Misi Anwar transformasikan kaum India

Misi Anwar transformasikan kaum India

R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

NAMA Ahli Parlimen Sungai Buloh yang mewakili Pakatan Harapan (PH), DATUK R. RAMANAN mungkin tidak perlu diperkenalkan lagi kerana sejak Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November lalu, beliau cukup dikenali sebagai giant killer menewaskan Khairy Jamaluddin yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,693 undi.

Setelah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra), Jabatan Perdana Menteri sejak April lalu, Ramanan sekali lagi mempamerkan rekod cemerlang apabila berjaya melaksanakan pelbagai program bermanfaat untuk golongan berpendapatan rendah (B40) kaum itu.

Sehubungan itu, dalam temu bual dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dan NIZAM YATIM, Ramanan yang juga Penasihat kepada Perdana Menteri mengenai Hal Ehwal Masyarakat India, menggesa pengundi kaum itu yang boleh menjadi king maker di 60 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di empat daripada enam negeri terlibat dalam pilihan raya negeri (PRN) selain Kelantan dan Terengganu, menyokong kerajaan perpaduan bagi membolehkan segala perancangan melalui Mitra dapat dilaksanakan dengan lancar.

CINTA BAHARU PN

UTUSAN: Kenapa Perikatan Nasional (PN) memberikan tumpuan untuk menarik sokongan kaum India terutama di Selangor. Adakah sokongan kaum itu cukup penting?
RAMANAN: Sebenarnya saya benar-benar bersetuju hakikat bahawa pengundi kaum India akan memainkan peranan sangat kritikal dalam sebilangan kerusi di mana perbezaan majoriti hanya sedikit antara calon PN dan calon kerajaan perpaduan yang terdiri daripada BN dan juga PH. Sudah tentu ada beberapa perkara perlu kita teliti dengan serius, lebih-lebih lagi yang kini kita dapati bahawa PN telah menemui ‘cinta’ baharu terhadap masyarakat India.

Cinta yang baharu ditemui ini sebelum ini telah lama hilang, tidak kelihatan selama mereka (PN) berkuasa dan sudah tentu sejak lapan bulan lalu kita tidak mendengar apa-apa daripada PN mengenai apa yang mereka akan lakukan untuk masyarakat India.

Tapi sejak akhir-akhir ini, dua tiga minggu kebelakangan ini, kita boleh lihat sempena demam pilihan raya, ramai pemimpin PN bercakap tentang bagaimana mereka mencintai masyarakat India.

Jadi, saya fikir ini adalah sesuatu yang tidak masuk akal apabila mereka mula bercakap mengenai perkara ini sedangkan fakta mudah yang kita ada, mereka sebelum ini benar-benar lupa bahawa komuniti India wujud. Oleh itu, dengan alasan yang sangat mudah ini, saya percaya masyarakat India sedar di mana kesetiaan mereka akan berikan, sama ada PN atau kerajaan perpaduan. Masyarakat India semakin matang dalam membuat keputusan dan sebab itulah mereka telah memberikan mandat yang cukup kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

CAHAYA DI HUJUNG TEROWONG

Selain sikap menganggap kaum India tidak wujud, apa lagi faktor-faktor yang menyebabkan pengundi kaum India kecewa?
Kekecewaannya bermacam-macam. Ada yang tidak berpuas hati dengan gaya hidup yang perlu dijalani, mengenai kesukaran meningkatkan taraf kehidupan diri dan rumah tangga. Ada yang kecewa dengan peluang pendidikan yang ada serta ruang berkhidmat dalam perkhidmatan awam. Ada yang bercakap tentang peluang pekerjaan yang terhad. Ini semua adalah faktor asas yang mereka rasa ada kekurangan pada kerajaan sejak lebih 60 tahun lalu.

Sudah tentu sekarang saya percaya ada cahaya akhirnya. Kita dapat lihat cahaya di hujung terowong gelap yang kita lalui selama ini dan sudah tentu cahaya itu sekarang ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ini kerana beliau seorang yang bersemangat dan mempunyai belas kasihan terhadap masyarakat India dan perjuangan mereka. Sudah tentu apa-apa yang beliau lakukan akan mengambil masa untuk menyedarkan orang ramai apa yang cuba dilakukannya untuk kita sebagai masyarakat secara keseluruhan tetapi bukan hanya untuk orang India tetapi untuk orang Cina, Melayu, orang Sabah dan juga Sarawak.

Terdapat naratif yang cuba disampaikan PN dalam kempen mereka bahawa kerajaan perpaduan tidak melakukan apa-apa termasuk kepada masyarakat India selama kira-kira lapan bulan memerintah?

Untuk menjawab naratif ini, saya ingin bertanya satu soalan mudah kepada PN sebagai gabungan atau parti-parti yang menjadi komponen di dalamnya. Berapa ramai wakil rakyat kaum India yang PN ada? Juga, berapa ramai wakil rakyat kaum Cina yang mereka ada?

SEDIH LIHAT POLITIK BERASAS KAUM

Kalau tidak silap, PN tiada wakil rakyat kaum India?
Mereka tidak cintakan kaum Cina atau India. Saya rasa sedih melihat bagaimana mereka mahu dunia luar melihat Malaysia sebagai negara yang mengamalkan politik berasaskan kaum. Ini adalah sesuatu yang tidak sepatutnya ada tetapi begitulah keadaan dunia sama ada anda berada di United Kingdom atau di Amerika Syarikat. Di mana sahaja anda berada, politik berasaskan kaum adalah sesuatu yang wujud dan telah kita pelajari untuk hidup bersamanya seiring berlalunya masa.

Tapi apa yang saya tidak boleh terima sama sekali dan amat menyedihkan ialah sekarang bukan lagi politik berasaskan kaum tetapi ia telah menjadi politik berasaskan agama kepada PN.

DANA RM100 JUTA

Boleh ceritakan apa yang telah dilakukan oleh Mitra bagi membantu kaum India?
Mitra telah membuat beberapa pengumuman mengenai inisiatif-inisiatif yang telah kami usahakan dan kami sedang dalam proses melaksanakan sebahagian besar program-program ini.

Sudah tentu perjuangan ini sukar, jumlah wang yang kita boleh gunakan terhad. Kita ada RM100 juta yang dibelanjakan untuk mereka dalam kalangan B40 bagi meningkatkan taraf hidup ke pendapatan sederhana (M40). Ini adalah salah satu cabaran terbesar buat kita pada masa ini.

SUBSIDI PENGAJIAN

Boleh namakan beberapa program untuk membantu B40?
Bagi yang sedang belajar di universiti awam, kita bayar separuh yuran semester mereka iaitu lebih kurang RM2,000 seorang. Kita memperuntukkan wang untuk 10,000 pelajar iaitu RM20 juta keseluruhannya. Sejak kebelakangan ini, kita juga membuka permohonan kepada pelajar universiti dan kolej swasta supaya mereka juga boleh memohon supaya kita dapat mensubsidi sebahagian yuran semester mereka.

Kita juga memperuntukkan RM8.6 juta untuk membantu pesakit yang menjalani dialisis manakala RM10.8 juta untuk kanak-kanak prasekolah.

PENERBANGAN

Bagaimana pula dari segi menyediakan peluang pekerjaan?
Sudah tentu kita ada program untuk tujuan itu kerana ramai graduan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan sesuai.

Mitra bekerjasama dengan beberapa syarikat besar, contohnya Weststar Group. Ia adalah syarikat penerbangan ketiga terbesar di dunia dan terbesar di rantau ini. Kami mendapat jaminan pekerjaan untuk 100 pelajar yang akan dilatih di bawah program syarikat itu dan dijamin pekerjaan pada akhir tempoh latihan mereka.

Ia adalah kursus 21 bulan, iaitu sembilan bulan teori dan 12 bulan latihan praktikal. Dalam 12 bulan latihan praktikal dibayar kira-kira RM4,000 dan selepas itu mereka akan bekerja dengan Weststar dengan gaji permulaan RM3,000 sebulan. Dan sudah tentu ia boleh meningkat antara RM10,000 hingga RM30,000 sebulan kerana ada peluang pekerjaan di Asia Barat, peluangnya tidak berkesudahan.

JURUTERBANG DRON

Adakah terdapat kerjasama lain?
Itu sebahagian daripadanya. Sudah tentu kami juga menyediakan peluang kepada yang mungkin tidak mahu bekerja dalam industri penerbangan. Kami mendapat kerjasama salah satu syarikat yang menyediakan program pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), iaitu SG Academy. Terdapat 150 peluang pekerjaan tersedia untuk mereka yang ingin menjadi juruterbang dron, sesuatu yang sangat penting sekarang.

SG Academy juga mempunyai 250 tempat untuk juruteknik EV (kenderaan elektrik). Kedua-duanya melibatkan kursus 21 hari dan selepas tamat mereka akan mendapat pekerjaan dengan gaji permulaan RM3,000 sebulan dan boleh naik hingga RM7,000 dalam tempoh sangat singkat.

INSURANS

Bagaimana pula dengan program-program yang masih dalam perancangan?
Sudah tentu kami juga mempunyai inisiatif lain yang belum dilancarkan. Untuk memberi gambaran ringkas tentang beberapa inisiatif tersebut, ia termasuk menawarkan 1,000 lesen kenderaan barangan (GDL) seperti treler, lori dan bas untuk B40. Itu adalah salah satu inisiatif yang kami fikirkan untuk diteruskan.

Mitra juga akan menyediakan peruntukan untuk kira-kira 1,000 peniaga kecil bagi meningkatkan perniagaan mereka. Semua ini masih dalam peringkat perancangan di mana kami cuba untuk laksanakan.
Tetapi salah satu program besar yang sedang dalam peringkat akhir perancangan adalah kerjasama dengan Maybank. Mitra bercadang memberikan 10,000 pakej insurans untuk 10,000 ketua keluarga B40 yang mencari nafkah.

Sekiranya berlaku kematian ketua keluarga, waris akan menerima RM50,000 dan jumlah sama diberikan jika terjadi hilang upaya kekal. Sebanyak RM20,000 pula akan diberikan jika ada penyakit kritikal. Wang RM2,000 juga akan diterima waris untuk perbelanjaan pengebumian yang walaupun sedikit tetapi sekurang-kurangnya membantu. Jika dimasukkan ke hospital, ketua keluarga juga akan mendapat RM50 sehari.

SJKT

Ada sebarang program bagi membantu sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT)?
Kita sedang dalam peringkat pelancaran dengan kerjasama Google untuk memberikan 6,000 komputer kepada 527 SJKT di seluruh negara. Mengikut perkiraan, ia akan meningkat nisbah tiga komputer bagi setiap murid. Sumbangan ini bagi membolehkan sekolah mempunyai makmal komputer supaya mereka dapat mengajar murid menggunakan program yang lebih maju.

TERKEJUT PERUNTUKAN TIDAK DIBELANJA

Apa perbezaan Mitra sekarang dengan dahulu?
Jika kita lihat ke belakang tentang sejarah Mitra sama ada menggunakan nama sama atau nama lain, kita dapati sebelum ini masyarakat India tidak merasai impak atau kesan daripada wang yang diperuntukkan bagi membantu mereka.

Jika kita pergi ke belakang dari 2016, wang RM100 juta ada diperuntukkan tetapi tidak pernah dibelanjakan. Memang mengejutkan untuk memberitahu anda bahawa mereka telah memulangkan wang setiap tahun. Kalau tidak silap saya, jumlah pulangan itu beberapa ratus juta ringgit. Ini adalah satu pembaziran.

KORUPSI

Adakah kontroversi lain melibatkan Mitra sebelum ini?
Sudah tentu kita dengar banyak isu di mana terdapat korupsi dan segala macam perkara yang berlaku. Tetapi sehingga hari ini, saya telah mengambil langkah-langkah perlu untuk memastikan isu-isu seperti itu tidak timbul lagi. Contohnya, dalam semua mesyuarat jawatankuasa, kami ada seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang pegawai dari Jabatan Integriti yang akan hadir.

Sehingga hari ini, program-program Mitra yang dirancang melibatkan dana lebih RM80 juta dan kami sebenarnya kekurangan dana untuk menyiapkan keseluruhan program. Saya percaya apa yang Mitra laksanakan akan memberi kesan positif kepada kumpulan besar yang telah menerimanya. Tetapi terdapat banyak lagi yang perlu dilakukan dan kaum India perlu memberi kami (kerajaan perpaduan) sedikit masa lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya