“HENDAK berurusan dengan jabatan kerajaan ini kena banyak sabar. Benda boleh cepat, tetapi selesaikan berbulan-bulan. Hal boleh buat sekejap depan mata pun, suruh kita balik, datang lagi kemudian.”
Itu kata seorang kawan. Dia baru berurusan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk urusan warganegara anak angkatnya, minggu lalu.
Dari pukul 2 petang hingga 4.30 petang dia berada di situ. Akhirnya, bila tiba masanya tak sampai lima minit berurusan, dia diminta balik kerana pihak JPN mahukan Mykad anak sulungnya. Rakyat negara ini. Walhal, itu pejabat JPN bukan Jabatan Kerja Raya atau jabatan lain. Mykad dikeluarkan oleh jabatan itu, tak akan tak boleh dapat maklumat anaknya di situ. Kenapa pula dia perlu balik, dan bawa salinan Mykad itu dan datang lagi. Berapa lagi masa perlu diambil?
Ini adalah antara kerenah birokrasi yang terpaksa dilalui oleh berjuta-juta orang apabila berurusan dengan jabatan kerajaan dari zaman dulu sehingga sekarang.
Bukanlah mahu berterusan mengecam jabatan kerajaan. Bukan semua jabatan begitu. Tetapi berubahlah. Cara bekerja purbakala itu harus dibuang. Sekarang zaman online. Masih lagi kita perlu beratur panjang dan kelulusan pula makan masa berbulan-bulan.
Kalau hendak berurusan melalui telefon lagilah. Tak berjawab. Tak perlulah adakan talian hotline. Macam bank jugalah. Disuruh tunggu, tekan itu ini. Disambung ke sana sini. Tidak berjawab. Semua orang sedang sibuk, katanya.
Padahal hendak tanya perkara yang tak perlu bersemuka pun. Sekejap saja. Terpaksa jugalah pergi ke jabatan itu atau ke bank, hanya untuk satu pertanyaan dan kena beratur lama pula.
“Macam mana rakyat tak stress? Kita ini bayar cukai juga tahu,” kata kawan saya itu.
Saya pun amat mengelak untuk berurusan di kaunter kerajaan atau bank. Kalau boleh dibuat secara online, itu dituju dulu. Banyak sudah pengalaman yang meletihkan, kalau boleh elak, elaklah.
Sepatutnya kecepatan menyelesaikan masalah orang ramai atau pelanggan dijadikan indeks prestasi utama (KPI). Kalau KPI tidak dicapai, jangan naik gaji. Tentu laju buat kerja.
Selalunya di pejabat swasta, hendak naik gaji kena ikut KPI. Silap sikit ada yang kena potong gaji. Tenaga kerja dikerahkan semaksimum mungkin. Tak cukup di pejabat, di rumah pun terpaksa buka komputer untuk membuat kerja.
Bukan dapat berborak di depan kaunter. Cerita pada kawan sebelah,` hari ini nak balik masak itu ini. Cerita suami pergi memancinglah. Anak dapat nombor satulah dalam kelas’. Semua ini pelanggan dapat dengar. Yang lama menunggu, pasti dalam hati berkata – Cepatlah buat kerja itu, lama dah kami menunggu.
Yang saya ceritakan ini adalah situasi biasa bila kita berurusan di kaunter.Bukan mahu mereka-reka cerita. Tidak kiralah jabatan kerajaan atau bank. Perkara ini perlulah berubah. Jangan asyik menuntut naik gaji, tetapi perkhidmatan di takuk lama.
Proses kelulusan juga perlulah cepat. Janganlah lama seperti hendak meluluskan sijil layak menduduki (CFO) pula. Kenapa perlu terlalu lama? Hari-harikah perkara itu dinilai dan diperhati atau diperap seminggu dua baru jalan?
Dan betulkah disebabkan negara ini terlalu banyak cuti umum dan cuti peristiwa maka banyak urusan jadi lambat? Bila banyak cuti umum, ia menangguhkan banyak kerja.
Baru-baru ini, Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Zainal Rahim Seman memberitahu, seramai 1,960,261 calon memohon sebagai penjawat awam direkodkan sepanjang 2022 sehingga 11 Mei lalu berbanding pengambilan hanya melibatkan 26,436 jawatan.
Jumlah itu melibatkan 1,279,494 permohonan bagi 2022 berbanding yang berjaya dilantik hanya 20,762 orang, manakala pada tahun ini pula 680,767 permohonan dengan 5,674 calon berjaya memperoleh jawatan.
Ramai yang mahu bekerja sebagai penjawat awam kerana kelebihan-kelebihan tertentu dan mahu pekerjaan serta kehidupan yang lebih terjamin. Selain, golongan ini sepatutnya dipandang tinggi kerana melancarkan urusan kerajaan.
Sudah tiba masanya, penjawat awam tidak lagi dilekehkan dengan isu-isu lembab dan perlu menunggu arahan bos yang berperingkat-peringkat untuk membuat satu keputusan yang adakalanya hanya memerlukan pertimbangan kemanusiaan.
Berubahlah, kita mahukan perkhidmatan awam yang cepat dan efisien di negara ini. Bukan terus dikecam isu yang sama.
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.