Gaji minimum RM1,500 pun majikan tak patuh... - Utusan Malaysia

Gaji minimum RM1,500 pun majikan tak patuh…

Pekerja sektor awam dan swasta membaca ikrar pada Sambutan Hari Pekerja 2023 di Putrajaya, pada Mei lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARIPADA ahli-ahli politik ini berbalas-balas kenyataan, menuduh parti lawan rasis, mainkan sentimen agama, ‘kaki sakau duit’ dan yang pembangkang pula kata kerajaan tak buat kerja, asyik bercakap dan macam-macam lagi, lebih baik tumpukan dan bincangkan pasal kadar upah pekerja di negara ini. Ada juga faedahnya kepada rakyat.
Berpolitik sampai bila-bila pun tak habis. Selepas menang pilihan raya, kata mengata daripada politikus dan kepada politikus yang lain, macam tak ada gencatan pula. Ada saja yang tak kena. Menang bising, kalah lagi bising. Yang makin terhimpit adalah rakyat.
Semalam, barulah diwajibkan sektor yang mempunyai majikan kurang lima pekerja membayar gaji minimum RM1,500. Ini bermakna semua golongan pekerja sekarang ini perlu dibayar gaji minimum sebanyak itu.
Pun begitu, kalau diikutkan ‘sifir survival hidup’ cukupkah gaji sebanyak itu? Dengan sewa bilik atau rumah yang mahal, perbelanjaan makan, pengangkutan dan bil utiliti? Kalau duduk dengan mak bapa pun jumlah ini masih tidak mencukupi. Itu pun orang tua kena ‘ top up’ mana yang tak cukup bila tengah bulan.
Inikan pula selama ini, golongan ini dibayar di bawah RM1,500 iaitu antara RM1,100 dan RM1,200. Ikut logik bolehkah hidup dengan gaji sebanyak itu? Ini bermakna mereka kena membuat kerja sampingan lain demi kelangsungan hidup.
Gaji pekerja asing pun ada yang lebih tinggi daripada rakyat tempatan ditambah pula mereka ini diberikan tempat tinggal dan makan percuma oleh majikan.
Itu pun menurut Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor, ada lagi majikan yang degil tidak melaksanakan gaji minimum hanya RM1,500 itu.
Justeru, beliau meminta kerajaan turun padang memeriksa dan menyemak sama ada majikan-majikan di negara ini benar-benar melaksanakan gaji minimum ini. Katanya lagi, beliau mendapat aduan pekerja kontrak kerajaan yang membabitkan pekerja pengawal keselamatan dan pembersihan di sekolah ada yang tidak menikmati kadar gaji minimum berkenaan.
Macam tugas pihak penguatkuasa lainlah juga, kerajaan perlu turun padang untuk memastikan majikan-majikan ini membayar gaji ikut ketetapan. Ikut undang-undang. Majikan kalau cerita pasal naik gaji memanjanglah kata rugi, tetapi mereka masih boleh pakai kereta mahal-mahal dan bercuti di luar negara.
Golongan yang bekerja dengan majikan kurang daripada lima pekerja ini ketika ini mungkin ada yang bukan setakat dibayar kurang tetapi bekerja lebih masa pun tidak dibayar selain slip gaji juga tidak diberikan.
Justeru, kita mengharapkan kajian mengenai gaji progresif jangan diperam lama-lama. Laksanakan segera gaji progresif yang lebih adil dan bermaruah.
Kecelaruan skim gaji ketika ini yang meletakkan kadar gaji lebih kurang sama atau tidak jauh beza antara pekerja yang berpengalaman, berijazah dan yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia harus dirungkai segera.
Agak menghairankan, isu penting seperti kadar upah pekerja ini mengambil masa lama untuk diselesaikan berbanding isu-isu yang tak penting untuk rakyat.
Bab-bab lain kita mahu negara ini ke hadapan dan dijadikan contoh, tetapi bab gaji, lambat pula bertindak dan formula gaji yang dulu dicanang-canang dalam pilihan raya umum lalu, tak nampak lagi mahu dilaksanakan.
Hakikatnya, isu gaji harus ditangani dengan adil dan segera. Mereka inilah yang akan beratur panjang mengundi memilih kerajaan atau tidak mahu mengundi.
Menjaga ‘perut rakyat’ adalah sangat penting untuk talian hayat mana-mana parti politik di dunia ini. Bukan menayangkan ‘drama’ bergaduh sesama pemimpin politik. Ini kerja tak ada berfaedah.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya