‘Datuk Seri, rombak sahajalah Kabinet, kecilkan operasi’ - Utusan Malaysia

‘Datuk Seri, rombak sahajalah Kabinet, kecilkan operasi’

Kabinet Malaysia perlu kepada pemikiran mengatasi isu-isu rakyat dengan kritikal.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini ada yang buat kaji selidik tinjauan rakyat mengenai prestasi Kabinet Kerajaan Perpaduan. Ada yang di atas, ada pula yang di tangga tercorot.
Berbulan berlalu, entah makin meningkat atau sebaliknya, tapi saya fikir (pandangan peribadi saya), mungkin menjunam. Banyak isu yang dilihat orang biasa macam saya, tidak ditangani sebaiknya di sebalik kesan kenaikan OPR (kadar dasar semalaman) dan paling mendapat perhatian, kejatuhan nilai ringgit.
Dan, entah mengapa, secara peribadi, saya tak begitu ‘gemar’ dengan kewujudan Kementerian Ekonomi.
Dalam pengertian bahasa layman orang macam saya ni, ia seakan-akan bertindih dengan fungsi Kementerian Kewangan; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (kini Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Begitu juga dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Bagi saya, matlamatnya sama, merancakkan ekonomi negara, pelaburan dan bercakap soal kos sara hidup. Dalam pengertian bahasa layman orang macam saya ini juga, baik digabungkan sahaja menjadi satu kementerian. Dahulu tak ada pun Kementerian Ekonomi ini, fungsi negara berjalan juga dengan baik.
Mungkinlah mamanda menteri boleh tengok semula perkara ini dalam suasana ekonomi negara kini yang perlukan kepada berjimat cermat dan efisien fungsinya. Itu pendapat peribadi sayalah, pendapat orang lain, mungkin berbeda (berbeza).
Menurut pandangan saya, kementerian-kementerian ini akan bercakap soal yang sama. ‘Berkempen’ juga soal yang sama.
Begitu juga dengan kementerian yang berkaitan dengan pertanian. Ada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (juga bercakap soal kos sara hidup dan periuk nasi rakyat) serta Kementerian Perladangan dan Komoditi. Bukankah elok digabungkan sahaja.
Kementerian lain juga sama, kalau dilihat secara layman pada nama, macam sama sahaja ‘bunyi’ dan fungsinya. Entahlah, terserah kepada mamanda menteri melihatnya semula.
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, nampaknya begitu juga. Sama jugalah dengan hal ehwal pendidikan negara, ada yang tinggi dan ada yang rendah, mungkin boleh digabungkan. Sekali lagi, ini pendapat peribadi saya ya.
Kalau mamanda menteri tak setuju, apa kata rombak sahaja Kabinet. Saya fikir, ada menteri perlu ditukar dan diganti dengan yang lain. Penilaian semasa prestasi Kabinet negara mungkin boleh jadi rujukan. Itukan suara rakyat.
Seperkara lain saya nak tegur, apabila kita berada di posisi administratif Putrajaya, apa sahaja kita sebut, apa sahaja kita buat, segala gerak geri kita di khalayak, mahupun dirakam dan disiarkan dalam media sosial, semuanya diperhatikan dan diulas. Berhati-hatilah.
Saya masih ternanti-nantikan idea yang ‘gila’ dan wow demi rakyat. Yang ada ketika ini pun, banyak diceduk daripada idea zaman mamanda menteri sebelum-sebelum ini. Entah, saya belum nampak lagi. Jangan marah, saja nak tegur.
Bukan apa, cabaran ekonomi mendatang ini cukup kritikal dan memerlukan barisan Kabinet super hebat, serius dan cergas, bukannya kartun.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya