Merit jaminan sebenar ketuanan

Merit jaminan sebenar ketuanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ORANG Melayu tidak boleh terlalu bergantung kepada konsep ketuanan.

Konsep ini lebih kepada perasaan atau ego politik yang tidak disokong oleh kekuatan dalam perjuangan jati diri sebenar.

Laungan ketuanan Melayu seharusnya dilihat daripada sudut kebolehan dan kemampuan, merit dan dedikasi terhadap tugas serta tanggungjawab mahupun disiplin politik.

Setakat mempunyai hak-hak keistimewaan seperti terkandung dalam peruntukan 153 Perlembagaan atau kedaulatan Raja-Raja Melayu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, perkhidmatan awam yang majoriti Melayu, agama Islam sebagai agama rasmi – ini semua belum mampu menjamin kekuatan semula jadi. Jauh sekali mendaftarkan kekuatan Melayu itu sendiri.

Nasib orang Melayu ada di tangan orang Melayu. Kita tidak menjadi ‘tuan’ dengan mengungkit sejarah semata-mata. Kita boleh jadi ‘tuan’ jika berani bertindak, sanggup menghadapi risiko, berusaha menguasai semua ilmu dan kecekapan sehingga tak perlu bergantung kepada sesiapa.

Usah gundah-gulana kritikan akhbar

JANGAN dicap akan akhbar dan portal berita tertentu sebagai penentang kerajaan. Bukankah kerja-kerja media itu memperjuangkan nasib dan kepentingan rakyat? Buang ‘cara lama berpolitik’. Alu-alukan laporan matang yang memberi input kepada kerajaan.

Kerajaan adalah pemegang amanah rakyat. Tidak usah gundah-gulana dengan kritikan laporan akhbar. Akhbar dan portal berita laporkanlah yang benar. Jika bagus kerajaan, baguslah ia.

Hindarikan laporan berupa puji-pujian. Harus diberi teguran kepada kerajaan untuk segera memperbaiki keadaan.

Di masa lalu, istilah Little Napoleon atau Napoleon Kecil tidak boleh diperkecilkan keberadaannya? Istilah ini merujuk kepada individu di sesuatu kedudukan tetapi beraksi seolah dia begitu berkuasa seakan pihak di peringkat tertinggi.

Kadangkala lagak itu didukung oleh persekitaran dan mereka yang berurusan dengannya, lantaran kuatnya hubungan sang Little Napoleon tadi dengan pihak yang berkuasa di peringkat tertinggi. Ia diberi gelaran Little Napoleon kerana sifat mereka ini seperti Napoleon Bonaparte. Istilah ini pernah dipopularkan oleh Perdana Menteri kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi apabila beliau memberi amaran tidak mahu melihat wujudnya Little Napoleon dalam kalangan penjawat awam.

Abdullah menyifatkan Little Napoleon sebagai golongan yang kecil tetapi memberikan kesan dan mencemarkan nama baik perkhidmatan awam ibarat kata pepatah ‘sebab nila setitik rosak susu sebelangga’.

Kebebasan media adalah aspek utama pembaharuan yang perlu dijaya dan dialu-alukan oleh mana-mana kerajaan yang berkuasa, asalkan tahu batas-batasnya.

Media negara ini merupakan suara kepada rakyat. Kerajaan perlu bersedia menerima kritikan untuk bersama-sama melakukan pembaharuan. Yang perlu ditumpukan adalah rakyat diberi ruang melontarkan pandangan. Ini termasuk pihak sebelah sana (pembangkang) turut perlu diberi ruang supaya rakyat boleh membuat penilaian sendiri.

Pernah ada PM bangsa Cina?…Tolehlah sejarah

Apabila UMNO diharamkan oleh hakim Datuk Harun Hashim pada 1988, beberapa implikasi besar telah berlaku di negara ini. UMNO 11 (yang membawa kes UMNO ke mahkamah) tidak berhasrat mengharamkan parti itu.

Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad ketika itu sendiri tidak menyangka parti itu akan diharamkan selepas beliau menewaskan Tengku Razaleigh Hamzah dalam perebutan jawatan Presiden UMNO pada 1987. Beliau menang dengan majoriti tipis 43 undi.

Meskipun tidak senang semua masalah dalaman parti dibawa ke mahkamah namun mahkamah telah membuat keputusan. Akibatnya UMNO tidak lagi menjadi parti tunjang kepada parti pemerintah iaitu BN. Oleh yang demikian, Dr. Mahathir telah menyerahkan tugas Pengerusi BN kepada Presiden MCA ketika itu, Datuk Seri Ling Liong Sik.

Dan sekali gus Dr. Mahathir tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana parti teras telah diharamkan buat beberapa ketika.

Maka berlaku kekosongan jawatan Perdana Menteri buat beberapa hari sehinggalah UMNO Baru ditubuhkan. Menurut tafsiran Perlembagaan Persekutuan Perdana Menteri Malaysia ketika itu ialah Liong Sik.

Walau bagaimanapun, tidak berlaku pelantikan watikah secara rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong kepada Liong Sik yang dikatakan menjadi ‘Perdana Menteri’ selama 10 hari dari 4 Februari hingga 13 Februari 1988.

Beringat! Manusia biasanya mengulangi perilaku sejarah disebut History repeats itself. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya