SEPANJANG sejarah pilihan raya di negara ini, ia sering dicemari oleh ucapan-ucapan berbaur kebencian dan sarat dengan propaganda yang boleh menimbulkan ancaman besar kepada keharmonian dan keselamatan negara.
Kajian juga menunjukkan media sosial menjadi gelanggang peperangan persepsi di alam maya dengan menaburkan ‘propaganda hitam’ sarat dengan elemen kebencian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Persoalannya, adakah perkara sama akan terus berulang pada pilihan raya di enam negeri yang akan menjelang tidak lama lagi? Atau ia akan bertambah hebat lagi dengan pelbagai isu yang merantai negara ketika ini?
Dengan peningkatan teknologi dan populariti media sosial, penyebaran ucapan kebencian dan propaganda di Malaysia semakin berleluasa, menjadikan isu ini sesuatu yang mendesak dan amat memerlukan perhatian.
Ini sejajar dengan harapan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang meminta agar Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, memantau hantaran-hantaran berkisarkan naratif kaum dan agama yang dimainkan pemimpin politik di laman sosial untuk diambil tindakan tegas dan menjadi pengajaran kepada semua.
ISU AGAMA DAN KAUM
Menurut laporan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), kebanyakan ahli politik menggunakan isu agama dan perkauman menerusi laman sosial untuk kepentingan politik terutamanya menjelang pilihan raya. Tindakan pemimpin dan ahli politik ghairah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah semasa berkempen adalah untuk mewujudkan perpecahan antara pengikut parti yang berbeza tetapi menjadi penganut agama yang sama.
Tindakan atas nama ‘hak kebebasan bersuara’ ini amatlah tidak bertanggungjawab kerana ia akan menjejaskan keamanan negara hanya untuk kepentingan politik yang sempit.
Semasa berkempen kita sering terdengar ucapan yang menyindir, mengungkit dan mencungkil sesuatu yang bersifat negatif yang sengaja dirancang sebagai propaganda bagi memenangi hati pengundi.
Menyemarakkan kebencian amat berbahaya dan seorang pejuang kebebasan bersuara, ahli falsafah dan ekonomi Inggeris JS Mill pernah berkata, beliau hanya akan menganjurkan larangan bersuara sekiranya ucapan tersebut boleh membahayakan orang lain atau ditafsirkan sebagai ucapan kebencian.
Kewujudan cybertrooper atau saldadu siber di negara ini setiap kali pilihan raya menambahkan lagi parah dengan meniupkan sentimen perkauman dan agama terutamanya dalam TikTok.
Hakikatnya, ia juga merupakan isu utama yang akan dimainkan di banyak rantau di dunia, termasuk Asia Tenggara. TikTok telah menjadi tempat pembiakan ucapan kebencian. Beberapa kajian menunjukkan TikTok digunakan untuk membakar api perkauman, seksis dan homofobik di Asia Tenggara.
Di Malaysia, media sosial sering menjadi senjata bagi penyebaran maklumat kebencian yang menjejaskan keharmonian kaum. Persoalan 3 R (Royal – Raja, Race – Bangsa dan Religious–Agama) terus menjadi sasaran pihak yang menabur fitnah dan kebencian. Media baharu turut menyebarkan propaganda termasuk fitnah dan khabar angin untuk menyerang pesaing mereka secara tidak dikenali.
Ucapan kebencian boleh mewujudkan perpecahan dan konflik. Malah tindakan negatif ini cenderung untuk memperdalamkan perpecahan antara individu dan kumpulan.
Mereka menimbulkan kebencian, permusuhan dan ketidakpercayaan dalam kalangan masyarakat. Ini boleh membawa kepada konflik sosial, ketegangan antara kumpulan, dan juga keganasan
RETORIK KEBENCIAN
Selain menjejaskan persepsi negatif terhadap kumpulan atau individu yang menjadi sasaran, mereka boleh mewujudkan prasangka, stereotaip dan diskriminasi. Ini boleh mengganggu perhubungan antara individu dan menyebabkan ketidakadilan sosial.
Apabila ucapan kebencian berleluasa dalam suasana awam, perbincangan yang sihat dan membina sering digantikan dengan retorik kebencian dan serangan bersama. Ini menghalang keupayaan orang ramai untuk berkomunikasi dengan baik, memahami antara satu sama lain, dan mencapai persetujuan yang baik.
Penyebaran mesej negatif melalui media sosial menyediakan platform yang luas untuk individu menyebarkan mesej kebencian dengan cepat dan mudah kepada khalayak yang luas.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini juga boleh merebak dengan cepat melalui media sosial dan mencipta kesan domino.
Apabila seseorang mula menyebarkan kebencian, orang lain mungkin terpengaruh dan mengambil bahagian dalam tingkah laku yang sama. Ini mewujudkan gelung berterusan yang mengukuhkan kebencian dan meluaskan impaknya
Malahan media sosial cenderung membentuk apa yang dipanggil ‘buih penapis’ yang mana pengguna hanya terdedah kepada pandangan, pendapat dan kandungan yang konsisten dengan kepercayaan mereka sendiri. Ucapan kebencian dalam persekitaran ini boleh mengukuhkan sikap negatif dan stereotaip sedia ada, sekali gus memperdalam perpecahan kaum.
Untuk mengelakkan keruntuhan perpaduan kaum, adalah penting untuk menggalakkan kesedaran tentang kesan negatif ucapan kebencian di media sosial.
JANGAN BIARKAN MEREKA TERLEPAS
Keperluan untuk pemahaman yang lebih baik, dialog yang membina, dan mengekalkan nilai keterangkuman, toleransi, dan kerjasama antara rakyat adalah penting.
Tindakan pihak tidak bertanggungjawab merangka agenda media dengan terus menyebarkan maklumat palsu malah bertambah berani dengan kelonggaran pihak berkuasa dalam menguatkuasakan undang-undang berkaitan. Banyak sentimen dalam media sosial dan ucapan kebencian terlepas begitu sahaja tanpa tindakan sewajarnya.
Justeru, penguatkuasaan tegas perlu dilakukan segera terhadap mereka demi kebaikan orang ramai.
Sebelum menjadi parah dan tidak terkawal adalah amat penting pihak berwajib mengambil tindakan tegas dengan hukuman yang setimpal atau lebih berat.
Kempen kesedaran tentang bahaya yang disebabkan oleh penyebaran maklumat palsu melalui ucapan kebencian dalam kalangan orang ramai di media massa secara menyeluruh perlu dilipatgandakan.
Sekiranya mahu mewujudkan kempen pilihan raya yang bersih dan berintegriti, ucapan-ucapan kebencian ini perlu dibanteras agar ia tidak menjadi tradisi setiap kali pilihan raya. Adakah PRN yang akan datang ini boleh jadi satu pilihan raya yang bersih tanpa ucapan kebencian?
PENULIS ialah Profesor di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA.