Mengenang era politik Samy Vellu - Utusan Malaysia

Mengenang era politik Samy Vellu

Diantara ahli keluarga dan orang ramai yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Samy Vellu tahun lalu. – mingguan/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM kalangan kaum India, antara tokoh politik unik dan sentiasa dikenang ialah mendiang Tun Dr. Samy Vellu.
Tarikh 8 Mac yang baru berlalu adalah hari kelahiran tokoh ini. Di bawah kepimpinan Samy, MIC adalah suara rakyat. Parti ini mencetuskan detik sejarah apabila mencapai 100 peratus kemenangan dalam pilihan raya umum 2004. Menyapu bersih semua sembilan kerusi Parlimen dan 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukan oleh kepimpinan Barisan Nasional, Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa itu.
Kewujudan parti politik penting dalam sistem demokrasi. Parti menjadi penghubung untuk rakyat memilih kerajaan. Seperti mana yang pernah dikatakan oleh mendiang ‘tiada rakyat maksudnya tiada kerajaan’.
Kata-kata mutiara bekas Presiden MIC ini memang mencetuskan kesedaran politik dalam kalangan akar umbi parti. Tokoh ini memang mempunyai gaya dan seni tersendiri untuk melonjakkan serangan terhadap pembangkang. Beliau ialah jaguh membela kerajaan di Dewan Rakyat. Kedatangan tokoh ini ke Parlimen memang mendapat tumpuan pihak Ahli Parlimen.
Beliau mempunyai hubungan erat dan akrab dengan pihak media. Beliau memang mempunyai segala maklumat dan butiran begitu tepat dan teliti dan mengikut para wartawan tokoh ini dapat menjawab segala soalan yang pahit dan manis. Pandangan beliau sentiasa menjadi tajuk berita pada keesokkan harinya.
Jajaran kerjasama MIC adalah bagus. We will sink or swim with UMNO. Kami karam atau berenang bersama UMNO. Begitulah hebat dan tepat strategi politik Samyvellu.
Prestasi bekas Menteri Kerja Raya ini cukup membanggakan dan menjadi motivasi kepada banyak pihak. Dalam berdepan kesulitan, beliau sentiasa berfikiran positif dengan ungkapan, cahaya di hujung terowong tentu ada.
Gelaran SAMY TOL tentu tidak boleh dilupakan. Samy vellu banyak memainkan peranan dalam pembinaan Lebuh Raya Utara-Selatan yang siap secara berperingkat bermula dari 1994 serta pembinaan jambatan Pulau pinang yang dibuka pada 1985. ​Beliau menerajui kementerian Tenaga dan Telekomunikasi dari 1989 hingga 1995. Yang menyaksikan kejayaan mengendalikan projek penswastaan Jabatan Telekom, Lembaga Letrik Negara dan Jabatan Perkhidmatan Pos Malaysia yang kesemuanya pada 1990.
Beliau juga merupakan antara nama penting menyumbang kepada idea Malaysia perlu memiliki satelit sendiri yang menyaksikan pelancaran Satelit Asia Timur Malaysia (MEASAT) 1 pada 1996.
Beliau memang seorang tokoh politik unik seperti yang pernah disebut Datuk Seri Najib Tun Razak: “ Saya tidak pasti sama ada dalam 1,000 tahun lagi kita akan mempunyai seorang lagi Samy Vellu.”
Seorang lagi pemimpin UMNO ketika mengulas di lobi Parlimen berkata, jika Samy Velllu dalam UMNO,sudah lama beliau berjaya menaiki tangga ke arah jawatan Perdana Menteri.
Sebagai pemimpin, mendiang ialah seorang yang terbuka dan berterus terang. Tiada apa disembunyikan.
Ini terbukti melalui komen oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad seperti berikut: “Ada pula yang menegur saya sebagai seorang yang bermaharajalela. Jika saya insan jenis ini bagaimana pula Tun Samy Vellu dan Tan Sri Rafidah Aziz dapat melontarkan pandangan mereka begitu lama dan panjang dalam sesi Kabinet?”
Kesetiaan Samy pada bangsa dan nusa tidak diragui.Semasa era konfrontasi Indonesia , beliau sanggup memanjat tiang menurunkan bendera Sang Merah untuk menonjolkan bantahan terhadap Indonesia.
Mendiang yang disifatkan oleh bekas Menteri Kesihatan yang juga bekas Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam sebagai Menteri Legenda dalam Kabinet yang telah memberi sumbangan besar terhadap negara dan masyarakat India.
Samy Vellu mendapat pendidikan tinggi sebagai arkitek bertauliah dari Institut Diraja Arkitek Britain (RIBA) pada 1971. Mendiang terpaksa bekerja ketika usia masih muda bagi membantu keluarga dengan mengambil upah menggulung daun tembakau untuk dibuat cerut. Setelah ibunya meninggal dunia pada 1950 ketika berusia 14 tahun mendiang berpindah ke Kuala lumpur dan menjadi konduktor bas dengan GTS Bus Company.
Dari segi pendidikan, beliau merupakan penggerak kepada penubuhan MIED yang memberi geran dan pinjaman kepada pelajar kaum India melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, kejuruteraan, ekonomi dan teknologi maklumat. Beliau memainkan peranan penting dalam penubuhan Kolej Tafe di Seremban dan menjadi Canselor AIMST pada 2001.
Bekas Presiden MIC itu menerima darjah kebesaran tertinggi negara yang membawa gelaran Tun Sempena Hari Keputeraan yang di- Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhamad V pada 2017.
Legasi Samy Vellu akan kekal abadi dalam ingatan rakyat Malaysia. Tarikh 8 mac adalah hari kelahiran mendiang yang turut membawa kenangan terhadap negarawan ini di ingatan saya.
Komunikasi beliau dengan pihak media adalah suatu yang penuh mesra dan unggul. Segala butiran adalah di hujung jari- memang teliti dan tepat.
Tokoh ini memang pejuang untuk tonjolkan masyarakat penyayang. Saya sebagai wartawan pernah beberapa kali menemu bual secara bersemuka tokoh ini, malah telah mengikuti ratusan program beliau yang lain.
Saya sendiri pernah membawa masalah orang miskin untuk perhatian Presiden MIC ini. Rumah seorang wanita hampir hancur dalam kebakaran di Puchong. Atas rayuan wanita itu kami terus pergi ke kediaman Samy Vellu. Akan tetapi senario di kediaman Samy Vellu pada pagi itu adalah agak suram kerana beliau sendiri tewas di Parlimen Sungai Siput pada Pilihan Raya Umum 2008.
Tak kisah dalam apa- apa desakan atau krisis yang saya hadapi, jasa untuk bantu si miskin akan berterusan, kata Samy Vellu dengan penuh simpati dan empati.
Dengan serta merta tokoh ini menghulurkan bantuan dan mengaturkan bantuan lanjutan melalui ibu pejabat MIC. Pemergiannya pada 15 september tahun lalu diibaratkan hilangnya sebutir bintang.

Peruji Perumal adalah pengamal media yang juga penganalisis politik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya