Rogol anak, isteri jangan duduk diam - Utusan Malaysia

Rogol anak, isteri jangan duduk diam

Isnin lalu, pengajar kelas renang dipenjara 263 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka kerana merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tirinya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DULU ketika saya bertugas di Johor, saya sering makan di satu gerai di Skudai. Gerai itu dikendalikan oleh satu keluarga. Suami isteri dan anak-anak termasuk anak perempuannya.
Pasangan suami isteri itu memang peramah. Suka duduk sama berborak dengan pelanggan yang sedang makan. Jadi, ramai yang mengenali mereka. Anak perempuannya, saya agak ketika itu belajar di sekolah menengah. Membantu gerai pada malam hari.
Tetapi tiba-tiba ada satu ketika gerai itu ditutup berhari-hari. Tanpa notis atau meninggalkan apa-apa pesan kepada pelanggan tetap. Melalui satu sumber, saya dapat tahu rupanya suami pemilik gerai itu sudah masuk lokap. Dia ditahan kerana anaknya membuat laporan polis. Sudah banyak kali dirogol bapa sejak kecil.
Walaupun cerita ini sudah lebih 20 tahun berlalu, wajah budak yang saya lihat sentiasa mencuka itu masih melekat kuat dalam kepala saya. Bila setiap kali baca pasal kes bapa rogol anak, saya pasti teringatkan dia. Simpati saya kepadanya tak pernah habis. Harapnya dia telah membuang kisah hitam itu jauh-jauh dan sudah lama hidup bahagia.
Dan sebagai wartawan di situ, saya juga pernah membuat liputan kes budak dirogol datuk dan abang kandung di satu ceruk perkampungan. Ini memang cerita lama. Hujung 90-an.
Tetapi rupa-rupanya kisah sumbang mahram ini terus larut dalam masyarakat kita. Ini sudah tahun 2023, dulu sumbang mahram, sekarang tambah amang seksual.
Kes rogol anak, cucu, anak saudara dan adik beradik terus bersilih ganti. Tak boleh diterima akal, bagaimana mereka boleh melakukan ini pada darah daging sendiri? Binatang pun lagi mulia dan bertamadun perangainya.
Betul, panggilah apa saja, bapa durjana, datuk tua kutuk tak sedar diri, abang tak guna atau haruan makan anak, gelaran ini tak membawa sedikit pun rasa hina dan keji kepada pelaku sebab sudah dikuasai nafsu dan hantu.
Saya teringatkan semua ini apabila baru-baru ini seorang pengajar kelas renang di Melaka dihukum penjara 263 tahun dan 20 sebatan selepas mengaku bersalah atas 32 pertuduhan melakukan jenayah seksual terhadap anak tirinya yang kini berusia 16 tahun, sejak tiga tahun lalu. Kalau kita tengok kronologi sebelum penangkapan lelaki itu, macam `drama’ pasangan suami isteri ini beria-ia mencari anaknya yang hilang dan mengharapkan mangsa cepat balik kerana risau akan keselamatannya.Terjawablah kenapa anak itu lari.
Pada tahun lalu, juga di Melaka seorang bapa dihukum penjara 428 tahun dan 240 sebatan atas 28 pertuduhan merogol, melakukan persetubuhan luar tabii dan amang seksual terhadap dua anak kandung.
Pada 2021 di Klang, seorang penganggur dihukum penjara 1,050 tahun dengan 24 sebatan kerana merogol anak tirinya sebanyak 105 kali di flat di Sungai Way, Petaling Jaya dalam tempoh tiga tahun.
Hukuman rogol sekarang makan beratus tahun penjara dan puluhan sebatan tetapi itulah, ia tidak sedikit pun memberi rasa gerun kepada lelaki yang hanyut mengikut telunjuk nafsu.
Yang membuat ramai orang marah dan geram terdapat kes rogol, ibu mengetahui anaknya menjadi mangsa kera­kusan bapanya sendiri atau bapa tiri. Tetapi dia me­mlilih mendiamkan diri atau membiarkan kerana tidak ma­hu kehilangan suami. Si ibu lebih takut bergelar ibu tunggal dan rela anaknya dirogol. Sedangkan kalau ber­pisah dengan lelaki jenis ini, kehidupannya boleh menjadi jauh lebih baik kerana lelaki itu tidak berfungsi apa-apa pun dalam keluarga melainkan menjadi perosak. Isteri pula menanggung semuanya ba­gaikan membela biawak hidup.
Apabila ada yang risau sangat bergelar ibu tunggal dan takut tiada keberadaan seorang lelaki di rumah, inilah kesan-kesan teruk menyakitkan dan menakutkan terpaksa ditanggung si anak.
Yang tak sedar anaknya dirogol bertahun-tahun pula, tidak peka dengan perubahan sikap anak. Anak ketakutan dan tersiksa di rumah sendiri pun tidak dapat dihidu. Sepatutnya ibu adalah orang paling rapat, mendengar dan pada masa sama melindungi. Bukan mencari bahagia sendiri.
Pun begitu, jangan sesekali kita kata mangsa rogol akan gelap masa depan. Jangan campak semangat mereka untuk hidup. Trauma itu pasti, tetapi mangsa masih boleh mengubah kehidupan dan nasibnya.
Mereka ada banyak peluang untuk bangkit seperti orang lain, belajar, bekerja dan punya keluarga. Allah jadikan dunia ini bukan hanya tentang takut dan derita.

PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya