Bila pula nak sentuh, bertegas isu tiga sen ke atas negara 'first world' itu? - Utusan Malaysia

Bila pula nak sentuh, bertegas isu tiga sen ke atas negara ‘first world’ itu?

Gambar hiasan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA mengamati ucapan demi ucapan, penegasan demi penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pengurangan pemberian subsidi kepada golongan berpendapatan tinggi (T20).
Tegas beliau, T20 tidak akan dapat lagi menikmati manfaat subsidi penggunaan elektrik apabila kerajaan memutuskan menarik manfaat itu dan pengguna yang kaya raya terpaksa menanggung kos tersebut sepenuhnya selain tidak akan menerima lagi subsidi daripada kerajaan untuk tujuan menunaikan haji.
Inilah yang sepatutnya dilakukan kerajaan. Mana mungkin yang berpendapatan berbilion-bilion, berjuta-juta ringgit, kaya raya, mewah, tetapi masih lagi nak ‘menyedut’ subsidi kerajaan.
Mana mungkin, yang ada helikopter, pesawat peribadi, rumah di dalam dan luar negeri, ‘yang makan di pinggan, minum di cawan’ bak kata pencerita dalam filem ‘Tiga Abdul’, masih menikmati hak tersebut.
Untuk itu, selepas elektrik dan haji, kerajaan perlu perluaskan lagi ‘gerakan’ ini, biar golongan bertepatan sahaja menikmati subsidi.
Namun di sebalik ‘keghairahan’ itu, seperkara lain yang perlu kerajaan pandang secara serius adalah isu harga air mentah yang dijual ke negara yang ‘dibangga-banggakan’ seorang pelawak wanita sebagai ‘first world country’ itu.
Sudah 61 tahun rupa-rupanya perjanjian dibuat dengan negara republik itu dan hanya berkadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen air mentah sehingga kini.
Jika sudah menjadi negara ‘kelas pertama’, ibarat T20, takkan ‘subsidi’ tiga sen masih nak dikekalkan? Tidak munasabah langsung. Nilai tiga sen bagi negara ‘kelas pertama’ itu, bak kata orang Indonesia, ‘gampang banget sih’ (terlalu mudah).
Ini kerajaan perlu bertegas. Bukan bermaksud cemburu dengan tahap kemajuan negara tersebut, tetapi ya itulah, sampai bila nak membiarkan negara ‘kelas pertama’ itu berterusan ‘menyedut’ subsidi air mentah yang tak masuk akal langsung?
Nilai tiga sen ketika ini, sudah tiada nilai. Boleh beli apa dengan nilai tiga sen? Tetapi menakjubkan boleh beli air mentah pula dengan nilai itu. Sedangkan, kita pengguna di negara sendiri pun bayar bekalan air pada harga yang jauh melangkaui tiga sen, inikan pula negara ‘kelas pertama’ itu. Tak dapat nak diterima dek akal.
Tak cukup dengan itu, kerajaan, pihak berkuasa perlu sentiasa bertegas dengan tindak-tanduk pemandu negara itu yang mengisi RON95 sewenang-wenangnya di stesen-stesen minyak di negara ini. Perhebatkan penguatkuasaan kerana jika kita berada di sana pun, kita rasa ‘gerun’ nak menyalahi undang-undang mereka.
Begitu juga kenderaan-kenderaan milik warganya yang dikenakan tindakan undang-undang di negara ini, perlu jelaskan dahulu saman sebelum dibenarkan melintasi sempadan.
Kalau mengikut laporan disiarkan tahun lalu, sebanyak 143,427 saman trafik melibatkan warganegara itu dikeluarkan sejak 2016 hingga 2021 dan 108,757 atau 75.9 peratus daripada jumlah tersebut masih belum dijelaskan.
Mengapa perkara sebegini berlaku ya? Mengapa dibiarkan? Apakah mereka dibenarkan lintas sempadan dengan saman yang belum dilunaskan? Seseorang perlu jawab isu ini dengan kritikal.

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya