleh bertukar menjadi seteru mengikut keadaan semasa. Perkara sebegini ada baik dan buruknya.
Yang baiknya, parti-parti politik cuba mencari ruang untuk mengukuhkan kuasa bagi membolehkan mereka mewujudkan dan menjalankan dasar awam yang mantap. Di sisi lain pula, permainan politik yang berterusan bakal menurunkan kepercayaan para pelabur untuk melabur di dalam negara kerana dasar kerajaan yang sering bertukar-tukar.
Rakyat sedang menantikan pelaksanaan manifesto yang dijanjikan oleh parti-parti politik di sepanjang tempoh berkempen. Parti yang tidak bernasib baik dalam PRN kali ini juga dinasihatkan tetap menjalankan peranan mereka membela kebajikan rakyat. Semangat berpolitik sebegini perlu ditunjukkan sekiranya benar selama ini ungkapan ‘demi rakyat’ menjadi modal dalam beberapa siri jelajah kempen mereka.
Sudah pasti jangkaan dan harapan rakyat terhadap parti politik yang menang begitu tinggi. Dengan kuasa yang ada, mereka perlu menjalankan amanah dengan sehabis baik bagi memastikan kemenangan yang diusahakan rakyat itu betul-betul berbaloi.
Kesemua parti politik masih ada masa mencukupi untuk menunjukkan usaha dan teladan yang baik kepada rakyat sebelum negara menghadapi pilihan raya umum akan datang. Sudah pasti, kejayaan-kejayaan yang ditunjukkan oleh sesebuah parti politik itu tidak boleh ditunjukkan pada saat-saat akhir kerana situasi recent effect itu boleh membawa risiko kepada mana-mana parti politik.
Apa yang penting buat masa ini adalah kerjasama yang padu antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan juga kerajaan tempatan. Sekiranya kesemua parti politik bersatu meletakkan rakyat pada aras yang tertinggi, mereka perlu bekerjasama bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat secara total.
Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan mempunyai tanggungjawab dan sumber yang agak berbeza. Kerjasama yang ditunjukkan antara ketiga-tiga tingkat kerajaan ini membolehkan negara mengumpulkan dan mengerahkan kepakaran yang ada dan sekaligus dapat mengelakkan pertindihan usaha yang hanya merugikan negara.
Terdapat pelbagai isu yang dihadapi oleh negara memerlukan pendekatan penyelesaian daripada pelbagai aspek. Kerjasama yang utuh antara ketiga-tiga tingkat kerajaan ini membolehkan dasar-dasar yang dibuat bersifat komprehensif dengan mengambil kira keperluan setempat dan diselaraskan dengan matlamat utama negara.
Pengurusan bencana seperti banjir memerlukan kerjasama daripada ketiga-tiga tingkat kerajaan agar pengurusan bencana tersebut dapat dikoordinasikan secara efektif, efisien dan mampu menyelamatkan harta dan nyawa orang awam.
Pembiayaan kewangan yang diturunkan daripada Kerajaan Persekutuan bagi projek-projek pembangunan dan infrastruktur dan ditambah pula dengan pengemblengan kepakaran tempatan dapat memastikan projek-projek pembangunan tersebut berjalan dengan lancar.
Selain itu, kerjasama yang padu antara ketiga-tiga kerajaan itu juga akan membantu mempercepatkan lonjakan ekonomi menerusi pelaburan bersama dalam industri, penciptaan peluang pekerjaan, dan pemupukan persekitaran perniagaan yang menggalakkan.
Yang paling penting, setiap pemimpin perlu memberikan contoh dan teladan baik kepada rakyat dan berusaha bersungguh-sungguh membantu rakyat dengan cara menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat kerana itulah tujuan utama rakyat mengundi mereka.

PENULIS ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya