PADA 16 Jun ini, TAN SRI DR. RAIS YATIM, 81, selesai khidmatnya selama tiga tahun sebagai Speaker Dewan Negara ke-18.
Beliau yang bercuti mulai hari ini, 1 Jun telah berkhidmat dengan kesemua 10 Perdana Menteri (PM) selama 55 tahun sejak 1968. Ia termasuklah sebagai pembantu pelajar kepada PM pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Rais yang menyifatkan dirinya sekarang lebih bebas untuk menyuarakan pendapatnya setelah tidak lagi menjawat jawatan Speaker mahu dasar semua PM tidak ‘mati’ setelah mereka meninggal dunia atau tidak lagi berkuasa.
Banyak kisah suka duka ditempuh Rais sewaktu bekerja dan berkhidmat di bawah 10 PM berkenaan. Kepada wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL dalam pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini, beliau berkongsi dan berterus terang tentang pentadbiran, stail dan hasil kerja mereka.
PENYESALAN TUNKU ABDUL RAHMAN
Saya kena kaveatkan tentang Tunku sebab saya berkhidmat di bawahnya sebagai pembantu pelajar. Saya mengenali dia menerusi kisah-kisahnya bertindak pada 1968 sehingga 1971.
Saya mewakili Pemuda UMNO untuk memberi maklumat tentang gara-gara Dr. Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) pada masa itu dan saya juga berkhidmat dengan beliau setelah (Parti Melayu) Semangat 46 ditubuhkan (pada 1989) sebab
Tunku menjadi penaung utama selain Tun Hussein Onn. Saya sebagai setiausaha sementara dan kemudian menjadi timbalan presiden parti, banyak berkhidmat dengan Tunku.
Kesusahan Tunku di saat akhirnya ialah beliau terlampau idealistik berhubung masyarakat majmuk. Ini merupakan satu keterlanjuran sehingga terlupa bahawa di belakang Dr. Mahathir dan Tun (Abdul) Razak Hussein, ada satu kumpulan baharu pascamerdeka yang Tunku tidak begitu hairankan (ambil kisah). Jadi, pendek cerita, saya belajar dari segi keikhlasan Tunku dan jiwanya untuk membela orang susah. Saya di Singapura, ada tiga pelajar ambil undang-undang tulis surat kepada semua pihak, tidak dapat. Tulis surat kepada Tunku, tiga minggu baru dapat jawab, “Sila bertemu dengan…ada pegawai-pegawai untuk mendapatkan bantuan.”
Pengalaman saya dengan Tunku semasa Semangat 46, di situ saya lihat bagaimana dia menyesal (kerana) tak cukup memberi perhitungan, pandangan kepada Melayu. Dia berani mengatakan masa itu, “Saya nak tebus balik apa kekurangan semasa (menjadi) PM yang saya tak dapat bagi orang Melayu.”
BUKU HIJAU ABDUL RAZAK
Saya fikir (Rancangan) Buku Hijau oleh Tun Razak patut dihidupkan balik. Beliau berjaya menghidupkan semangat menanam sayur-mayur waima dalam pasu. Dirizabkan hak-hak (tempat tanaman) makanan kita, menyayangi bumi balik. Tetapi sayang selepas beliau, dasar itu mati. Kebanyakan dasar semua PM kita mati bila PM itu mati, ataupun tidak lagi berkuasa.
Itu Rukun Negara pemikiran Tun Razak dengan (Tun) Ghazali Shafie (bekas Menteri Luar). Saya berpendapat, hidupkan balik kedua-dua ini, sekarang ini tak hidup sebab perangai pemimpin tinggi kita sekarang, jasa orang dulu tak mahu diiktiraf, ini tak baik. Tinggal lagi untuk Rukun Negara, terbaik bagi kerajaan sekarang menjadikannya satu akta khas atau jadikan ia sebagai mukadimah perlembagaan negara.
HUSSEIN ONN JUARA PERPADUAN
Beliau terkenal sebagai penjuara perpaduan kaum. Beliau hanya satu penggal, jadi sumbangan itu saya fikir baik dan beliau banyak menggunakan Rukun Negara. Saya dalam Pemuda UMNO masa itu, mengambil beberapa petua dia dan masuk ke dalam Pemadam (Persatuan Mencegah Dadah Malaysia). Saya jadi Pengerusi/Presiden Pemadam 12 tahun, hasil tunjuk ajar Tun Hussein. Saya menjadi Menteri Besar (Negeri Sembilan, 1978-1982) pun di bawah arahan dia.
DR. MAHATHIR UTAMA PROJEK BESAR
Tun Mahathir (selama) 22 tahun, paling lama sebagai PM, ini banyak. Ada empat dia punya dasar besar. Pertama, industri berat. Kedua ialah (Dasar) Pandang Ke Timur. Ketiga ialah Wawasan 2020. Ada satu lagi yang keempat dia buat, tapi tak menjadi, iaitu latihan untuk pemuda membuat ladang.
Wawasan 2020 sampai ke musim (Datuk Seri) Najib (Tun) Razak, hidup. Tetapi Pandang Ke Timur, mati. Beliau memang mengutamakan projek besar-besar. Ada yang baiknya ialah sampai hari ini kita boleh tunjuk, Menara Berkembar Petronas, kemudian Lebuh Raya Utara Selatan. Ini semua masa dia.
Tetapi beliau tidak menegaskan penggunaan bahasa Melayu mengikut vernakular sebenar. Sebab itu bercelaru antara bahasa Inggeris dengan bahasa Melayu dalam banyak dasar dia, termasuk apa yang disebut sebagai bahasa baku, gagal.
Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa teknologi, gagal. Inggeris, tapi orang putihnya pula tak sampai ke mana, ini kelemahan besar.
Dan soal kroni, memang berlaku. Sistem kroni itu sebenarnya beliau melatih orang nak jadi kaya. Tetapi orang yang mengetuai projek itu selalu berpaling tadah. Selepas Tun Mahathir, semua kroni. Jadi, nilai kronisme yang mula kononnya berlaku masa Tun Mahathir ditiru oleh pemimpin lain. Saya tak boleh cakaplah tentang Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dan (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob, singkat. Jadi, tak banyak nampak dek kita.
Itu salah satu daripada masalah kita. Oleh kerana kita tidak membina institusi, kita membina manusia kaya, jadi mudah sahaja terbalik. Harta yang dikumpulkan konon untuk UMNO. Bila sudah kaya-raya, UMNO dilupai, dia terus jalan sendiri.
Kita boleh sebut banyak syarikat yang terkait dalam hal sedemikian.
Saya mempelajari satu (perkara), iaitu kalau nak mengkayakan orang Melayu, ia mesti menerusi institusi, tak boleh terus kepada orangnya. Kena ada semacam Mara (Majlis Amanah Rakyat), orang yang mengendalikan itu dipilih tiap tahun. Tak sesuai, keluar. Banyak kritikan ini memalapkan bintang Tun (Mahathir). Tetapi oleh kerana personaliti dia begitu kuat, beliau survive (hidup) 22 tahun. Kembali lagi PM yang ketujuh, ini sejarahlah.
NASIB ISLAM HADHARI PAK LAH
Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) naik dalam keadaan biasa sahaja dengan Islam Hadhari (Islam yang bertamadun). Sekarang Islam Hadhari tidak diingat. Dr. Mahathir sendiri ‘bunuh’ Islam Hadhari kononnya Islam tak payah dihadharikan, Islam sudah Islam.
Jadi, payah jugalah Pak Lah kerana dikritik banyak oleh Tun, sehinggakan Dr. Mahathir ada mengatakan dia ada kerajaan half-past-six, bermakna kerajaan tak sempurna, kira bawah betullah. Saya sedihlah tengok Pak Lah sebab dia kawan lama saya (sejak) 1973.
LAIN SEJARAH NAJIB KALAU…
Kalau tidak (ada) masalah terkait dengan keluarganya, beliau boleh menjadi PM yang lain sejarah(nya). Maksud saya peranan isteri dan peranan dalaman, membuat beliau ke kiri dan ke kanan, dalam soal pentadbiran negara.
Sebagai seorang yang berwibawa, Najib mempunyai banyak sifat positif, menolong orang, membuat BR1M (Bantuan Rakyat 1Malaysia) dan macam-macam hal dia buat. Tinggal lagi tak teliti apabila orang seperti Jho Low masuk atas rekomen pihak tertentu. Sejarah 1MDB sebenarnya sepatutnya tak jadi, kalau tiada Jho Low. Tapi ada sebab ahli perniagaan itu di situ, ada elemen dalam keluarga yang menonjolkannya.
KESILAPAN BESAR MUHYIDDIN
Beliau singkat sangat. Setahun tiga bulan, tetapi beliau banyak menggunakan kuasa darurat membantu rakyat dengan cara abahnya, dengan mak kiahnya. Saya kira ada lapan program ekonomi yang membantu orang. Tetapi sekejap, kalau dia dapat tiga tahun, dia punya aura lebih besar.
Tetapi ada kritikan juga. Mungkin banyak pihak berkata, beliau kurang keterampilan media dan penasihat media dia terlampau konservatif. Saya kira ada benarnya. Namun, keikhlasan untuk Melayu, saya kira Muhyiddin banyak. Untuk orang Melayu, dia ada sifat kasih mendalam. Barang siapa jadi PM, kalau tak ada kasih mendalam untuk Melayu, Artikel 153 (mengenai jaminan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak-anak negeri) menyerangnya balik. Sebab ini bukan buat-buat, (ada) dalam Perlembagaan Persekutuan. Kita diberi satu kuasa tetapi kenapa tak buat?
Mengenai Muhyiddin letak jawatan (lebih awal), itu silap besar pada sayalah, sebab ada ruang lagi masa untuk beliau berfikir dan meminta tempoh kepada Tuanku Agong. Baginda tak minta dia berhenti, dia berhenti sendiri.
Sebab dia fikir yang 15 orang UMNO menyerang dia itu betul-betul nak keluarkan dia. Dia betul-betul hantar surat (letak jawatan), saya sendiri tak bersetuju dia berhenti dulu, sehingga bawa ke Parlimen.
Kalau dia tak buat secepat itu dan ambil 20 hari cukup, tak payah 26 hari, dia masih PM. Boleh terus sampai tiga tahun, sebab kuasa darurat itu ada pada dia. Dan 15 orang ini, boleh digunakan nas undang-undang di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri (1969). Jadi, saya kira, AG (Peguam Negara) masa itu, saya tak nampak dia seorang yang tegas undang-undanglah. Kalau saya speaker, saya tak berani cakap ini. Saya sudah bebas, saya boleh beritahu anda, inilah masalah dia.
KEBERANIAN ISMAIL SABRI
Saya (ucap) tahniah sebab dia memberi kedaulatan (kepada) bahasa Melayu. Saya tabik, saya tengok itu langkah murni, tak berani mana-mana pun PM buat, dia buat sesuai dengan Artikel 152 (bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan).
Semua sokong dia umum dan dia buktikan (berucap) di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada saya, nilai Ismail Sabri lebih tinggi dari segi kenegaraan.
Soalnya, (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) buatkah lepas ini?Jadi, mungkin tak dibawa balik, akan lesap. Ini menunjukkan apa yang saya sebut mula-mula tadi mengenai peribahasa mati ayam, mati tungau (apabila ketuanya mendapat kecelakaan, anak buah atau dasarnya turut merasainya).
JANJI DAN MADANI ANWAR
Perjanjian Malaysia 1963, dia sudah jalankan sekitar 60 peratus, yakni yang mengandungi hak Sarawak, hak Sabah. Sayangnya, beliau tak meneruskan bagi hak (negeri) lain.
Masalah beliau ialah terlampau banyak mempolitikkan kesalahan orang dulu. Trend ini saya fikir tidak membantu negara dan sistem kita, apatah lagi konsep madani. Beliau menyebut madani semenjak 1993. Seharusnya huraian lebih dibuat sebab madani dengan budi banyak persamaan.
(Maksud) kasarnya ialah hormat-menghormati, harga diri, membalas balik kebaikan orang, bersih, bertanggungjawab dan berkeupayaan. Semua ini ada dalam budi, ada dalam al-Quran, cantik. Ada dalam falsafah Confucius dan Lao Tzu serta ada dalam buku paling tua orang India, Tirukkural.
Mengenai masalah janji yang tak tunai, ini masalah besar. Kalau beliau tak jaga-jaga, semua kata-kata dia dulu akan menembak dia balik. Ini akan menjadi satu duri dalam daging yang akan mereputkan daging politiknya. Pertama, tentang (menurunkan harga) minyak, tiga kali dia buat pengumuman sebelum jadi PM. Yang kedua ialah tentang cara hidup orang miskin yang hendak diatasi, formula dia tidak ada, menteri banyak cakap angin, satu pun tak jadi.
Tidak ada dasar membantu orang Melayu secara bersungguh-sungguh. Perlembagaan kita masih ada Artikel 153, tak boleh pinda, kena laksanakan. Dulu ada Dasar Ekonomi Baru (DEB), mana dia dasar madani baharu dalam ekonomi? Oleh kerana beliau baru enam bulan, saya tak fikir kita harus kritik sangat.
KUAN YEW PATUT DIKENAKAN ISA, AKTA HASUTAN
UTUSAN: Apakah puncanya berlaku pemisahan Singapura?
RAIS: (Tan Sri) Syed Jaafar Albar (bekas Ketua Pemuda UMNO) menyuarakan dalam mesyuarat UMNO kebimbangannya dan dia tak bersetuju Singapura dilepaskan. Setelah beberapa dekad, pandangan Syed Jaafar betul, iaitu sekiranya 1965 tidak dilepaskan, Singapura (masih) milik Malaysia.
Kalau digunakan undang-undang ketat masa itu, ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960) memang patut. Sebab Lee Kuan Yew (pengasas Parti Tindakan Rakyat), bacul mulut dia, sebab dia seorang pengucap yang pandai. Jadi, di Seremban, Johor Bahru dan Kuala Lumpur, ucapannya mudah iaitu memperkecilkan pimpinan Tunku Abdul Rahman dalam kalangan (rakyat) Malaysia.
Jadi, Tunku sebenarnya menzahirkan sentimen dia tak suka orang yang begitu lantang, memperkecilkan pimpinan Melayu dalam UMNO. Tetapi sebenarnya saya berpendapat patut Tunku senyapkan dulu, ambil taktik bincang. (Sebaliknya) beliau bincang dalam MKT (Majlis Kerja Tertinggi UMNO) yang setuju untuk keluarkan Singapura dari Malaysia.
Saya berpendapat, Jaafar Albar yang betul. Beliau pernah menyatakan, gunakan undang-undang yang ada, kita memelihara Malaysia. Maksudnya (ambil tindakan terhadap) Kuan Yew, dalam keadaan dia yang menghasut dalam Akta (Hasutan) 1948 dan diambil tindakan di atas keselamatan dalam negeri. Ramai lagi pemimpin kita masuk, tapi tak diambil (tindakan) terhadap Kuan Yew.
Kenapa tak diambil tindakan waktu itu?
Kita tak tahu, soalnya Syed Jaafar mencadangkan jangan lepas, patut kita terima itu dulu. Sejarah akan berubah, tentu ada huru-hara, tetapi masa itu kita punya pelana kuat, tak ada hal. Yang itu saya pun, terasa (Tunku) ketinggalan salah satu daripadanyalah. Tapi dari segi Bapa Kemerdekaan, kita tabik kepada Tunku. – UTUSAN