Kerajaan! Kena berani berbelanja, bukan 'peram' duit buat pekasam - Utusan Malaysia

Kerajaan! Kena berani berbelanja, bukan ‘peram’ duit buat pekasam

Sistem pengangkutan futuristik, hyperloop yang perlu diterokai negara - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini saya terbaca artikel di Arab News, sebenarnya ia kembali ditularkan oleh seseorang di Twitter sempena musim haji ini, mengenai cadangan projek sistem transit futuristik, hyperloop.
Jika ia direalisasikan, perjalanan dari Jeddah ke Mekah sejauh 89 kilometer cuma mengambil masa lima minit dengan kelajuan 1,078 kilometer per jam. Biasanya jarak perjalanan menghubungkan dua kota itu, kurang lebih satu jam.
Pengasas Bersama Virgin Hyperloop, Josh Giegel berkata, perjalanan dari Riyadh ke Abu Dhabi sejauh 900 kilometer pula mengambil masa 48 minit berbanding menggunakan kapal terbang, satu jam 45 minit.
Ini cukup menakjubkan dan saya amat teruja dengan projek ini.
Bayangkan, kalau hyperloop dibina di negara ini, tentu boleh pulang ke kampung dengan ‘sekelip mata’ sahaja.
Tapi, macam mana hendak bina hyperloop di sini? Sedangkan projek tren berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura pun boleh dikatakan sudah masuk ‘muzium’.
Pendapat peribadi saya, membatalkan projek itu merupakan satu kesilapan besar. Kalau diambil kira laluan udara KLIA-Changi, ia berada di nombor satu sebagai laluan paling sibuk di dunia.
Itu maknanya penghubung antara Kuala Lumpur dan Kota Singa punyai pasaran ekonomi yang cukup memberangsangkan. Takkan tak boleh nampak.
Lain orang lain pendapat, mungkin ada yang kata ia projek membazir. Tapi dah batalkan, dah tak jadi, dah bayar ganti rugi ratusan juta ringgit, apakah bertambah baik negara ini? Entahlah.
Projek Bandar Malaysia juga tak tahu apa statusnya. Kalau baik untuk rakyat, teruskanlah.
Jangan takut-takut berbelanja jika ia membawa manfaat besar kepada rakyat dan imej negara. Kalau tidak, maka, bangunkan sahaja rumah-rumah mampu milik yang kondusif untuk rakyat secara berskala ‘menakjubkan’, percepatkan baik pulih sekolah daif, mesti turap cantik-cantik jalan raya, perbaiki atau naik taraf flat-flat usang.
Namun, secara peribadi juga saya merasakan kerajaan kena berani dengan menampilkan idea yang ‘wow’ (rasa kagum) dan berbelanja besar dalam aspek kemudahan rakyat. Kerajaan kena berani berbelanja.
Kalau rasa nak teruskan projek HSR, teruskan dengan satu kenyataan yang tegas, bukan sekejap itu, esok lusa jadi lain pula. Bandar Malaysia, jawab dengan tegas, nak teruskan atau tidak. Jika tidak, nak dibiarkan bersemak sahajakah tapak projek Bandar Malaysia?
Dan, secara serius, hyperloop, kerajaan juga kena berani memikirkannya. Esok lusa kalau negara lain buat, kita masih nak duduk dalam Ekspres Rakyat Timuran lagi? Sudah ketinggalanlah kawan. Nanti ada orang kata kita ni asyik duduk di paras negara membangun sahaja.
Saya sokong segala pembangunan, tetapi biarlah ia juga bertepatan atau selari dengan pembangunan otak dan perasaan. Jangan maju dari segi materialistik tapi miskin jiwa sehingga sanggup merendah-rendahkan dan mempermainkan isu-isu sensitif seperti dilakukan oleh orang yang mengaku dari negara dunia pertama itu.
Seperkara lain, saya ada satu soalan, apa perkembangan projek kereta terbang ya? Takkan dibiarkan senyap sahaja? Persoalan ini juga mesti kerajaan tangani sewajarnya. Atau ia sudah senasib dengan HSR, sudah masuk muzium?

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya