Ahli politik saling ‘rejam merejam’, kita dapat apa? - Utusan Malaysia

Ahli politik saling ‘rejam merejam’, kita dapat apa?

PENIAGA buah-buahan, Mat Desa Jat, 63, menyusun buah pisang yang digantung di hadapan kedainya di jalan utama pekan Pauh, Arau, Perlis. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINGGU ini memang panas dengan cerita-cerita politik. Ada yang kena tahan, ada yang kena dakwa, ada yang kena siasat malah mungkin ada yang dalam radar pihak berkuasa.
Isu itu, isu ini, mengata sana, mengata sini, yang sana buruk, yang situ buruk, sana jahat, situ pembohong, semuanya dilemparkan di pentas politik.
Ada yang sehingga ‘terlepas cakap’, konon dialah yang ‘terpaling’ baik, ‘terpaling’ hebat, ‘terpaling’ bijak, ‘terpaling’ sayangkan rakyat.
Sepanjang menjadi ‘orang biasa’ (bukan disebabkan tugasan liputan berita), saya tak pernah hadir mana-mana ceramah politik secara sukarela. Maaflah, mata dan telinga saya bukannya ‘tong sampah’ untuk disumbat, untuk menonton segala ‘drama’ pentas politik. Kalau membuat liputan pun, isunya, isinya, pokok pangkalnya sama.
Matlamatnya cuma satu, ‘menelanjangkan’ sisi buruk pihak lawan. Mungkin tidak semua, tetapi hakikatnya begitulah. Apa yang kita dapat daripada sesi ‘menelanjangkan’ sisi buruk itu? Gelak ketawa? Terhibur? Percaya? Tak dapat apa-apa manfaat pun.
Saya fikir, lebih baik cerita tentang bagaimana nak membangunkan negara, nak menangani derita kos sara hidup, macam mana nak turunkan harga minyak. Tetapi nanti ‘dikata’ orang pula, cerita-cerita begini tak menarik di pentas politik, nanti orang tidur.
Tapi bagi saya ia lebih matang berbanding soal orang itu tidak cerdik, orang itu munafik, orang itu pembohong, orang itu pelingkup, orang itu rasuah, orang itu buruk, semuanya tentang orang itu. Diri sendiri?
Mungkin mereka ini perlu menonton filem dari negara jiran berjudul Perempuan Berkalung Sorban. Cuba hayati adegan rejam ketika Nyai Mutmainnah muncul dan terus mengambil batu sambil berkata kepada khalayak: “Hanya yang tidak pernah berbuat dosa, boleh melempar (merejam)!”
Tiada seorang pun yang berani meneruskan aksi merejam. Bukankah bagus jika ia dipraktikkan dalam kehidupan kita yang tidak mudah bersangka buruk, menghukum, apatah lagi bertindak tanpa usul periksa terhadap sesuatu perkara. Lagi bagus jika dipraktikkan oleh sang politikus.
Bagi saya, saya sudah muak dengan ‘lakaran’ pentas politik sejak 1998 lagi. Rakyat diheret di kaki-kaki lima hanya kerana politik. Apa yang kita dapat, tuan-tuan dan puan-puan? Jawablah. Kini, ada yang nak makan pun kena catu, esok lusa tak tahu masih ada kerja atau tidak. Orang politik? Masih nak sembang dia punya nasib, biarpun sudah berpenggal-penggal nak jadi ahli politik.
Konon di dalam Dewan Rakyat saling ‘rejam merejam’, di luar dewan boleh pula duduk semeja minum kopi, bertepuk tampar, berjenaka. ‘Drama’ apa ni? Bagi saya, ia memualkan. Tolonglah matang dalam berpolitik. Jangan ditunjuk segala nilai hidup yang merosakkan masa depan anak-anak bangsa dan negara.
Sebelum ini saya pernah menulis, buat apa ‘bertekak’, bermusuhan secara ekstrem, nanti bila dah jadi geng, yang belah sana pula ungkit-mengungkit ‘falsafah’ dan pegangan kita yang sebelum-sebelum ini. Begitu juga yang pernah melabel parti itu sesatlah, syaitanlah, koruplah, tetapi bila ‘terpaksa’ bersatu, nanti malu geng. Jadi, berpada-padalah dalam berpolitik.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya