Mengetahui kesalahan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya - Utusan Malaysia

Mengetahui kesalahan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya

Sebelum, semasa dan selepas pilihan raya, ada perbuatan-perbuatan yang dilarang secara spesifik di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA ini akan menghadapi pilihan raya di beberapa negeri tidak lama lagi. Namun kehangatan Pilihan Raya Negeri (PRN) ini sudah terasa sejak beberapa bulan lalu lagi dan banyak diperkatakan di media sosial bukan saja oleh pemimpin parti tetapi rakyat.
Perlu diingatkan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya ada perbuatan-perbuatan yang dilarang secara spesifik di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya. Kesalahan yang lazim dibangkitkan adalah penyamaran, penjamuan, pengaruh tidak wajar dan penyogokan.
Maksud penyamaran adalah orang yang memohon untuk mendapatkan suatu kertas undi dalam pilihan raya atas nama seseorang lain, sama ada nama itu adalah nama seseorang yang hidup atau mati, atau nama orang yang diada-adakan.
Penjamuan pula adalah bermaksud diri sendiri atau melalui orang lain sama ada sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak memberikan atau membayar apa-apa makanan, minuman atau bekalan makanan.
Ia juga boleh tergolong jika memberikan apa-apa wang atau tiket atau tipu daya lain untuk membolehkan makanan, minuman, atau bekalan didapatkan untuk mana-mana orang bagi maksud untuk mempengaruhi secara rasuah supaya memberikan undinya dalam pilihan raya itu.
Dalam pengaruh tidak wajar pula, orang itu dengan sendiri atau melalui mana-mana bagi pihaknya, menggunakan atau mengancam hendak menggunakan kekerasan, keganasan, atau halangan atau mengancam membuat bencana, kecacatan, kerosakan, atau kerugian ke atas mana-mana orang bagi memaksa orang itu mengundi atau tidak mengundi.
Banyak klausa di dalam kesalahan penyogokan antaranya pelaku boleh disifatkan bersalah atas kesalahan menyogok apabila:
– Dengan sendiri atau melalui orang lain, memberikan, meminjamkan, atau bersetuju menawarkan atau menjanjikan untuk mendapatkan apa-apa wang atau balasan bernilai kepada pemilih atau pengundi.
– Memberikan atau menawarkan atau menjanjikan, apa-apa jawatan, kedudukan atau pekerjaan kepada pengundi bagi mendorong pengundi itu mengundi atau tidak dalam mana-mana pilihan raya;
– Mendahulukan atau membayar atau menyebabkan supaya dibayar apa-apa wang untuk kegunaan kepada mana-mana orang dengan niat supaya wang itu atau bahagiannya dibelanjakan sebagai sogokan dalam pilihan raya.
– Setiap pengundi yang sebelum atau semasa pilihan raya, secara langsung atau tidak dengan sendiri atau bagi pihaknya, menerima, bersetuju, atau membuat kontrak untuk mendapatkan wang, pemberian, pinjaman, atau balasan, jawatan atau pekerjaan untuk dirinya atau untuk orang lain kerana mengundi atau kerana tidak mengundi.
– Mana-mana orang yang selepas mana-mana pilihan raya, secara langsung atau tidak dengan sendiri atau bagi pihaknya, menerima apa-apa wang atau balasan bernilai oleh sebab telah mengundi atau tidak mengundi atau telah mendorong orang lain supaya mengundi atau tidak mengundi dalam pilihan raya itu.

CONTOH KES
Penyamaran dalam pengundian mestilah mempunyai niat untuk menipu dan jika dilakukan dengan suci hati contohnya anak diarahkan oleh bapanya untuk mengundi bagi pihak bapanya yang sakit dan dia percaya bahawa dia boleh menggantikan bapanya sebagaimana di dalam kes The State lawan Siddhannath Gangaram maka adalah diputuskan bahawa tiada sabitan boleh dikenakan terhadapnya.
Kesalahan-kesalahan penjamuan dan penyogokan melibatkan kesalahan yang dilakukan oleh calon atau orang yang diberikan kuasa boleh disabitkan jika melakukan kesalahan itu. Ia menjadi kesalahan jika ia menunjukkan ada niat untuk mempengaruhi orang ramai dengan memberikan makanan dan minuman itu.
Dalam kes Wong Hua Seh lawan Ding Kuang Hiing (2009) 1 CLJ 578 menyatakan sekadar memberikan minuman dan makanan semata-mata tanpa mendorong untuk mengundi mana-mana calon tidaklah secara langsung dikatakan cuba mempengaruhi pengundian
Di dalam hal penyogokan mesti ada tawar menawar atau bargaining sebagaimana yang diputuskan di dalam kes di atas juga menyatakan: Perlu dibuktikan bahawa janji untuk memberikan jawatan, pekerjaan, membina kolej atau universiti dan sebagainya yang tidak mendatangkan apa-apa keuntungan dari segi kewangan pengundi. Perlu juga terdapat elemen tawar menawar antara pengundi dan calon sekiranya undi diberikan maka mereka akan mendapat habuan contoh membina hospital atau kolej.
Namun perlu dibuktikan orang melakukannya adalah calon atau pun yang diberikan kuasa oleh calon, sebagaimana di bawah Seksyen 32(c) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Dalam kes, Dr. Shafie Abu Bakar lawan Pegawai Pengurus Pilihan Raya N26 Bangi – Mohd. Zakri Hussin dan petisyen lain (2005) di muka surat 151 perenggan tiga menyatakan bahawa:- Di dalam kes ini perlu menyatakan apakah kesalahan dilakukan dan menyatakan secara terperinci fakta terhadap orang yang mereka tuduh dan juga perlu mengenal pasti individu yang melakukan kesalahan itu.
Beban pembuktian di dalam kes ini jika difailkan petisyen adalah di luar keraguan yang munasabah.
Mengenai orang yang diberikan kuasa ini boleh dikatakan sebagai wakil atau ejen pada calon. Tidak semua orang yang di dalam sesebuah parti itu adalah ejen pada calon atau wakil pada calon.
Sebagaimana yang diputuskan di dalam kes Wan Sagar Wan Embong lawan Harun Taib yang menyatakan sekadar penyokong parti tanpa pengetahuan dan kebenaran calon tidak menjadikan penyokong itu adalah ejen kepada calon
Maka, langkah pertama seseorang yang ingin menimbulkan isu penjamuan dan penyogokan perlu membuktikan pihak yang melakukan itu adalah seorang di bawah Seksyen 32( c ) di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

HUKUMAN
Bagi melakukan kesalahan menjamu, pengaruh tidak wajar atau menyogok; apabila disabitkan oleh sesuatu Mahkamah Sesyen boleh dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan didenda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak lebih daripada RM5,000.
Tertakluk kepada apa-apa peruntukan tertentu yang berlawanan dalam mana-mana undang-undang bertulis yang berhubungan dengan mana-mana pilihan raya, setiap orang yang disabitkan atas perbuatan rasuah tidak boleh didaftarkan sebagai pemilih atau mengundi dalam mana-mana pilihan raya atau dipilih dalam pilihan raya, dan jika pada tarikh itu dia telah pun dipilih, kerusinya hendaklah dikosongkan dari tarikh sabitan itu:
Ulasan dan kes-kes di atas, bukanlah satu rujukan yang exhaustive namun ia sedikit sebanyak memberikan sedikit panduan kepada kesalahan-kesalahan lazim di dalam pilihan raya sama ada ia disedari oleh pelaku atau tidak.

DATUK Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar ialah Pengamal Undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya