Menoktahkan kemiskinan tegar, noktahkan juga si penyakau, pencopet dan perampok - Utusan Malaysia

Menoktahkan kemiskinan tegar, noktahkan juga si penyakau, pencopet dan perampok

KEADAAN rumah Che Esah Yusoff yang daif di Kampung Dusun Durian,Dabong, Kuala Krai Kelantan. Usaha Kerajaan untuk menoktahkan kemiskinan tegar perlu mendapat dukungan semua pihak. -MINGGUAN/ROSMIZAN RESDI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA perlu memuji iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bagaikan setiap masa bercakap soal mahu menoktahkan kemiskinan tegar di negara ini.
Bulan demi bulan selepas pertama kali diungkapkan dalam pembentangan Belanjawan 2023 beberapa bulan lalu, terma ‘menoktahkan kemiskinan tegar’ konsisten dilaungkan beliau, menjadi ‘kewajipan’ untuk setiap jabatan, kementerian, orang itu, orang ini, laksanakannya.
Atas kertas, ia memang satu usaha yang cantik, menarik untuk direalisasikan bagi memastikan kekayaan negara dikongsi sama rata, sama rasa, bukannya dinikmati ‘malaun’ semata-mata.
Tahun ini, iltizam Perdana Menteri mahu ia dapat dinoktahkan. Ada yang sinis menidakkan iltizam itu. Tak mengapalah, bagi saya, ia satu usaha yang baik.
Namun begitu, meniti hari demi hari, entah mungkin saya sahaja yang tak nampak agaknya, tiada pula kelibat organisasi-organisasi, syarikat-syarikat besar mahupun konglomerat ternama yang berada di belakang Perdana Menteri berlumba-lumba untuk bersama menoktahkan kemiskinan tegar itu.
Seperti pernah saya tulis dalam ruangan ini sebelum ini, jika di sebuah negara jiran, usaha itu mendapat dukungan syarikat terkaya sehingga mampu mengubah ‘lorong-lorong hitam’ di pinggir ibu kota yang didiami si miskin, gelandangan, menjadi lingkungan yang bersih dan penduduknya hidup lebih selesa.
Syarikat-syarikat kaya yang mahu mendapatkan projek kerajaan, syaratnya perlu memastikan ada rumah-rumah si miskin dibangunkan semula, lingkungan hidupnya bersih dan diselenggara sebaiknya.
Ini yang perlu kerajaan tegaskan. Bukan sahaja enak menikmati projek-projek kerajaan, tetapi di belakangnya perlu ada usaha-usaha ‘membalikkan’ semula kekayaan dinikmati kepada masyarakat memerlukan.
Namun peri penting daripada segala-galanya, ibu segala usaha dalam cita-cita nak menoktahkan kemiskinan tegar ini, jangan diberi apa jua ruang kepada si penyamun, penyakau, pencopet, perampok, perompak dan yang sewaktu dengannya, merompak duit kerajaan.
Ini mesti dijadikan iltizam yang sebenar-benarnya supaya hasil negara dapat disalurkan ke akaun-akaun bank milik si miskin dan yang memerlukan, bukannya masuk ke dalam ‘poket’, kabinet rumah atau peti besi di kediaman penyakau.
Seperkara lain, Laporan Ketua Audit Negara perlu diperkasa dengan tindakan yang keras bagi mereka yang melakukan ketirisan, bukannya sekadar laporan yang wajib ‘dihidangkan’ di Parlimen sebelum disiarkan kepada umum saban tahun.
Kerajaan perlu bertegas dalam hal ini. Ini bukan ‘cobaan’ (cubaan) seperti dalam filem Allahyarham Tan Sri P.Ramlee, ini realiti sekarang dengan unsur-unsur penyakau mencemar imej negara.
Tak kira orang kerajaan atau orang bukan kerajaan, siapa sahaja yang menyakau, menyamun, merompak harus disumbat dalam jel, barulah kerajaan yang mentadbir hari ini disegani kawan dan lawan.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya