Tidak perlu kawal industri yang sudah hampir mati - Utusan Malaysia

Tidak perlu kawal industri yang sudah hampir mati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KIRA-KIRA 20 tahun lalu akhbar ini, iaitu Mingguan Malaysia jualannya mencecah 600,000 naskhah. Begitu juga dengan Utusan Malaysia dijual sekitar 300,000 naskhah sehari. Kosmo! yang dilancarkan pada tahun 2004 pernah mencecah lebih 200,000 naskhah jualannya.
Hari ini angka-angka itu cuma sekadar mimpi indah yang tidak mungkin lagi dapat diulangi. Jualan akhbar hari ini hanya sekitar lima hingga 10 peratus daripada angka di zaman kemuncaknya. Ketika beberapa nama akhbar popular yang sudah berkubur, sebahagian yang masih beroperasi pula ada yang nyawa-nyawa ikan ekoran jualan tidak memberangsangkan selain ekonomi negara ini yang tidak menyokong pengiklanan di media cetak.
Situasi itu dirumitkan dengan syarikat-syarikat korporat dan multinasional termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang hanya memilih untuk mengiklan di platform Google dan Facebook selain platform digital antarabangsa lain.
Hanya siaran akhbar sahaja yang dihantar oleh syarikat-syarikat yang mencatatkan untung bersih berbilion ringgit setahun ini ke media-media cetak tempatan terutama yang berbahasa Melayu. Tetapi duit iklan mereka ‘dihantar’ kepada syarikat-syarikat teknologi antarabangsa yang langsung tidak menyumbangkan cukai kepada negara.
Sudahlah bergelut dengan isu kewangan, media cetak tempatan turut dikongkong dengan pelbagai peraturan dan akta yang sedikit sebanyak menjadikan keadaan yang sukar sekarang bertambah payah.
Sedangkan industri percetakan akhbar ini sudah dianggap sebagai industri yang hampir mati atau sedang meniti usia senja sebelum dikafankan. Tetapi hairan kenapa ia masih lagi dikawal dengan begitu ketat oleh pelbagai akta dan peraturan.
Ketika akhbar Utusan Malaysia dilancarkan semu­la pada 2020, pada satu perte­muan antara editornya dengan Menteri Dalam Negeri ketika itu, beliau dengan selamba berkata orang sudah tidak membaca akhbar sekarang. Kalau sudah tahu orang tidak lagi membaca akhbar mengapa ia perlu dikawal dan dikongkong? Apabila orang tidak membaca, maka akhbar itu akan ditutup dengan sendirinya. Jadi, tidak perlu lagi industri ini dibebankan mereka dengan pelbagai kawalan dan peraturan.
Eloknya bagilah ruang kepada para pengendali akhbar-akhbar yang masih wujud ini sedikit ruang untuk bernafas. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu memikirkan soal pematuhan kepada akta dan peraturan, sebaliknya boleh fokus kepada usaha mencari pendapatan demi survival untuk setahun atau dua tahun lagi.
Cara kerajaan melayan media cetak ibarat orang yang takut dengan bayang-bayang. Sedangkan ini adalah industri yang hampir menuju pengakhiran. Tidak perlu lagi dikawal oleh semua akta draconian yang kolot itu.
Apa yang lebih mengecewakan, para pemimpin Pakatan Harapan (PH) ketika sebelum menjadi kerajaan sering bercakap soal kebebasan media. Soal kebebasan bersuara dan akta-akta yang menghalang rakyat daripada bersuara termasuk berkaitan dengan industri percetakan.
Tetapi selepas menjadi kerajaan nada suara mereka jadi lain. Janji mereka untuk menyemak dan meman­suhkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan tidak ditunaikan.
Sebaliknya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, akta itu masih diperlukan untuk mengekalkan ketenteraman awam.
Yang menjadi kemusykilan kerajaan tidak menjelaskan apakah jenis ancaman terhadap keselamatan negara yang boleh dilakukan oleh media cetak tempatan?
Tidakkah semua orang tahu bahawa sejak bermulanya era internet, ancaman terhadap negara sama ada dari aspek keselamatan, sensitiviti agama dan perpaduan kaum semuanya datang daripada media sosial yang tidak mampu dikawal oleh kerajaan.
Adalah tidak adil media-media tempatan disekat dengan pelbagai akta se­dangkan fitnah dan berita palsu bebas disebarkan di platform digital yang dikawal oleh syarikat teknologi antarabangsa bebas.
Segala macam bentuk tulisan terlarang mudah didapati di media sosial dan internet. Termasuk hingga yang boleh menjatuhkan kerajaan.
Jumlah rakyat Malaysia yang menelaah di internet jauh lebih tinggi daripada pembaca akhbar. Jadi kenapa media cetak yang dikenakan undang-undang yang ketat?
Sepatutnya kerajaan sudah boleh move on dengan stigma bahawa media cetak boleh mencetuskan segala huru hara kepada keselamatan negara. Ini doktrin yang ditanam oleh penjajah lebih 100 tahun dahulu.
Dalam dunia tanpa sempadan sekarang semua akta itu tidak mampu mengawal aliran maklumat termasuk yang negatif.
Pengekalan PPPA dilihat sebagai sekadar untuk mengekalkan kuasa menteri terhadap pengawalan ke atas media cetak tempatan yang. Ini kerana menteri berkuasa penuh untuk menggantung mana-mana penerbitan atau menghalang pengimportannya jika ia didapati melanggar akta itu.
Dalam dunia sekarang, ia sudah tidak relevan me­ngenakan akta yang ketat kepada media cetak atas apa juga alasan. Tidakkah kita sedar bahawa pada hari ini di media-media sosial penuh dengan kandungan palsu selain meniupkan isu kebencian antara kaum dan agama?
Ini yang perlu diberi perhatian utama oleh kerajaan dan bukannya ber­terusan mengawal industri persuratkhabaran yang kini hanya ibarat nyawa-nyawa ikan.
Tidak perlu bimbang kerana tanpa akta dan campur tangan menteri sekali pun apabila sampai harinya, akhbar-akhbar ini akan ditutup dengan sendirinya. Jadi, tidaklah perlu mengawal media cetak di negara ini sama ada melalui akta atau melalui penubuhan apa-apa majlis kerana semua itu bertujuan mengawal kebebasan bersuara.
Sepatutnya dalam keadaan sukar sekarang, akta-akta yang mengongkong itu perlu dipinda supaya ia dapat membantu survival media cetak di negara ini.
Jika di Amerika Syarikat, First Amendment menjadi tunjang kepada kebebasan media di mana kerajaan tidak boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap individu ataupun organisasi berdasarkan kepada apa yang mereka cakap atau tulis kecuali untuk situasi tertentu, kita harapkan sekurang-kuranya di Malaysia, Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi PH boleh menunaikan janji mereka.
Tidak perlu menekan industri yang sudah berada di hujung nyawa.

Aznan Bakar adalah Pengarang Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya