BETULKAH ramai suami terpaksa ‘menadah’ saja telinga, bila para isteri menjadi ‘kaki mengulas’ setiap drama Melayu di televisyen yang kini banyak berkisar tentang masalah rumah tangga?
Seorang kawan lelaki memberitahu, dia rimas betul dengan drama Melayu sekarang ini, tak habis-habis cerita pasal keburukan dan kecurangan suami.
Katanya, orang perempuan ini pula suka betul tengok drama Melayu, lepas itu cepat terpengaruh, sindir-sindir dan marahkan suami.
“Yang pengarah drama pun satu hal, asyik buat cerita suami nak tambah isteri sahaja. Bukan semua lelaki nak kahwin dualah. Yang satu pun dah pening. Tolong beritahu pengarah yang hang kenal, isteri pun banyak buat hal dan mendera suami. Buatlah cerita tu banyak-banyak,” kata kawan yang sama-sama belajar dengan saya semasa di Kajian Sebaran Am, di ITM, Shah Alam dulu.
Geli hati saya. Tak pasal-pasal tempias cerita suami curang dalam drama itu kena pula pada suami orang lain. Macam berita artis berpoligami dan bercerai jugalah. Orang lain yang kahwin lagi satu dan ceraikan isteri pertama, suami orang lain pula kena bebel.
Saya agak drama yang kawan saya maksudkan itu adalah Andai Itu Takdirnya, satu lagi drama daripada adaptasi novel karya Siti Rosmizah. Sebabnya, di media sosial sejak kebelakangan ini macam-macam penonton wanita mengulas drama itu. Mereka marahkan suami Aleya dan Aleya yang sentiasa menjadi pemaaf walaupun dilayan buruk oleh suami. Azril pula, suami yang selalu insafnya sekejap, tetapi kembali ke perangai asal, bila digoda wanita cantik.
Dan terbaru ini, sudah ramai pula yang beralih ke drama Perempuan Itu yang sebelum ditayangkan mencetuskan kontroversi kerana ‘adegan panas’ yang tak perlu.
Drama itu mendapat liputan meluas terutamanya di Tiktok. Kisahnya, seorang wanita yang didera mentalnya dengan penipuan-penipuan suaminya dengan skandalnya. Berbeza dengan Andai Itu Takdirnya, ramai yang memberi komen watak isteri, Khalish dalam drama itu nampak ‘bijaknya’.
Apa pun penghujung cerita drama-drama yang berkisar tentang rumah tangga, feminisme dan emansipasi wanita, pada saya ia perlu memberikan mesej yang betul kepada orang ramai terutamanya wanita.
Menggarap watak wanita yang penyabar itu bagus tetapi jangan lupa membezakan antara kesabaran yang tinggi dan diperbodohkan.
Sebab itu, kita tak boleh menafikan imej wanita dalam drama kita masih dibelenggu dengan watak teraniaya dan tertindas. Betul, di dunia sebenar pun penindasan itu banyak berlaku tetapi yang sering digambarkan dalam drama selalunya melampau-lampau atau berlebih-lebihan. Macam itu juga bila watak orang kaya, bermewahan sangat mengalahkan saudagar minyak Arab. Saya katakan begitu kerana wanita yang ditindas sering diletakkan di tahap sabar yang ‘tidak masuk akal’. Diterajang setengah mati berulang kali pun masih bertahan dan tidak melaporkan kepada pihak berkuasa. Tak salah menampilkan wanita kuat dan penyabar tetapi drama juga patut memberi mesej yang jelas supaya wanita yang didera mental dan fizikalnya tahu mana saluran yang dia perlu pergi apabila tindakan ganas itu membahayakan dirinya.
Keganasan tidak boleh diselesaikan dengan cara menunggu si suami insaf dan sedar akan kesalahannya. Takut di alam realiti tidak begitu, suami tak insaf-insaf, anak atau isteri teruk dibelasah sampai ke hujung nyawa.
Memberi semangat dan kekuatan untuk wanita yang bermasalah dalam rumah tangga dalam drama, tidak sepatutnya terus mengheret watak itu dengan satu persatu babak kesedihan yang tak habis-habis. Lama sangat direndam siksa dan derita, selepas itu baru mahu bangkit dan menunggu saja cahaya di hujung terowong. Kenapa tidak mengajar penonton segera keluar daripada kegelapan itu?
Memang tak salah membawa cerita yang meruntun hati tetapi mengekpoitasi kelemahan wanita dan menarik penonton dengan tangisan anak-anak juga tak ubah seperti satu attention seeker berulang-ulang dan murahan untuk menarik audien. Iyalah, kita pun kena faham, dah namanya drama berepisod kalau nak tunggu wanita itu bahagia, tengok saja episod akhir. Penerbit juga mahu menaikkan rating drama. Biarlah penonton marah dulu. Semakin marah dan geram, semakin drama itu diikuti dan diperkatakan.
Drama dan filem punya pengaruh dan penerimaan yang berbeza mengikut tahap pemikiran dan latar belakang seseorang.
Ada yang tidak ambil pusing dengan apa saja yang hendak disampaikan dalam drama atau filem. Lepas menonton habis di situ. Ada yang terkesan dan mengesankan orang lain yang tak menontonnya, macam tempias yang kena pada suami itulah.
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.