PH-BN perlu tembusi tembok Sanusi - Utusan Malaysia

PH-BN perlu tembusi tembok Sanusi

Muhammad Sanusi Md. Nor pada sidang akhbar di Mahkamah Sesyen Selayang , baru-baru ini. – MINGGUAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mutakhir ini figura politik paling popular dan kontroversi di Malaysia ialah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor. Kelibat beliau di pentas politik nasional ibarat lahirnya seorang reformis politik baharu. Kenyataan, bidasan dan jawapan beliau dalam beberapa isu sentiasa mengundang perhatian penyokongnya dan kecaman di pihak musuh politiknya.
Sanusi kini dilihat bagaikan ‘tembok’ penghalang paling besar kepada Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) untuk menguasai pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah kali ini dalam menentang Perikatan Nasional (PN).
Rata-rata tumpuan politik semasa terarah kepada Sanusi. Liputan, tekanan dan pelbagai komen dalam media konvensional dan media sosial seperti Facebook, TikTok, Instagram, WhatsApp dan Youtube kebanyakan melibatkan Sanusi.
Harus diakui bahawa liputan secara meluas terhadap figura politik Kedah ini telah meningkatkan populariti Sanusi. Semakin Sanusi diberikan tekanan dan terkini didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Selayang atas dua pertuduhan menghasut, ia tidak menenggelamkan populariti Sanusi. Sebaliknya, pertuduhan di mahkamah yang sangat hampir dengan tarikh pilihan raya negeri (PRN) terus mengangkat nama dan sokongan pengundi kepada Sanusi.
Selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat dan Pengerusi PN Kedah, Sanusi tetap dicalonkan untuk bertanding dalam PRN Kedah walaupun beliau sedang menghadapi dua pertuduhan kes hasutan di mahkamah. Pertuduhan ke atas Sanusi pada pandangan pemimpin Pas lebih kepada usaha untuk menggugat kepemimpinan beliau.
Bagi Kerajaan Perpaduan khususnya PH dan BN perlu menilai dari banyak sudut jika hendak memberi tekanan kepada Sanusi. Pertuduhan ke atas Sanusi serta pelbagai tekanan dan kecaman ke atasnya secara tidak langsung sebenarnya meningkatkan sokongan rakyat Kedah kepada PN. Melalui percaturan politik seperti ini, ia ibarat jerat memakan tuan.
Sekali lagi perlu ditekankan kepada PH, jangan yang dikejar tidak dapat yang dikendong berciciran. Disebabkan terlalu fokus kepada DUN Kedah, PH mungkin kehilangan kuasa di DUN Selangor dan Negeri Sembilan ke tangan PN. Kepemimpinan PN pun dilihat begitu yakin untuk menguasai kedua-dua DUN ini dalam PRN yang bakal diadakan pada 12 Ogos 2023 nanti.
Dari segi peluang, PH dan BN dipercayai dapat menguasai beberapa kerusi DUN Kedah, tetapi tidak dapat menubuhkan kerajaan.
PH dan BN perlu menerima hakikat ini. Fenomena gelombang hijau dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 masih membara di Kedah. Bahkan kegagalan di DUN Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan akan menjadi kayu pengukur kemampuan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengemudikan BN dan UMNO.
Dari sudut lain, kegagalan BN di semua DUN termasuk di Kelantan dan Terengganu bakal meletakkan kepemimpinan Ahmad Zahid di hujung tanduk. Beliau bakal menghadapi undi tidak percaya dalam partinya sendiri untuk mendesaknya melepaskan jawatan sebagai Presiden UMNO. J
Jika Datuk Seri Najib Tun Razak sanggup melepaskan jawatannya sebagai Presiden UMNO dan Pengerusi BN akibat kekalahan dalam PRU14, adakah Ahmad Zahid boleh mengikuti jejak sama?
UMNO di semua peringkat mesti mahu parti utama Melayu itu diselamatkan dan kekal relevan dalam politik nasional supaya boleh memberi cabaran kepada PN.
Atas sebab itu, UMNO mesti ditransformasi dan melalui proses penyegaran semula untuk kembali sebagai parti dominan dalam politik nasional. UMNO mesti diterajui oleh pemimpin yang boleh mengembalikan kegemilangan parti itu yang kini semakin layu.
Sementara itu, dalam PRN Kedah, saya tidak yakin pengundi UMNO memberikan 100 peratus undi mereka kepada calon PKR dan Amanah.
Apatah lagi jika pemimpin di peringkat bahagian bagi UMNO tidak dicalonkan. Semua itu mengundang kesulitan kepada Kerajaan Perpaduan untuk menguasai DUN Kedah.
Situasi ini belum lagi mengambil kira MCA dan MIC yang tidak bertanding dalam PRN kali ini. Saya jangkakan undi daripada pengundi MCA dan MIC tidak berpihak kepada calon-calon PKR dan Amanah. Semua itu menjadi halangan kepada cita-cita PH dan BN untuk menguasai DUN Kedah.
Sementara itu, dalam konteks PH, jika gagal mengekalkan kuasa di DUN Selangor dan Negeri Sembilan serta gagal melebarkan sayapnya di DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu termasuk hilang banyak kerusi di DUN Pulau Pinang, maka peralihan kepimpinan boleh berlaku.
Ini kerana mungkin akan ada desakan berundur secara sukarela atau didesak berbuat demikian, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR dan Perdana Menteri pasti dipertanggungjawab terhadap kemerosotan prestasi PKR dan PH dalam semua DUN terbabit.
Atas sebab itu, ada yang berani meramalkan jangka hayat Kerajaan Perpaduan itu tidak kekal lama.
Adakah Anwar dan Ahmad Zahid bakal menerima nasib yang sama jika PH dan BN tewas dalam PRN bagi semua DUN yang terbabit?
Dalam menanti ketibaan detik 12 Ogos 2023, pelbagai usaha mesti dilakukan bagi menarik sokongan pengundi oleh semua parti politik. Bagi PH dan BN, cabaran terkuat kali ini di DUN Kedah untuk memecah tembok besar Sanusi.
Aura dan Sanusi fever adalah kenyataan perit yang perlu diterima PH dan BN. Aura Sanusi merata-rata termasuk ke Selangor dan Negeri Sembilan menjadikan sokongan rakyat dan pengundi kepada PN dipercayai semakin meningkat.
Jadi, sama-samalah kita menunaikan tanggungjawab untuk menentukan mandat kepada parti politik yang tepat untuk memerintah. Jangan tersilap pilih.
Pilihlah yang boleh membawa kemajuan dan kesejahteraan negara. Jangan memilih yang hanya pandai menabur janji, tetapi tidak pandai melakukan kerja.

Prof. Madya Dr. Malike Brahim dari Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya