Meyakinkan belia kepada kerajaan - Utusan Malaysia

Meyakinkan belia kepada kerajaan

Pengundi muda, Nur Izzati Mohd. Rasol (kiri) bersama adiknya Nur Hanani selepas mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 di Melaka. - Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNIA kini semakin berada pada ambang krisis keyakinan yang membimbangkan terutamanya melibatkan perihal kepercayaan rakyat terhadap pemerintahnya. Ini boleh diperhatikan apabila apa sahaja yang diusahakan dan dilakukan kerajaan seringkali mendapat kecaman yang tidak berkesudahan daripada rakyat.
Sudah pasti isu-isu seperti tidak memenuhi janji, rasuah dan kepincangan tata kelola menjadi antara asbab utama mengapa defisit kepercayaan rakyat ini berlaku.
Kepercayaan kepada kerajaan adalah kepercayaan terhadap kesanggupan dan keupayaan ahli politik untuk memenuhi janji mereka. Musim pilihan raya memperlihatkan parti-parti politik sibuk mengetengahkan dasar-dasar yang bakal diperkenalkan apabila mereka diberikan amanah untuk mentadbir negara.
Selepas musim pilihan raya tamat, sudah pasti rakyat menantikan janji-janji yang perlu ditunaikan seperti yang dibincangkan dalam model promissory representation. Kebiasaannya, rakyat akan menghukum mana-mana parti politik yang tidak menunaikan janji dengan menterjemahkannya menerusi pembuangan undi.
Namun, rakyat juga perlu bijak membezakan antara janji yang telah dan belum ditunaikan dalam membuat keputusan untuk memilih kerajaan. Namun, perkara sebaliknya berlaku kerana kebanyakan rakyat seperti mempunyai masa yang terhad dan enggan mengikuti perkembangan tingkah laku kerajaan secara dekat.
Hakikatnya juga, tidak semua golongan belia cakna dengan perkembangan politik negara dan akhirnya mudah terikut-ikut dengan mainan dan hasutan politik kebencian di media sosial.
Dari sudut pandang lain pula, belia yang betul-betul mengikuti isu-isu semasa akan membentuk fahaman dan pandangan tersendiri mengenai prestasi sebenar kerajaan. Walaupun fakta-fakta mengenai hasil pencapaian kerajaan diuar-uarkan, namun tidak sewenang-wenangnya diterima oleh golongan ini sehinggalah fakta-fakta tersebut diterjemahkan dalam bentuk alami dan bukannya bersifat teori.
Isu-isu utama seperti penurunan kos sara hidup, peluang pekerjaan, kesihatan dan perubahan iklim sering kali menjadi asas perjuangan golongan belia. Kesemua ini tidak dapat diterjemahkan hanya menerusi laporan-laporan bertulis tanpa mereka mendapat kesan langsung yang sebenar daripada penambahbaikan tersebut.
Dunia informasi kini berubah 360 darjah. Dulu, pencapaian-pencapaian kerajaan hanya dipaparkan di laman-laman web kerajaan. Pada ketika itu pun tidak semua orang mempunyai akses ke laman-laman web tersebut. Kini, banyak kajian membuktikan informasi memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi dan pola pengundian rakyat.
Jurang komunikasi antara kerajaan dan rakyat dilihat menjadi salah satu penyumbang kepada kemerosotan kepercayaan golongan belia terhadap kerajaan.
Kini, banyak negara di dunia telah memperakui sumbangan sosial media dalam mengubah kehidupan masyarakat. Salah satu saluran digital yang paling pesat berkembang adalah media sosial dengan 2.62 bilion pengguna aktif bulanan di seluruh dunia pada 2018.
Sungguhpun begitu, kebanyakan negara sedang membangun hanya menggunakan sosial media untuk tujuan penyampaian maklumat semata-mata tanpa mengambil peluang untuk berinteraksi dan bekerjasama dengan belia. Selain itu, peperangan media sosial menjadi semakin penting dan pihak yang berjaya ‘menawannya’ akan dihadiahkan kerusi empuk di Parlimen.
Rasuah juga merupakan antara penebat yang terhebat dalam usaha meningkatkan kepercayaan belia terhadap kerajaan. Di Amerika Latin, rasuah telah melemahkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan bertahun-tahun lamanya.
Di Peru, amalan rasuah dilihat begitu sebati dalam dunia politik sehinggakan beberapa mantan presidennya dibuang dan ada juga melarikan diri ke negara lain untuk lari daripada masalah. Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Apabila rakyat melihat perbuatan rasuah itu berlaku secara bermaharajalela, mereka akan menyalahkan institusi kerajaan dan bukannya individu ahli politik yang melakukannya semata-mata.
Rasuah juga dapat dihidu menerusi penyalahgunaan duit bantuan kemanusiaan ketika bencana dan juga penyalahgunaan kuasa dalam pemberian kontrak menguruskan bencana.
Bagaimanapun, isu rasuah terhadap kepercayaan rakyat juga bersifat pelbagai kerana ada juga beberapa kes yang mana rakyat terus mengundi pelaku-pelaku rasuah walaupun media sering kali mengutarakan perihal itu, seperti yang berlaku di Sepanyol.
Kerajaan yang rasional adalah kerajaan yang sering kali meninjau tahap kepercayaan rakyat terhadapnya. Rakyat terutamanya belia yang mempunyai tahap kepercayaan yang tinggi terhadap kerajaan akan terpanggil untuk sama-sama menggubal, melaksanakan dan mendukung dasar-dasar kerajaan. Konsep causal chain account of trust yang terbina ini dilihat sangat penting dalam agenda pembangunan negara dan ia pun terbukti berlaku di negara-negara Eropah, Kanada dan Korea Selatan.
Oleh itu, transformasi politik perlu berlaku secara tuntas dan pantas untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. Keseluruhan janji perlu dilunaskan mengikut keutamaan belia dan pelaporan mengenai kemajuannya perlu dibin­cangkan bersama mereka secara berkala menerusi salu­ran televisyen dan platform atas talian.
Golongan belia akan lebih rasional dan mempunyai kepercayaan terhadap kerajaan apabila mereka nampak perubahan yang dibawa oleh kerajaan secara nyata.
Ilmu politik perlu diperhebatkan dan disebar luas untuk manfaat golongan belia agar penglibatan mereka dalam proses pembuatan keputusan menjadi sesuatu yang sangat bermanfaat.
Selain itu, penggunaan media sosial perlu diperhebatkan bagi memastikan maklumat-maklumat yang perlu disampaikan kepada belia tidak terperap di laman web kerajaan dek kerana bersifat satu hala. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari.
Segala tindak-tanduk kerajaan seringkali diper­hatikan dan diikuti golongan belia termasuklah segala kepincangan yang dilakukan. Oleh itu, kerajaan perlu menunjukkan contoh teladan yang baik supaya akhirnya nanti dapat meningkatkan tahap kepercayaan belia terhadap kerajaan.

PENULIS ialah Pensyarah Dasar Awam di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya