Dangkal mengundi huru-haralah negara

Dangkal mengundi huru-haralah negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APA yang berlaku kepada Malaysia dalam lima tahun yang berlalu ini semuanya kerana percaturan politik.

Kalau politiknya teratur dan luhur perjuangannya, kita sudah pun memacu jauh ekonomi dan pembangunannya dari Vietnam, Indonesia dan Thailand.

Malangnya akibat kedangkalan sebahagian politikus, kita merudum. Kalau bercakap pasal politik Melayu, pasti kita cukup sedih dan kecewa. Bab berpartinya sahaja sudah menggila, hingga sampai berbelas parti.

Kalau pihak lain di Semenanjung ini, boleh dikira…MCA, Gerakan dan DAP.

Hairannya, kita tidak ukur baju di badan sendiri. Bukan setakat politikusnya begitu begini, sebahagian pengundi kita pun masih suka dengar gosip dan terperangkap dalam sentimen persepsi. Mudah dipermainkan oleh sebilangan ahli politik yang ‘menangguk di air keruh’ demi mempertahan dan merebut kuasa dan jawatan. Akhirnya yang buruknya diterima oleh pengundi. Sekali gus menjalar ke majoriti rakyat dan impak negatifnya kepada negara.

Pilihan raya yang menjadi simbol demokrasi kini sudah tidak bererti lagi sejak 2020, yang kemudian diambil alih oleh akuan bersumpah (SD) dan undi usul percaya di lantai Parlimen. Risikonya sudah terbukti dengan empat kali pengeluaran KWSP, Kadar Dasar Semalaman (OPR) naik, harga sawit, getah merudum, import barangan makanan cecah RM80 bilion setahun dan kadar pengangguran mencanak. Seterusnya menjangkit ke isu-isu pendidikan berkisar kisah 30,000 ponteng ambil SPM dan setengah juta lepasan SPM tidak sambung belajar ke peringkat lebih tinggi sejak 2020.

MARUAH

Kesan politik tidak cerdik kait-mengait dengan pembangunan dan kemajuan rakyat negara ini. Kata penyair Indonesia, Muhammad Ainun Nadjib: “Politik diciptakan dan dimanifestasikan berdasarkan filosofi dan tujuan untuk menyediakan kebahagiaan dan kesejahteraan bagi manusia, tapi yang terjadi adalah sama sekali kebalikannya.”

Ketika politik mengajarkan bahawa tugas ahli politik sesungguhnya melaksanakan kehendak rakyat, namun yang terjadi mereka hanya mementingkan dirinya sendiri.

Orang Melayu berhak menepuk belakang sendiri. Kita telah berjanji akan mengembalikan maruah bangsa, agama dan tanah air. Untuk mengembalikan maruah kita, yang perlu dibuat bukanlah mendesak pihak lain supaya menghormati kita.

Desakan dan tuntutan tidak akan mengubah pandangan orang lain terhadap kita. Hanya yang boleh mengubah pandangan mereka ialah bukti jelas bahawa mereka salah dan kita bukan seperti yang didakwa oleh mereka. Tetapi sebaliknya kita adalah bangsa yang bertamadun tinggi, cekap dalam serba-serbi, berilmu dan mengamalkan nilai-nilai hidup yang mulia dan murni, dan kita jelas berjaya.

Tanggungjawab pemimpin Melayu iaitu tanggungjawabnya terhadap bangsa, agama dan negara jauh lebih besar daripada pihak lain. Melayu adalah tunjang dan teras bagi Malaysia. Lemah orang Melayu, lemahlah Malaysia, tidak stabillah.

Malah, Tun Dr. Mahathir Mohamad suatu ketika pada 1995 dalam perhimpunan agung UMNO sewaktu beliau presiden parti, mengungkapkan:

“Puncak biasanya tidak luas. Tidak ramai yang boleh berada di puncak seperti mana ramai yang terdapat di bahagian bawah puncak dan di dataran. Oleh itu, jika ada pergelutan di puncak, tentu akan ada yang jatuh ke bawah. Tetapi mungkin juga semua akan terjatuh kerana pergelutan di puncak.

“Dalam perjuangan manusia, puncak tidak ditetapkan. Ia boleh ditentukan oleh pejuang sendiri. Dengan itu ada bangsa yang naik tidak begitu tinggi dan sampailah mereka ke puncak gunung perjuangan mereka. Kemudian mereka tidak boleh naik lagi.

“Ada bangsa lain yang tidak mampu mendaki gunung perjuangan sama sekali, bahkan tidak mempunyai niat atau cita-cita untuk mendaki ke mana-mana dan oleh itu terus tinggal di bawah, di dalam lembah.

“Tetapi ada bangsa yang bergerak sebagai satu pasukan, menyusun langkah secara teratur dan tertib, mempunyai ketua yang mendahului pasukan yang merintis, menebas dan menebang jalan yang selamat untuk dijejak oleh ahli-ahli pasukannya, tidak lupa akan mereka yang di belakang dan di bawah serta bergerak berhati-hati secara terancang. Bangsa yang berpasukan yang tertib ini pasti akan dapat sampai ke puncak perjuangan yang lebih tinggi.

“Bangsa yang tertib dan berpasukan kukuh ini, bangsa yang tidak berebut-rebut ketika mendaki dan semasa berada di puncak, bangsa yang mulia budayanya, akan menjadi bangsa yang agung, bertamadun tinggi, dihormati dan disegani.”

LOBSTER, MATERIALIS

Kerajaan tidak boleh menghidangkan lobster kepada sesiapa. Yang boleh dilakukannya ialah menyediakan peluang dan melicinkan proses. Mereka yang makan lobster hari ini dahulu makan kuetiau di tepi jalan.

Ada antara mereka yang tidak berjaya, atau yang belum berjaya.

Dan kerajaan, seingat kita, tidak pernah berjanji semua orang Melayu akan berjaya. Peluang yang diberikan mengikut kemampuan.

Di waktu orang Melayu menghadapi British kerana rancangan Malayan Union selepas Perang Dunia Kedua, mereka berasa terhimpit.

Bangsa Melayu yang setia kepada negeri masing-masing telah menolak perasaan kenegerian untuk bersatu padu sebagai bangsa Melayu. Hasilnya ialah mereka berjaya dalam perjuangan mereka sehingga mencapai kemerdekaan dan membebaskan diri daripada kemiskinan dan kedaifan dalam pelbagai bidang.

Malangnya apabila tekanan dan himpitan sudah berkurangan, perpaduan mula hilang nilai dan kepentingannya. Yang kita lihat dan kita alami sekarang ialah prosses lupa daratan kerana sudah tidak terhimpit lagi.

Budaya yang terbentuk sekarang ialah budaya materialis yang tidak bertanggungjawab. Budaya inilah yang kita lihat sekarang.

Percayalah, jika bangsa yang termaju di dunia pun boleh runtuh apabila hilang budaya yang cemerlang, apatah lagi kita yang belum pun menjadi bangsa yang termaju. Tentu kita akan hancur dengan lebih cepat lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya