KETIKA saya di tahun pertama kuliah di kampus hijau, suasana sezaman itu sedang memuncak suara anak muda melaungkan reformasi, ditambah dengan mendepani Krisis Kewangan Asia.
Ketika itu jugalah, duit yang diperah daripada pinjaman Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan ‘biasiswa’ PaMa (duit papa dan mama) terasa sangat kecil nilainya. Susah, memang susah sehingga terasa nak berhenti belajar dan bekerja.
Nasib saya dapat bekerja sambilan sebagai juruwang di sebuah stesen minyak, hasil bantuan pemiliknya sekeluarga (semoga Allah merahmati kehidupan mereka), dapatlah wang saku meneruskan kehidupan dewasa di alam kampus.
Di bilik sebelah (kolej kediaman), ada rakan memberitahu dia terpaksa ikat perut, sebungkus mi segera dibahagi dua, setengah untuk makan tengah hari dan selebihnya untuk makan malam. Di pentas politik ketika itu, orang dok sibuk berhimpun sana sini, menentang itu menentang ini.
Kini, yang kecil sudah besar, yang dahulu di jalanan kini di tampuk pemerintahan, yang dahulu memperjuang nasib rakyat, ketika ini sudah berada di kerusi yang pernah mereka ‘bentak’ sebelum ini. Begitulah putaran hidup.
Tanpa disangka, berpuluh tahun berlalu, yang dahulu di jalanan ‘bersilat’ dengan formula dan ‘kebijakan’ (langkah), kini berputar melalui seakan-akan situasi sama, krisis ekonomi pasca Covid-19. Bezanya mereka kini sudah berada di gedung-gedung administratif Putrajaya.
Cubalah tanya sesiapa pun, pasti mereka akan membentak kembali, seraya secara terbuka dan kritis bersoal: “Mana perginya yang kalian perjuangkan dahulu, suara-suara indah hendak menangani isu-isu ekonomi rakyat, mana dia formula-formula gagah yang dipekikkan nak menurunkan itu ini, percuma itu ini?”
Saya juga ternanti-nantikannya.
Sementelah, di kolej-kolej kediaman, ada anak-anak kita yang dahulu zaman saya mi segera dibahagi dua, kini agaknya dibahagi tiga, mungkin semangkuk mi segera dikongsi ‘lima bersaudara’. Pergilah tinjau.
Harga barang naik seperti tak terkawal, harga makanan juga. Petrol? Statik begitu sahaja. Pendidikan percuma? Ke laut. OPR (kadar dasar semalaman)? Naik dan terus naik menambah beban si peminjam pinjaman perumahan. Terbeban tahu tak?
Peliknya, mengapa bank tidak boleh ‘menahan seketika nafsu mereka’ daripada menambah nilai bayaran pinjaman bulanan, kalau ikutkan laporan suku pertamalah, suku kedualah, untung berbilion-bilion.
Ini adalah leteran saya dan mungkin sama dengan yang lain (secara peribadi). Sudah tak tahan dengan semuanya naik. Nilai ringgit pula merudum.
Jadi, wahai ‘sang pejuang 1998’ yang kini empuk di administratif Putrajaya, fikirkanlah secara kritikal.
Bukannya bak ‘siluman’, ‘ghaib’ dibadai prasangka demi prasangka. Bukan nak menjatuhkan, mengaibkan, menjatuhkan nilai rupa, tetapi nak tegur supaya hadir dengan pakej yang menarik demi rakyat, bukannya bercakap, bercakap dan bercakap sana sini.
Penulis adalah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.