Sukar untuk mencari sisi yang ‘manis’ kalau sebut pasal golongan bergelar pondan atau mak nyah. Malah kebanyakan memandang rendah dan sinis kepada mereka yang terjebak dalam kancah ini. Golongan ini sering dikecam.
Namun begitu, masih ramai dalam kelompok ini tidak mahu terus larut dalam dunia tersebut. Mereka mahu pulang.
Pun begitu, untuk kembali kepada fitrah asal bukan sesuatu yang mudah. Banyak cabaran dan dugaan bersilih ganti. Tidak mustahil mereka boleh terjerumus semula menjadi pondan jika tiada kekuatan dan kesabaran untuk berubah.
Saya juga tidak fikir bila mahu melakukan perubahan ke arah kebaikan ia boleh dilakukan dalam sekelip mata. Tentunya, ia mengambil masa dan memerlukan iltizam yang kuat.
Apatah lagi untuk berdepan dengan pandangan dan stigma negatif masyarakat yang sudah lama tertanam sejak hari pertama mereka bergelar pondan lagi.
Bagaimanapun, untuk mengetahui segala rintangan dihadapi golongan ini ketika mahu berubah dan kembali kepada fitrah yang asal ada diceritakan dalam buku ‘Maaf Tuhan Aku Tersalah Langkah’.
Buku yang ditulis sendiri oleh individu yang pernah bergelar pondan, Mohd. Khariri Mohamad Ramli ini menceritakan kisah-kisahnya ketika dalam proses transisi menjadi lelaki normal.
Terdapat tujuh bab yang menyentuh segala cabaran dihadapi Mohd. Khariri.
Selain itu, turut dimuatkan dalam buku setebal 117 muka surat ini adalah impian dan pesanan serta pandangannya terhadap peranan media yang memberikan publisiti kepada mereka yang mahu berubah.
Penulis juga banyak bermain dengan emosi pembaca lebih-lebih lagi ketika menceritakan dirinya yang dipulaukan pihak tertentu termasuk rakan sealirannya satu ketika dahulu.
Pada mereka, Mohd. Khairi atau digelar sebagai Cikgu Ery ‘pembunuh’ kepada golongan ini apabila dia menyatakan hasrat mahu berubah.
Selain itu, penulis turut menceritakan tentang pengalamannya yang turut terjebak dengan pelbagai jenis dadah sebaik diberhentikan daripada menjadi guru sementara selain pernah menjadi pekerja seks.
“Seandainya boleh diputarkan balik masa silam, tiada siapa yang mahu menjengah kembali kisah-kisah gelap dan mahu ia berlalu begitu sahaja.
“Tapi saya tidak mahu ada orang lain yang memilih jalan sama yang pernah saya lalui,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Katanya, sebahagian cerita kisah silamnya telah dimuatkan dalam buku yang diibaratkan sebagai permata buatnya dan mempunyai signifikan tersendiri.
“Buku ini merupakan rangkuman perjalanan saya sepanjang 12 tahun. Segala pahit manis semuanya ada dalam buku ini.
“Namun begitu sepanjang penulisan buku ini, saya juga perlu memikirkan nama-nama pihak yang terlibat kerana saya tidak mahu memalukan mereka yang terlibat menganiaya saya secara langsung dan tidak langsung,” ceritanya.
Apa yang penting, dia mahu masyarakat membuka mata untuk membantu golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) kembali ke pangkal jalan tanpa unsur paksaan.
Malah, apa yang penting katanya, segala sikap prejudis dan stigma negatif juga perlu dibuang terhadap golongan ini yang cuba berubah ke arah kebaikan.
“Ada rakan saya dalam komuniti itu yang memang hendak menjadi baik tetapi dilabel negatif pula apabila masuk masjid dan berada dalam masyarakat,” terangnya.
Selain menceritakan tentang cabaran, Mohd. Khariri turut mencatatkan kisah dan perbuatan silamnya yang berunsurkan khurafat.
Bagaimanapun, saya sedikit kecewa apabila bab ini tidak diperincikan dan menjadi cerita yang tergantung walaupun ia sebenarnya menarik untuk diketahui.
Walau apapun, buku ini satu permulaan baik untuk menceritakan kisah golongan pondan yang secara tidak langsung memberi pemahaman kepada masyarakat agar tidak mematikan semangat mereka untuk berubah pulang ke fitrah asal. – Mingguan Malaysia