Setiap Perdana Menteri memiliki idea tersendiri sebagai acuan membangunkan Malaysia. Tun Dr. Mahathir Mohamad terkenal melalui Wawasan 2020. Tun Abdullah Ahmad Badawi dengan Islam Hadhari dan Datuk Seri Najib Tun Razak merintis konsep Satu Malaysia. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula melancarkan Dasar Perpaduan Negara dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan konsep Keluarga Malaysia.
Sementara itu, pada 19 Januari 2023 pula Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan slogan ‘Membangun Malaysia Madani’. Matlamat Malaysia Madani hampir sama dengan slogan-slogan para pemimpin sebelum ini iaitu sebagai langkah dengan acuan tersendiri membina masa depan Malaysia.
Malaysia Madani menitikberatkan tatakelola yang adil dan berkesan dalam menyemai nilai murni kekeluargaan. Ia juga berupa kurikulum yang terarah kepada pembinaan masyarakat. Semua itu perlu dilakukan bagi mencapai matlamatnya melalui kerjasama dan ketelusan antara kerajaan dan rakyat.
Tunggu apa lagi. Canang sudah dipukul. Maka, tibalah masanya Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan melakukan kerja. Kita tidak mahu rakyat didodoikan dengan irama dan lagu merdu Malaysia Madani, tetapi hasilnya tidak ke mana. Terlalu banyak masalah berlaku dalam masyarakat yang memerlukan penyelesaian segera dan jangka masa panjang.
Rakyat menghadapi krisis kekurangan bekalan makanan, kenaikan harga, kehilangan pekerjaan, tiada mata pencarian, pengangguran dalam kalangan siswazah, masalah kesihatan dan sebagainya termasuk isu doktor kontrak di semua hospital awam.
Oleh itu, Malaysia Madani cetusan Kerajaan Perpaduan itu perlu dimanifestasikan dengan kerangka dasar pembangunan dalam konteks sosio-ekonomi yang lebih dinamik dan komprehensif.
Kerajaan sebelum ini dituduh gagal dalam banyak aspek khususnya menangani kenaikan harga dan kekurangan bekalan minyak masak, telur dan sebagainya. Banyak lagi isu lain yang dibangkitkan sebagai kegagalan kerajaan sebelum ini yang boleh diikuti sewaktu kempen PRU-15.
Rakyat tidak mahu kepimpinan Kerajaan Perpaduan ibarat mengata dulang paku serpih. Jangan hanya mencari kelemahan dan kesalahan kepimpinan sebelum ini. Sebaliknya, gunakan kelemahan-kelemahan itu sebagai mekanisme menangani masalah rakyat agar dasar-dasar yang bakal dilancarkan lebih berkesan dan cekap. Ironinya, Kerajaan Perpaduan masih meneruskan dasar-dasar kerajaan sebelum ini.
Itu tidak ada salahnya, cuma tidak memperlihat kemampuan sebenar kepimpinan kerajaan hari ini. Pendekatan incrementalisme dalam pelaksanaan dasar sedikit sebanyak memberi gambaran mengenai kredibiliti kerajaan semasa tidak mampu mencipta sesuatu yang baharu mengikut acuan sendiri. Ia tidak memadai melalui slogan Malaysia Madani tanpa dimanifestasikan melalui dasar-dasar yang lebih agresif sebagai lonjakan baharu bagi mencipta masa depan Malaysia yang lebih cemerlang.
Jangan pula konsep madani ini sekadar retorik tanpa memberi kesan mendalam kepada rakyat. Rakyat mahu Kerajaan Perpaduan berkemampuan meningkatkan taraf sosio-ekonomi, kualiti hidup, kesejahteraan dan sebagainya. Jika cita-cita melalui Malaysia Madani gagal mencipta lonjak baharu yang menyakinkan, kelesuan (fatique) politik boleh berlaku.
Kebimbingan mengenai kelesuan berpolitik itu disebabkan rakyat mengharapkan sesuatu lebih besar daripada Kerajaan Perpaduan yang melibatkan kepentingan mereka. Lantas pemerhatian pasca PRU-15 menyaksikan tiada gerak kerja, aktiviti dan program yang dilakukan oleh kerajaan bersama rakyat. Walhal, Malaysia Madani menggariskan jalinan kerjasama dan ketelusan antara kerajaan dan rakyat.
Kesan kelesuan politik dijangka dapat dilihat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) melibatkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu. Jika dalam PRU-15, peratusan keluar mengundi boleh disifatkan tinggi, tetapi dibimbangi dalam PRN terbabit, kadar keluar mengundi boleh menurun secara mendadak.
Kelesuan politik itu boleh menjejaskan peluang Kerajaan Perpaduan untuk merampas DUN Kedah, Kelantan dan Terengganu daripada Perikatan Nasional (PN). Sebaliknya, akibat kelesuan politik dan kelemahan percaturan, DUN Negeri Sembilan dan Selangor boleh jatuh ke tangan PN. Kebiasaannya, di saat-saat pembubaran DUN yang kian hampir, wakil rakyat semakin rajin menjenguk kawasan bertanya khabar rakyat. Keadaan seperti itu tidak terserlah pasca PRU-15 melibatkan PN, BN dan PH.
Senario kelesuan politik ada hubung kait dengan pelaksanaan dasar. Justeru, Malaysia Madani itu tidak dilihat sebagai sekadar slogan, tetapi lebih menjurus kepada keputusan dan tindakan yang rasional dan berpotensi mencipta kelainan berbanding kerajaan sebelum ini.
Jika itu berlaku, kesegeraan politik dapat dihasilkan. Lantas, keyakinan rakyat meningkat kepada Kerajaan Perpaduan. Andai kelesuan dapat ditukar kepada kesegeraan politik, rakyat dan pengundi dipercayai lebih agresif berpartisipasi dalam politik pilihan raya.
Ingat! Bukan mudah bagi PH dan BN untuk menawan tiga negeri di bawah PN. Rakyat kini dalam proses memerhati dan memberi penilaian kepada prestasi Kerajaan Perpaduan. Janji melalui Malaysia Madani hendaknya bukan sekadar janji manis. Walaupun pahit, Kerajaan Perpaduan perlu menelan kesannya. Semua itu boleh dilihat sewaktu PRN bagi DUN yang berkenaan dalam masa terdekat ini. Jadi, tepuk dada, tanya selera.
Prof. Madya Dr. Malike Brahim dari Pusat Pengajian Kerajaan Universiti Utara Malaysia.