‘Masuk universiti, keluar bukan jadi orang kaya pun’ - Utusan Malaysia

‘Masuk universiti, keluar bukan jadi orang kaya pun’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEMASA menonton kupasan isu mengenai ‘anak muda tak minat sambung belajar’ dalam sebuah rancangan di televisyen, kawan di sebelah saya mengadu: “Anak aku macam itulah, dia boleh balas cakap kita, dia persoal kita yang lepasan universiti ni pun hidup tak kaya-raya”.
Terdiam saya seketika. Masa itu, teringat pula simpanan di bank, betul, memang tak kaya. Saya ini lepasan sebuah universiti yang dikelilingi ladang dan ‘reban’ haiwan ternakan. Jalan kaki ke dewan kuliah, di tepi laluan kaki, penuh pokok asam Jawa. Di belakang kolej kediaman pula, ada kebun buah rambutan, cempedak, pulasan. Kalau nak lagi ‘mencabar’ cuba-cubalah masuk ke kebun durian. Mahu kena ‘rembat’ dengan ‘pak guard’.
Begitulah definisi ‘kaya’ saya, pengalaman sepanjang berada di kampus hijau itu. Petang-petang tengok ladang jagung, lembu, rusa, kuda. ‘Mewah’ sungguh kehidupan ketika itu (biarpun ada ketika makan mi segera di akhir semester). Lain universiti, lain pula pengalaman dilalui. Ada yang nun di dalam hutan, ada yang bangunan kampusnya merata-rata di seluruh pelosok negeri, ada yang di tepi pantai dan ada pula menjadi lokasi si ‘Ali Setan’ bikin cerita.
Memang tak kaya pun, menghabiskan masa sahaja sambung belajar ni. Baik habis sahaja sekolah, keluar sikit duit pi niaga sana sini, jadi pempengaruh, jual baju Melayu viral atau pencerah kulit. Ada duit, boleh beli kereta mewah, rumah besar. Eh, macam-macamlah boleh beli.
Bercakap mengenai sambung belajar dan definisi kekayaan, saya teringat sebuah filem Thailand (diadaptasi daripada kisah sebenar) dibintangi Peach Pachara, The Billionaire, ditayangkan pada 2011. Bagaimana seorang anak muda yang sudah tidak mahu meneruskan pengajian, kini jutawan terkenal dengan produk ‘Tao Kae Noi’, makanan ringan berasaskan rumput laut.
Ya, dia jadi jutawan, walaupun tak habis belajar di universiti. Tetapi biarpun begitu, Itthipat Peeradechapan seperti diceritakan dalam filem tersebut, tetap menghargai institusi pendidikan tinggi apabila mendapatkan khidmat nasihat seorang pensyarah teknologi makanan mengenai penjagaan kualiti produknya.
Otak Itthipat juga tiba-tiba teringatkan bagaimana cara untuk menguasai pasaran dengan mendengar semula rakaman kaset kuliah yang dirakamnya semasa di dalam kelas. Cerita ini cukup jelas, biarpun siapa kita, hargai dan hormati institusi pendidikan.
Definisi kaya itu luas dan subjektif. Kita mungkin ‘marah’ ibu atau bapa kita yang tak kaya, biarpun mereka lepasan universiti atau kolej. Tetapi ‘kekayaan’ yang sedikit dikumpul mereka itulah yang dapat menyediakan kelengkapan harian kita sehingga dewasa berdikari.
Ali dalam cerita Ali Setan juga begitu. Biarpun ‘definisi kekayaan’ dibesarkan dalam suasana yang serba lengkap, masih menghargai apa itu ilmu di pengajian tinggi. Definisi kaya dia juga berbeza biarpun hanya sekadar ‘khayalan’ si penerbit dan pengarah filem atau penulis skrip.
Kayanya pengalaman berada di universiti, bukan sedikit dik. Amat ‘luar biasa’. Tak kira di universiti atau kolej atau politeknik atau apa jua institusi pengajian tinggi, pengalaman mengurus hidup, ditemani rangkaian rakan yang merata negerinya, belum lagi jika ada ditempatkan bersama orang Arab atau penuntut dari negara jiran, semuanya boleh menjadi kaya dengan cerita.
Di kampus hijau, saya membina banyak cerita dan ‘kekayaan’ hidup. Subjektif dan luas maknanya, bukan hanya kaya wang dicari semata-mata. Khamis nanti keputusan SPM akan keluar, pilihan di tangan sendiri, selamat maju jaya.

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya