Isu beg berat masih belum selesai? - Utusan Malaysia

Isu beg berat masih belum selesai?

Murid-murid SK Gombak Setia, Kuala Lumpur memasukkan buku ke dalam lokar pada Majlis Penyerahan Lokar fasa pertama, tahun lalu. – MINGGUAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEG sekolah berat bagi murid sekolah rendah merupakan isu yang berlarutan sekian lama. Hampir 40 tahun lalu, majalah Dewan Masyarakat pernah mengutarakan isu beg sekolah berat di kalangan murid sekolah rendah.
Kementerian Pendidikan (KPM) sendiri telah menjalankan tiga kajian utama berkaitan isu beg berat iaitu Kajian Beban Buku Murid Sekolah Rendah (1994), Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2008) dan Laporan Kajian Berat Beg Murid Sekolah Rendah (2017).
Hasil kajian itu, KPM mengambil pelbagai tindakan. Antaranya, mengeluarkan Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/2000: Penggunaan Buku Kerja Di Sekolah Rendah dan Surat Siaran Panduan Menangani Isu Beg Berat Murid di Sekolah pada 2018.
Hasil kajian KPM pada 2017 mendapati buku teks dan buku aktiviti sekolah menyumbang hanya 28 peratus kepada berat beg murid sekolah rendah. Kajian itu juga mendapati lebihan 72 peratus berat beg murid sekolah rendah sebenarnya disumbangkan oleh barangan lain seperti alat tulis, buku kerja swasta, uniform sekolah agama dan kokurikulum, bekalan makanan, minuman, gajet dan berat beg itu sendiri.
Bagaimanapun, kajian itu seperti tidak dipersetujui ibu bapa kerana mereka melihat sendiri punca beg sekolah berat disebabkan oleh buku teks dan buku latihan untuk 7 hingga 8 matapelajaran setiap hari yang perlu dibawa.
Ibu bapa sebenarnya bim­bang kesan membawa beg berat secara berterusan akan menyebabkan anak me­reka yang masih kecil akan menghadapi masalah sakit belakang. Malah, ramai ibu bapa bimbang masalah kesihatan ini yang dikatakan cenderung dialami kanak-kanak perempuan berbanding kanak-kanak lelaki.
Selain sakit belakang, pergerakan seperti mengangkat beg sekolah berat juga dibimbangi akan memberikan tekanan besar pada otot belakang badan dan bahu kanak-kanak. Akibatnya, anak-anak dibimbangi akan mengalami ketegangan otot yang menyebabkan kesakitan dan menjejaskan pergerakan.
Selain itu, beban beg berat juga dibimbangi akan menyebabkan ke­tidakseimbangan postur badan kerana anak-anak masih terlalu muda dan tulang serta otot masih di peringkat tumbesaran, tidak seperti tulang dan otot orang dewasa yang telah mencapai tahap matang.
Selain ketegangan otot, terdapat satu lagi ke­san kesihatan yang mem­bimbangkan apabila anak-anak membawa beg berat dan ha­nya diletakkan pada sebelah bahu, ia boleh menyebabkan ketidakseimbangan postur atau dikenali sebagai bahu jatuh. Keadaan sebelah bahu lebih rendah juga mengakibatkan beberapa masalah lain termasuk kesakitan, kehilangan mobiliti dan dibimbangi akan mempunyai gaya berjalan yang kurang normal.
PENYELESAIAN
Sebaik-baiknya, berat beg optimum adalah sekitar 10 peratus daripada berat badan anak. Paling maksimum berat adalah tidak lebih 20 peratus dari berat kanak-kanak.
Jika terlebih berat, beberapa kaedah berikut boleh dilakukan ibu bapa. Antaranya, elakkan membeli beg terlalu besar. Apabila memilih beg, carilah beg sekolah yang lebarnya tidak melebihi lebar dada anak-anak. Ketika berusia 4 hingga 7 tahun, anak disarankan menggunakan beg dengan panjang maksimum 38cm manakala bagi anak-anak dalam lingkungan usia 8 hingga 12 tahun sebaiknya menggunakan beg dengan kepanjangan maksimum 45cm.
Sebaiknya, ibu bapa mendapatkan beg sekolah anak-anak yang mempunyai tali bahu yang luas dan empuk untuk keselesaan anak-anak. Selain itu, belilah beg sekolah yang mempunyai tali beg yang boleh dilaras dan pastikan beg galas mempunyai pemegang tangan di atas beg supaya boleh dibawa dengan mudah.
Sebaiknya anak-anak digalakkan meninggalkan barang di lokar sekolah. Kini kebanyakan sekolah telah menerima peruntukan menyediakan lokar bagi mengatasi isu beg berat ini.
Bagi pentadbir sekolah pula, seharusnya semua murid tahun satu wajib ditempatkan di kelas aras bawah demi kesihatan mereka. Pihak sekolah juga boleh mengehadkan penggunaan hanya satu buku modul dan buku latihan. Ibu bapa mesti diingatkan untuk memastikan buku yang dibawa anak mengikut jadual waktu harian.
Oleh itu, setiap guru perlu memaklumkan pada murid khususnya di sekolah rendah mengenai pilihan buku yang perlu dibawa untuk kelas akan datang. Pihak sekolah boleh membudayakan penggunaan buku teks digital yang dipaparkan di skrin bilik darjah tanpa perlu murid-murid membawa buku teks fizikal setiap hari ke sekolah.
KPM telah mengeluarkan Pekeliling pada 6 Mac 2022 berkaitan tujuh langkah penyelesaian kepada isu beg berat. Tujuh langkah dicadangkan adalah penyediaan lokar di sekolah rendah secara berfasa. Fasa satu melibatkan lokar untuk murid Tahap 1, iaitu Tahun 1, Tahun 2 dan Tahun 3 di sekolah rendah yang beroperasi secara dua sesi.
Pelaksanaan ini akan melibatkan 10,662 kelas dengan 323,186 murid. Jumlah anggaran peruntukan 2022 untuk fasa satu adalah RM37.3 juta. Bagi fasa dua pula, penyediaan lokar akan diperluaskan kepada murid Tahap 2, iaitu Tahun 4, Tahun 5 dan Tahun 6 yang beroperasi secara dua sesi.
Pelaksanaan dijangka selesai pada tahun ini. Bagi sekolah satu sesi pula, murid akan menyimpan buku di dalam laci meja di bilik darjah masing-masing. Selain itu, KPM melaksanakan penyusunan semula jadual waktu yang hanya mengandungi tiga hingga empat mata pelajaran sahaja sehari, mengikut kaedah dan pelaksanaan yang sesuai.
Selain itu, sekolah akan diberi kelonggaran menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu manakala langkah seterusnya adalah memastikan murid-murid hanya membawa buku latihan tidak melebihi dua buku bagi setiap mata pelajaran pada satu satu masa.
Dalam pada itu, murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital melalui pelantar DELIMa manakala guru digalakkan menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali (virtual lab) atau pembelajaran terbeza. Akhir sekali, KPM bersetuju bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia dari aspek penyelarasan uniform agar murid diberi kelonggaran memakai uniform sekolah masing-masing semasa sesi persekolahan KAFA.
Malangnya, selepas lebih setahun, tujuh pendekatan diumumkan bagi menyelesaikan isu ini, hari ini kita masih mendengar rungutan ibu bapa yang masih tidak berpuas hati dan menganggap masalah belum lagi selesai.
Sewajarnya, sudah sampai masanya KPM membentangkan data dan hasil tindakan yang diambil sejak setahun lalu dalam isu penyelesaian beg sekolah berat di sekolah rendah ini. Apakah dalam isu ini pengurusan KPM telah berjaya menyelesaikannya? Kalau masih belum, rakyat tentu mahu tahu, mengapa?

Dr. Anuar Ahmad ialah Setiausaha Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya