ESOK adalah Hari Pekerja. Kebanyakan pekerja biasanya bercuti. Ia adalah antara 11 cuti umum yang wajib diberikan cuti oleh majikan di bawah Akta Kerja 1955 (Akta 265).
Seperti biasa hari cuti digunakan untuk meluangkan masa bersama keluarga. Tak ramai pun terfikir atau memikirkan sangat pasal sambutan Hari Pekerja atau sambutan pada cuti-cuti kelepasan am lain. Asalkan ia adalah cuti umum, sebab apa dan kenapa selalunya bukan menjadi soal utama bagi kebanyakan orang.
Yang penting, penuhkan jalan raya dan pusat beli-belah. Lebih-lebih lagi esok kita baru masuk 10 Syawal. Cuti umum ketika sambutan Hari Raya adalah peluang yang dinanti-nantikan. Ramai yang menyambung cuti bermula sehari atau dua hari sebelum Aidilfitri lagi.
Mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang dikeluarkan pada Januari tahun ini, bilangan penduduk bekerja di negara ini terus meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.11 juta orang (Oktober 2022: 16.08 juta orang).
Kategori pekerja, yang merangkumi 75.8 peratus daripada jumlah penduduk pekerja, terus mencatatkan peningkatan iaitu sebanyak 0.1 peratus kepada 12.21 juta orang pada November 2022 (Oktober 2022: 12.20 juta orang).
Sementara itu, jumlah pengangguran terus menurun kepada 600,900 orang bagi November 2022, merekodkan kadar pengangguran pada 3.6 peratus.
Ini sedikit sebanyak memberi petunjuk bahawa peluang-peluang pekerjaan sudah kembali terbuka sejak menularnya pandemik Covid-19 yang teruk di negara ini dalam tempoh tiga tahun.
Masih saya ingat ketika saya berbual dengan seorang wanita yang saya kira umurnya dalam pertengahan 20-an di sebuah surau di Petaling Jaya memberitahu, dia diberhentikan kerja oleh syarikat hypermarket besar di negara ini kerana pandemik dan setelah melebihi seratus permohonan kerja dihantar, dia akhirnya bekerja sebagai ejen insurans. Memang ramai yang sangat terkesan ketika itu.
Bila kerajaan mahu umumkan Hari Majikan pula? Tanya kawan saya, seorang pengusaha kedai makan ketika saya menghubunginya menanyakan bila restoran tom yam miliknya akan dibuka? Iyalah, restoran mamak saja yang beroperasi sepanjang seminggu Aidilfitri ini. Tak banyak pilihan yang ada, selain restoran makanan segera. Ia agak menyukarkan golongan yang sudah mula bekerja pada Hari Raya Kedua dan seterusnya.
Katanya, restorannya tutup sehingga Hari Pekerja. Dia memberi peluang untuk dirinya dan pekerja-pekerja agar dapat balik kampung lama untuk berhari raya.
Ini katanya, adalah antara ganjaran juga kepada pekerja. Memberi cuti panjang pada Hari Raya sebab pekerja-pekerja di kedai makan selalunya sukar untuk mendapat cuti panjang kerana kekurangan tenaga kerja selain kedai sentiasa sibuk.
Menjawab soalan pasal Hari Majikan, saya katakan tak payahlah ada cuti Hari Majikan. Boleh saja meraikannya seperti Hari Guru atau Hari Ibu tanpa hari kelepasan am. Negara ini sudah banyak sangat cuti umum, nanti majikan bising pula kena bayar pekerja gaji dua atau tiga kali ganda sebab terpaksa bekerja pada Hari Majikan.
Ditambah pula dengan pindaan Akta Pekerja 1955 yang mula dikuatkuasakan pada 1 Januari lalu, majikan terpaksa lebih berkira-kira bab memberikan kerja lebih masa atau bekerja pada cuti umum. Ia membabitkan peningkatan kos.
Hakikatnya, majikan mana yang mahu rugi dan pekerja mana pula yang rela bekerja di organisasi yang membayar gaji rendah, melainkan itu saja pilihan yang ada atau mahu menimba pengalaman terlebih dahulu.
Tetapi percayalah, walau ada pindaan Akta Pekerja dan peruntukan-peruntukan yang baru, perbalahan antara majikan dan pekerja tidak pernah habis. Ada saja isu-isu dibangkitkan tidak kira di sebelah pekerja mahupun majikan.
Pekerja sering membangkitkan isu majikan kedekut, bayar gaji rendah dan berkira tetapi meminta melakukan macam-macam kerja.
Yang biasa kita dengar mereka akan kata majikan suka bercakap hal-hal kerugian. Kedudukan kewangan yang tidak memberangsangkan supaya dapat menutup mulut pekerja yang mahu menuntut kenaikan gaji atau bonus tahunan.
Sementara itu, majikan juga mempunyai ‘senarai-senarai perangai’ atau tindakan pekerja yang terpaksa dihadapi dengan rasa sabar.
Antaranya suka mengambil cuti mengejut, kecemasan dan cuti sakit pada pada hari Isnin atau sehari selepas hari cuti umum. Trend ini berlaku di kebanyakan tempat kerja di negara ini. Maknanya, suka ponteng tetapi gaji hendak tinggi?
Seorang doktor pernah memberitahu saya, mereka memang ‘masak sangat’ dengan waktu-waktu klinik penuh. Katanya, pada malam minggu, Isnin atau hari itu cuti umum dan esoknya hari bekerja memang ramai orang datang klinik. Tapi mengadu sakit-sakit yang ringan. Paling biasa sakit kepala. Migrain.
Doktor, katanya, tahu mana yang betul-betul sakit. Ada juga yang tak malu-malu dan mendesak diberikan cuti sakit walhal setelah diperiksa dia sihat untuk bekerja pada keesokan harinya.
Ya betul, kadang-kadang kita pun berdepan keadaan yang mana kawan-kawan sekerja akan mengambil cuti sakit atau kecemasan selepas mengambil cuti tahun atau cuti umum. Tetapi dalam kita berasa simpati yang hairannya, ada juga yang boleh memuat naik gambar makan-makan atau berjalan di media sosial semasa cuti sakit dan kecemasan itu?
Ramai percaya mana-mana pekerja yang baik dan menunjukkan prestasi cemerlang, ia boleh ‘hidup’ di mana-mana saja. Letaklah dia bekerja di syarikat mana pun, dia pasti menyinar kerana kebolehan dan keupayaannya bekerja adalah daripada usaha dan ideanya sendiri, bukan dilindungi oleh mana-mana bos, atau menjadi ‘kaki bodek’.
Sementara itu, pekerja yang kaki komplen ini dan suka merungut tetapi pada masa sama tidak cukup jam bekerja dan hanya menjadi ‘penumpang’, selalunya akan sukar mencari pekerjaan baru atau pergi ke mana-mana. Ini kerana dia bekerja di dalam ‘bayang-bayang’ pekerja lain yang rajin dan efisien yang banyak menutup kelemahannya.
Begitu juga majikan yang kedekut, berkira dan memerah tenaga pekerja sehabis mungkin tetapi amat berkira dengan kenaikan gaji dan bonus, selalunya syarikat ini akan mengalami keadaan yang mana, pekerja keluar masuk bersilih ganti. Setelah berjaya melatih pekerja sehingga mahir, akhirnya pekerja itu lari ke syarikat lain kerana kadar upah yang terlalu sedikit.
Majikan ini mengeluarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang cukup tinggi sebagai syarat kenaikan gaji yang nampak begitu sukar untuk dicapai pekerja. Sedangkan pekerjanya bekerja sehabis jiwa dan pada waktu malam atau off day nya terpaksa cari duit lebih, membawa Grab atau menghantar makanan.
Betul, majikan boleh memberhentikan atau mengambil tindakan dengan tidak menaikkan gaji pekerja yang tidak mencapai KPI dan mempunyai masalah disiplin yang teruk. Tetapi apabila pekerja diperah secukup-cukupnya dengan gaji RM2,000 di ibu kota, seperti mereka tidak ada keluarga yang perlu ditanggung dan tak sampai cukup bulan terpaksa ikat perut, apa tindakan pekerja boleh lakukan terhadap majikan? Tentunya angkat kaki saja, mencari peluang kerja yang lebih baik.
Sebab itu, pemahaman antara majikan dan pekerja perlu ada. Tetapi itulah, pertikaian sebegini sentiasa berlarutan kerana adanya pekerja yang lebih suka bekerja sebagai ‘penumpang’ manakala majikan sentiasa ‘meratib’ bab untung rugi, sehinggakan mengetepikan soal kemanusiaan.
Mewujudkan suasana ‘menang-menang’ antara majikan dan pekerja adalah cabaran yang amat besar. Tetapi ia boleh dilakukan kalau kedua-duanya punyai mentaliti menjalankan peranan masing-masing. Majikan kerjanya cari duit, pekerja bekerja dengan tekun untuk bantu menjana pendapatan syarikat. Faham tugas masing-masing. Selamat Hari Pekerja.
PENULIS ialah Pengarang Berita Kanan Mingguan Malaysia.