“DARIPADA layan cakap-cakap penyokong parti politik, dia orang saja yang tahu semua benda sampai memaki hamun di media sosial, lebih baik layan cakap-cakap penyokong Manchester United, terhibur juga,” kata seorang rakan, penyokong kuat kelab Liverpool.
Saya hanya tergelak. Tak nak campurlah pasal bola. Orang perempuan bukan tahu sangat hal ini. Tetapi yang saya tahu, dua-dua kelab ini pun bukan juara Liga Perdana Inggeris (EPL) musim lepas. Gelagat bising-bising penyokongnya di media sosial, macam juara tetapi rupanya bukan. Selalunya macam itulah, yang juara dan naib juara tak banyak bunyi.
Pun begitu, ada betulnya juga cakap rakan saya itu. Sekarang ini, iaitu dalam tempoh beberapa minggu lagi sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan, dalam media sosial penyokong- penyokong parti politik sudah umpama lebih sudu daripada kuah.
Dalam bahasa mudahnya, melebih-lebihlah mengalahkan ahli politik. Semua perkara mereka tahu seperti mereka bekerja di pejabat Perdana Menteri pula atau duduk serumah dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor atau berjiran dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Semua isu mahu diulas dengan panjang lebar.
Istilah walaun, walanon dan macam-macam wala lagi digunakan dan yang dahsyat bagi saya, apabila ada yang mendoakan pemimpin-pemimpin yang mereka tidak suka ini mati cepat kerana dengan cara ini saja semua masalah dalam negara ini boleh selesai!
Kadang-kadang, terkejut juga kawan yang kita kenal yang percakapannya sopan dan berbudi bahasa orangnya, pijak semut pun tak mati bila kita berjumpa, tiba-tiba boleh bertukar bila bercakap pasal politik di media sosial.
Agak menghairankan, bila masuk cerita politik ramai terus bertukar karakter. Suka memaki hamun dan mengaitkan pasal agama dan hukum, tetapi pada masa sama memfitnah, memburuk-burukkan dan mencarut?
Tidak kurang juga yang membuka akaun media sosial palsu untuk mengulas isu-isu sensitif termasuk agama dan kaum. Macam tak ada kerja pula.
Sebenarnya keadaan ini tidak banyak berubah selepas mana-mana pilihan raya kecil, negeri atau umum, selain pemimpin parti politik, penyokonglah yang tak habis-habis mengulas isu-isu politik di negara ini. Menang bising, kalah pun bising.
Tetapi itulah, hakikatnya, bila parti politik yang disokongnya siang malam itu menang, kehidupan dia macam itu jugalah. Pemimpin yang dia puja-puja itu berjawatan tinggi dan kaya raya. Dia yang tukang sokong dan sorak tetap begitu, setiap bulan mengira berapa hari lagi mahu gaji.
Dan apabila dia susah dan sakit, keluarga dan kawan-kawan sekelilingnya yang menjaga dan menziarah. Bukan ahli politik yang dia sanjung itu. Mereka kenal pun tidak. Ini adalah realitinya.
Jadi, mengapa perlu bergaduh sesama sendiri? Mengapa mahu mencari musuh di media sosial? Tidak bolehkah menjadi penyokong yang matang dan tidak beremosi? Mengapa menjadikan perbezaan fahaman parti politik sebagai satu medan permusuhan yang berpanjangan? Berhujahlah dengan fakta dan kewarasan. Jangan tolak segala adab. Tidak rugi pun menjadi seorang yang tenang dan rasional. Orang lebih menghormati dan paling penting tidak menyakiti dan bermusuh dengan sesiapa.
Tidak perlulah terikut-ikut jika pemimpin politik yang mereka sokong itu berpolitik secara tidak matang. Yang perlu kita tahu dalam politik ini sukar untuk mencari keikhlasan. Hari ini, ketika berkempen, pemimpin itu bersalaman dan menangis mengenangkan nasib orang yang dia ziarahi itu, hidup melarat dan tinggal di pondok buruk. Esok lusa berselisih bahu, dia boleh buat tak kenal. – Mingguan Malaysia