Menjayakan sekolah murid miskin - Utusan Malaysia

Menjayakan sekolah murid miskin

Ada yang mempersoalkan mengapa Malaysia perlu mengundur dengan mengamalkan pemisahan murid mengikut sosioekonomi,
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dibina sekolah khusus untuk murid miskin disambut rakyat dengan pelbagai reaksi. Di satu pihak, ada bersetuju. Mereka melihat isu murid miskin dapat diselesaikan apabila murid-murid ini dikumpulkan di sekolah khusus yang mempunyai asrama dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
Dengan pendekatan ini, murid-murid miskin ini akan dapat dibantu pendidikan mereka dan akhirnya dapat menamatkan persekolahan sekurang-kurangnya sehingga tahap Sijil Pelajaran Malaysia.
Di pihak lain, cadangan ini dilihat tidak patut diteruskan. Tiga alasan diberikan. Pertama, di saat sistem pendidikan seluruh dunia bergerak ke arah sistem pendidikan berkualiti dan inklusif tanpa membezakan latar belakang murid, mereka mempersoalkan mengapa Malaysia perlu mengundur dan amalkan dasar segregasi, pelabelan atau pemisahan antara murid mengikut kelas sosioekonomi?
Bukankah kita sudah melihat betapa sukarnya menyatukan masyarakat berbilang etnik akibat amalan pemisahan dan pelabelan melalui amalan sistem pendidikan vernakular sejak sekian lama? Sehinggakan walaupun selepas 65 tahun merdeka, isu perpaduan seperti mustahil dicapai akibat dasar segregasi, natijah dari amalan sistem pendidikan vernakular yang telah memisahkan murid Melayu, Cina dan India.
Selain bertentangan dengan prinsip pendidikan inklusif, alasan kedua yang diberikan oleh kumpulan ini adalah apakah kerajaan mampu membina dan menyediakan sekolah khusus untuk semua murid miskin di negara ini?
Secara mudah, negara kita mempunyai hampir lima juta murid. Jika anggaran kasar kumpulan paling miskin (B20) bersamaan dengan 20 peratus daripada populasi murid sekolah, secara langsung kita perlu menyediakan sekolah khusus untuk satu juta murid miskin. Jika setiap sekolah yang akan dibina mempunyai kapasiti untuk 1,000 murid, secara kasar kerajaan perlu menyediakan 1,000 sekolah khusus baru. Mampukah kerajaan membina sekolah khusus sebanyak itu dalam tempoh sekurang-kurangnya lima tahun akan datang?
Hujah ketiga, jika kerajaan tidak bersedia membina sekolah baru yang banyak, apakah kerajaan akan menyusun semula sistem pendaftaran kemasukan murid ke sekolah? Sebagai contoh, jika bandar Kajang di Selangor mempunyai tujuh sekolah menengah, apakah salah sebuah sekolah itu akan dijadikan sekolah khusus ini? Apakah tindakan ini tidak menyulitkan ibu bapa dan murid (bukan dari keluarga miskin) yang tinggal di persekitaran sekolah itu? Apakah dengan pelaksanaan sekolah khusus ini, murid-murid yang bukan dari kategori paling miskin ini terpaksa bersekolah yang jaraknya jauh dari rumah mereka? Apakah ini adil?
Sebagai pemerhati sistem pendidikan negara, saya mengambil sikap terbuka dalam memahami cadangan Perdana Menteri ini. Tentulah ada kebaikan cadangan ini walaupun tidak dinafikan ada juga kekurangannya.
Ketiga-tiga alasan yang dihujahkan untuk menolak cadangan ini mempunyai rasionalnya dan mesti diteliti selari dengan matlamat sistem pendidikan kebangsaan.
Misalnya, sejak 20 tahun lalu kerajaan menyatakan iltizamnya untuk menjadikan sistem pendidikan negara yang lebih inklusif. Bacalah dokumen Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang secara jelas menyatakan perlunya sistem pendidikan negara dilaksanakan secara inklusif. Malah konsep kualiti pendidikan yang digagaskan di dalam PIPP juga meletakkan salah satu terasnya adalah pendidikan inklusif. Begitu juga dengan dokumen Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang jelas menyatakan salah satu aspirasi pendidikan negara adalah menyediakan akses pendidikan inklusif dan adil tanpa mengira latar belakang.

CADANGAN BALAS
Jika KPM mahu meneruskan cadangan ini, dicadangkan supaya menggunakan saja bangunan asrama harian sedia ada di seluruh negara. Data terkini KPM menunjukkan terdapat 1,496 asrama harian di negara kita. Jika secara kasar setiap asrama boleh menampung 500 murid, ini bermaksud kita boleh menyediakan kemudahan asrama untuk lebih 750,000 murid dari keluarga paling miskin di seluruh negara. Bayangkan, tanpa peruntukan tambahan yang mencecah berbilion ringgit dan tempoh yang lebih lama untuk membina sekolah khusus ini, cadangan menggunakan bangunan asrama harian sedia ada lebih menjimatkan wang negara, masa dan praktikal.
Program Asrama Harian dimulakan pada 1976 hasil cadangan dari Laporan Keciciran Murid 1972 yang diusahakan oleh Jawatankuasa Pelajaran Murad. Matlamat asal Asrama Harian adalah membantu murid dari keluarga paling miskin serta murid yang jarak rumah jauh dari sekolah khususnya di pedalaman. Sesuai dengan itu, sewajarnya fungsi asrama sekolah harian ini dikembalikan kepada matlamat asalnya untuk membantu murid-murid dari keluarga miskin.
Jika sebaliknya, KPM merasakan usaha mewujudkan sekolah khusus ini tidak sesuai dan sejajar dengan usaha pendidikan inklusif dan sebaiknya murid-murid kekal belajar di sekolah sedia ada bersama rakan-rakan lain, KPM boleh mencadangkan supaya kerajaan meningkatkan peruntukan bantuan kepada kumpulan murid miskin ini.
Misalnya, kerajaan boleh meningkatkan bantuan per kapita kepada sekolah berdasarkan bilangan murid dalam kategori paling miskin di setiap sekolah. Semakin ramai murid dari keluarga paling miskin, makin tinggi bantuan per kapita disediakan kepada sekolah berkenaan.
Kedua, kerajaan juga boleh meneruskan bantuan sedia ada untuk murid miskin dengan menambah peruntukan seperti pemberian biasiswa, dermasiswa, bantuan peranti, rancangan Makanan Tambahan, bantuan seragam dan alat tulis, pengangkutan sekolah percuma dan tuisyen.
Ketiga, bagi memastikan pendidikan anak-anak miskin terbela, saya mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Pendidikan Madani (MTPM) sebagai pihak yang diamanahkan memberi fokus merancang, menyelia dan memantau bantuan kepada semua murid ini.
Kerajaan boleh menyediakan peruntukan awal untuk MTPM dalam bentuk tabung wang amanah dengan nilai tabungan RM1 bilion untuk membantu semua murid dari kumpulan ini. MTPM bertanggungjawab sebagai institusi kerajaan yang menyelaras semua bantuan kerajaan dan sektor swasta seperti Rancangan Makanan Tambahan, bantuan peralatan pembelajaran, bantuan seragam sekolah, program tuisyen, pengangkutan sekolah, biasiswa, dermasiswa, bantuan awal persekolahan dan lain-lain.

PENULIS ialah Setiausaha, Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara dan Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya